Carian
Tahukah Anda Terusan Ban Canal Merupakan Infrastruktur Bersejarah Di Selangor Yang Mempunyai Panjang Sehingga 30KM?
November 30, 2023 Lina Rosli

Menjadi salah satu inisiatif yang menggalakkan eko-pelancongan di Sabak Bernam, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI”) telah mengambil langkah bagi memperkenalkan Karnival Ban Canal 2023 yang akan berlangsung dari 8 hingga 10 Disember 2023.

Dengan kerjasama bersama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Persatuan Kanu Selangor (SCAN), karnival komuniti ini bertujuan untuk memaparkan kekayaan budaya dan alam semula jadi daerah Sabak Bernam, sekaligus menitikberatkan amalan pelancongan lestari.

Sabak Bernam yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan pemandangan menakjubkan menjadi destinasi utama bagi pelancong yang prihatin alam sekitar, dan kini dirancakkan dengan pengumuman karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk menampilkan keindahan semula jadi Sabak Bernam.

Karnival Ban Canal mencerminkan komitmen dalam melindungi terusan air itu dengan mempamerkan beberapa aktiviti menarik seperti jelajah kayak, kanu maraton dan pertandingan mereka bot inovatif dengan prinsip mesra alam. Pertandingan Rakit Berhias akan menambahkan sentuhan perpaduan dan kreativiti komuniti, manakala Larian Bendang memberikan pengalaman yang unik di mana peserta mengenakan pakaian petani bagi larian di sepanjang kawasan sawah, menyemarakkan suasana karnival ini dengan elemen tempatan.

Selain itu, banyak lagi aktiviti lain yang ditawarkan termasuk pertandingan mewarna, pertandingan memasak, tapak pameran, pelbagai pilihan hidangan unik Sabak Bernam dan peluang untuk bertemu dengan bintang-bintang Selangor FC.

Karnival Ban Canal akan menjadi acara tahunan yang penting di dalam kalendar inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA), yang dipacu oleh MBI untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi kawasan dan masyarakat setempat.

Terusan Ban Canal, juga dikenali sebagai ‘Bangkenal,’ merupakan infrastruktur yang bersejarah dan utama di Selangor.

Dibina secara kolaboratif oleh penduduk kampung dan pihak British semasa era penjajahan, terusan sepanjang 30km yang bermula dari Tanjong Karang ini mengalir ke Sabak Bernam dan berfungsi sebagai sistem pengairan bagi membekalkan air yang mencukupi kepada sawah padi.

Kini, ia telah menjadi destinasi rekreasi, mempamerkan daya tahan dan kebolehsuaian komuniti tempatan.

Komen