Bagaimana Antibodi Boleh Menyerang Tubuh Anda Sendiri?
Lina Rosli
Dalam kepelbagaian jenis penyakit yang sering disalah diagnos, tahukah anda satu lagi penyakit baharu telah menjadi kebimbangan bagi kebanyakan pihak – dikenali sebagai Autoimmune Encephalitis atau AE.
Autoimmune Encephalitis (AE) didefinisikan sebagai sebuah kumpulan penyakit di mana sistem pertahanan tubuh (antibodi) menyerang otak dan menyebabkan simptom progresif atau bertambah teruk, dan boleh berlaku di dalam pelbagai sub-jenis.
Jika dibiarkan tidak dirawat, penyakit ini boleh menyebabkan kecederaan otak kekal dan dalam kes yang lebih teruk, boleh menyebabkan kematian.

Apa Itu Autoimmune Encephalitis (AE)?
Menurut Dr Ellie Kok Huey Tean, Pakar Perunding Neurologi dan Pakar Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), AE merupakan sebuah spektrum penyakit yang boleh menjejaskan fungsi kognitif individu dan seterusnya menyebabkan gangguan pertimbangan atau hilang kewarasan pesakit tersebut.
Tidak dinafikan, diagnosis untuk AE sering diabaikan atau diberitahu lewat kerana simptom klinikalnya yang kelihatan seperti penyakit mental. Dr Ellie menerangkan lebih lanjut bahawa AE sering disalah diagnos apabila pesakit hadir dengan simptom penyakit mental seperti halusinasi, paranoid, berkhayal, serta perubahan personaliti atau tingkah laku.
AE berlaku disebabkan oleh antibodi badan dan boleh dialami oleh pesakit dari pelbagai lapisan umur tanya menunjukkan sebarang kaitan dengan sejarah keluarga.
Simptom manifestasi AE juga merangkumi pelbagai gejala lain termasuk:
- sakit kepala
- perubahan personaliti dan tingkah laku
- gangguan fungsi kognitif
- sawan
- gangguan pergerakan
- halusinasi atau berkhayal

Punca AE adalah pelbagai, bermula daripada terdedah kepada jangkitan virus tertentu seperti virus herpes simplex atau apabila pesakit mengalami kanser.
Kajian menunjukkan bahawa AE kebanyakannya memberi kesan kepada individu dari seusia awal remaja hingga umur 50 tahun, dengan wanita lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding lelaki.
Autoimmune Encephalitis Boleh Menyerang Pelbagai Lapisan Umur
Untuk pengetahuan anda, AE boleh terjadi di kalangan individu daripada pelbagai peringkat umur, dan terdapat jenis-jenis AE spesifik yang mungkin menunjukkan kelaziman yang lebih tinggi untuk berlaku dalam kumpulan umur atau jantina tertentu.
Sebagai contoh, N-methyl-D-aspartate receptor (NMDAR) encephalitis lebih cenderung dialami oleh golongan remaja dan dewasa.
Selain itu, bagi NMDAR encephalitis, terdapat kecenderungan bagi penyakit ini berlaku di kalangan wanita muda, terutamanya bagi individu yang mempunyai tumor khususnya ‘Teratoma Gonodal’ yang merupakan tumor yang terletak di dalam organ pembiakan. Sebagai contoh, teratoma ovari adalah sebuah tumor serius yang boleh menjejaskan sel-sel otak dan berkemungkinan membawa kematian kepada wanita muda.
Bagi populasi warga tua pula, terdapat jenis AE yang berbeza dan dikenali sebagai “paraneoplastic encephalitis” yang selalunya terjadi apabila seseorang warga emas itu menghidap kanser tersembunyi. Sel kanser yang tidak normal ini boleh menyebabkan sistem imuniti tubuh menghasilkan antibodi khusus yang menyerang otak, lalu menyebabkan simptom AE berlaku sebelum simptom kanser dapat dilihat dengan ketara.
Pakar turut menasihatkan bahawa ahli keluarga atau penjaga warga emas untuk berwaspada terhadap simptom AE, terutamanya memandangkan orang tua mudah terdedah kepada sebarang jangkitan yang juga merupakan punca utama bagaimana AE boleh berlaku.
Penting juga bagi ahli keluarga atau penjaga warga emas untuk memantau simptom AE seperti kemerosotan ingatan, perubahan tingkah laku, sawan, dan masalah pergerakan seperti hilang keseimbangan semasa berjalan.

Rawatan Untuk Penyakit Autoimmune Encephalitis (AE)
Pakar perubatan perlu mengikut kriteria khusus untuk mendiagnosis AE, dan ini termasuk membezakan di antara simptom penyakit mental dan penyakit neurologi.
Penilaian AE merangkumi menilai jika pesakit mengalami kehilangan ingatan jangka pendek (short-term memory loss) dan gejala pesakit mental yang lain dalam tempoh masa tiga bulan. Penilaian tambahan termasuk menilai jika pesakit ada mengalami gangguan pergerakan atau sawan. Untuk membantu pakar neurologi mendiagnosis penyakit ini, terdapat ujian khusus yang perlu dijalankan ke atas pesakit seperti ujian electroencephalogram (EEG), analisia cecair serebrospina serta MRI otak.
Setelah diagnosis disahkan, individu akan menerima rawatan imunoterapi yang sesuai. Kebanyakan pesakit boleh sembuh daripada AE menerusi penawaran rawatan bersasar – caranya termasuk menghapuskan antibodi auto yang dikesan dalam badan, dan rawatan imunoterapi ini akan diberikan melalui cecair IVIG, pertukaran plasma atau agen imunosupresi.
Harus diingatkan juga, AE mungkin boleh berulang kembali dalam tempoh lima tahun bagi sebilangan pesakit. Oleh itu, amatlah penting untuk pesakit menjalani rawatan susulan untuk mencegah atau mengesan sebarang kemungkinan untuk AE berlaku semula di dalam badan.