Carian
TYMBA Education Terajui Usaha Pencarian Bakat Baharu melalui Cabaran Kuiz Perakaunan Kebangsaan 2023
December 6, 2023 IrfanNaufal

KUALA LUMPUR, 6 DECEMBER 2023 TYMBA, sebuah Pusat Kecemerlangan Perakaunan Profesional Global, bukan sahaja menetapkan misi untuk mencari bakat baharu tetapi juga menawarkan mereka peluang pembelajaran seumur hidup, yang merangkumi Cabaran Kuiz Perakaunan Kebangsaan-nya (NAQC). Kuiz itu bertujuan memberikan pelajar Tingkatan 4 dan 5, khususnya pelajar Bumiputera, peluang untuk mempamerkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan perakaunan dan berpeluang memenangi biasiswa perakaunan yang eksklusif.

NAQC amat diperlukan memandangkan tekanan kawal selia yang kian meningkat dan masalah pengambilan pekerja telah mengakibatkan kekurangan akauntan profesional dalam negara. Sejajar dengan objektif Ekonomi MADANI untuk memacu negara ke arah status berpendapatan tinggi, inisiatif ini memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran 60,000 Akauntan Bertauliah menjelang 2030 memandangkan ekonomi Malaysia memerlukan lebih ramai akauntan bertauliah untuk memperkukuh dan memandu perniagaan ke arah ekonomi yang mampan.

Justeru, sejak tahun 2021, TYMBA telah menjangkau ratusan remaja menerusi NAQC dan memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk meneruskan perakaunan sebagai kerjaya. Contohnya, dalam siri NAQC 22/23, 12 pemenang daripada 100 peserta teratas telah dipilih untuk menerima biasiswa daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC). Setiap biasiswa itu bernilai RM150,000 dengan jumlah nilai terkumpul mencecah RM1.8 juta bagi menggalakkan mereka mengorak langkah pertama dalam profesion perakaunan dengan lancar.

Dalam NAQC, peserta perlu menjawab 40 soalan perakaunan aneka pilihan dalam masa 1 jam dengan setepat mungkin. Soalan-soalan peringkat SPM tersebut juga merangkumi beberapa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang disediakan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) bagi menilai kecenderungan peserta terhadap kemahiran perakaunan profesional dengan lebih tepat. Selepas pusingan kuiz, peserta juga akan mengambil bahagian dalam satu sesi perkongsian yang dibimbing oleh organisasi-organisasi perakaunan termasuk ACCA dan ICAEW.

Para peserta akan bertanding untuk kedudukan 10 teratas yang akan memenangi hadiah termasuk buku ‘Accounts for SPM’ oleh tutor perakaunan yang tersohor, Omar Faayiz, sijil-sijil Peringkat Kebangsaan, serta tawaran biasiswa bersyarat yang bernilai RM 150,000 untuk program perakaunan kolaboratif bersama TYMBA dan penyedia biasiswanya, MyPAC dan Yayasan Peneraju. Tambahan pula, 3 pemenang teratas juga akan menerima hadiah wang tunai sehingga RM500 sebagai tambahan kepada hadiah yang dinyatakan di atas.

“Terdapat banyak bakat perakaunan di Malaysia, dan kami hanya perlu menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas,” kata Pengasas TYMBA Education Group, Airil Razali. “Cabaran ini diwujudkan bagi memupuk generasi lepasan graduan perakaunan yang seterusnya daripada 3,500 peserta yang bakal mengambil bahagian. Kami tidak sabar untuk memberi peluang yang terbaik kepada bakat-bakat muda cerdik ini ke arah laluan perkembangan kerjaya perakaunan yang cemerlang.

Pada tahun-tahun sebelumnya, NAQC berlangsung sepenuhnya dalam talian. Bagaimanapun, disebabkan bilangan peserta baharu yang ramai, ia akan menampilkan satu elemen baharu buat julung kalinya pada tahun ini — iaitu kuiz pusingan kedua dalam format bersemuka yang menampilkan 100 peserta teratas daripada setiap kumpulan tingkatan, dengan 10 soalan aneka pilihan dan 1 soalan aneka tugasan. Pusingan pertama NAQC akan berlangsung pada 9 Disember 2023, manakala pusingan kedua dalam format bersemuka bakal berlangsung pada 16 dan 17 Disember 2023 di TYMBA City Campus, Menara Liberty. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari http://naqc.tymbaedu.com/

Komen