Carian
Apa Itu Perubatan Tradisional Cina? Bolehkah Anda Mendapatkan Rawatan Ini?
December 4, 2023 Lina Rosli

Secara umumnya, tradisi kuno menggunakan pendekatan yang berbeza sekali berbanding perubatan Barat.

Dan jika anda ingin mengetahui tentang Perubatan Tradisional Cina (TCM), tidak banyak hospital dan pusat perubatan yang menawarkan rawatan ini. Antara pusat perubatan yang hadir dengan TCM ialah IMU Healthcare yang mana mereka menampilkan Pakar Klinikal dan pengamal Perubatan Cina Kanan di Pusat Perubatan Cina IMU Healthcare.

Apa Itu Perubatan Tradisional Cina?

Ramai di kalangan kita ada rakan-rakan yang pernah mencuba Perubatan Tradisional Cina sebelum ini. Terdapat sebahagian daripada mereka mengiktiraf rawatan ini, tetapi ada juga yang menyatakan yang sebaliknya.

Apakah kebenarannya? Biarpun kebanyakan daripada kita pernah mendengar mengenainya, tetapi agak sukar untuk memahami dengan pasti amalan kuno ini sebenarnya melibatkan apa, dan sama ada ia boleh memberikan sokongan kepada kesihatan dan kesejahteraan kita.

Menurut Pensyarah Kanan di Pusat Perubatan Komplementari & Alternatif di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), yang juga Pakar Klinikal dan pengamal Perubatan Cina Kanan di Pusat Perubatan Cina IMU Healthcare, Dr Ong Siew Siew, mencadangkan beberapa petua menarik dan apa yang perlu anda ketahui untuk mempertimbangkan TCM buat kali pertama.

Pastikan Anda Mendapatkan Rawatan Dari TCM Berdaftar

TCM adalah singkatan kepada Perubatan Tradisional Cina dan ia merupakan amalan sah yang diiktiraf di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan iaitu di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) 2016 [Akta 775].

Industri TCM kini sedang melalui peralihan penting ke arah keseragaman dan kredibiliti lebih meluas dalam kalangan komuniti pengamal TCM dan perkhidmatan yang mereka tawarkan.

Mulai Mac 2024, semua pengamal TCM berlesen akan berdaftar dengan Majlis T&CM. Mereka akan diberikan Sijil Pengamalan Tahunan (APC). Ini akan memudahkan orang awam untuk mengesahkan ketulenan Pengamal TCM berdaftar.

Perbezaan Antara Rawatan TCM Dan Rawatan Perubatan Barat

Mengikut prinsip TCM, setiap orang mempunyai pola resam tubuh unik yang menunjukkan keseimbangan kompleks serta rumit bagi setiap unsur-unsur bertentangan. Unsur-unsur ini perlu wujud bersama secara harmoni untuk seseorang itu berada dalam keadaan sihat.

Matlamat TCM adalah untuk memulihkan keseimbangan ini dan mengatur tenaga badan yang dinamik. Ia boleh dipengaruhi pelbagai faktor seperti diet, tekanan, penyakit kronik dan banyak lagi.

Berdasarkan prinsip ini, pengamal TCM boleh membantu menguruskan banyak penyakit seperti:

  • melegakan kesakitan kronik
  • menyokong sistem imun
  • meningkatkan kualiti tidur

Sesetengah pengamal yang juga pakar dalam bidang kesihatan tertentu turut menggunakan rawatan TCM untuk merawat penyakit berkaitan jantung, paru-paru, penghadaman atau sistem reproduksi.

Seiring perkembangan dalam rawatan dan perubahan pada resam tubuh pesakit, preskripsi dan rawatan mungkin memerlukan pengubahsuaian. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk mengekalkan kesinambungan rawatan dengan pengamal yang sama, yang boleh memantau perkembangannya dengan teliti.

Pendekatan ini sangat berbeza dengan perubatan Barat, yang lazimnya memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan penyakit tertentu dengan menyasarkan organ atau bahagian badan yang terjejas.

Namun, perlu diingat bahawa TCM dan ubat konvensional boleh diamalkan seiring, selagi mana kedua-dua pihak mempunyai maklumat yang jelas. 

TCM Tiada Sebarang Kaitan Dengan Unsur Mistik Dan Keagamaan

Ramai orang dari latar belakang berbeza pergi mendapatkan bantuan pengamal TCM. Untuk lawatan pertama anda, ia sama sahaja dengan mana-mana temujanji perubatan lain. Pengamal TCM akan mencatat sejarah perubatan anda dan melakukan beberapa teknik diagnostik bagi memeriksa resam tubuh anda.

Sewaktu berjumpa dengan TCM, anda perlu bersiap sedia dengan:

  • Membawa bersama rekod perubatan seperti keputusan ujian darah dan sebarang pengimejan seperti imbasan atau X-ray untuk memberikan lebih banyak latar belakang keadaan kesihatan anda.
  • Senarai ubat dan makanan tambahan serta membincangkan rutin harian dan gaya hidup anda. Semua maklumat ini dapat membantu pengamal memahami lebih lanjut tentang anda dan keperluan anda supaya pelan rawatan berkesan dapat dirumuskan.

Dengan cara ini, pengamal TCM menilai keadaan pesakit menggunakan prinsip diagnostik TCM dan menggunakan gabungan kaedah rawatan khusus untuk pesakit itu. Semua ini berasaskan prinsip saintifik dan bukan bersifat spiritual bagi menangani sebarang ketidakseimbangan dalam badan.

Umumnya, TCM menggunakan empat kaedah rawatan utama iaitu akupunktur, terapi bekam, terapi moksa dan preskripsi herba.

TCM Juga Memerlukan Beberapa Kali Sesi Rawatan

Rawatan akan berbeza-beza mengikut keadaan atau penyakit tertentu. Penyakit biasa-biasa mungkin hanya memerlukan satu atau dua sesi. Bagi mereka yang berpenyakit kronik lebih masa diperlukan. Di samping itu, setiap orang mempunyai resam tubuh, gaya hidup dan tabiat yang berbeza.

Hasilnya, biarpun pesakit nampak ada peningkatan hanya selepas satu sesi, tetapi mungkin kerana masih meneruskan pola atau situasi sedia ada dalam gaya hidupnya, ia menyebabkan masalah itu berulang. Oleh itu, adalah satu perkara biasa untuk pengamal meminta anda datang untuk beberapa sesi.

Tambah Dr. Ong, kini Malaysia sedang melalui fasa peralihan. Beralih daripada kawal selia kendiri kepada kawal selia berkanun, yang merangkumi pendidikan TCM yang terikat dengan kawal selia, latihan dan penyimpanan rekod perubatan.

Peralihan ini bertujuan untuk meningkatkan kod profesionalisme dan standard penjagaan dalam TCM yang mana matlamat akhirnya membawa kepada keselamatan dan hasil yang lebih baik kepada pesakit.

Komen