Carian
Adakah Anda Antara Golongan Yang Berisiko Mengalami GERD?
December 18, 2023 Lina Rosli

Apa itu GERD? Bagi yang tidak mengetahui, penyakit gastroesophageal reflux disease atau lebih dikenali sebagai GERD berlaku apabila asid yang mengandungi kandungan makanan dari dalam perut tertolak kembali ke esofagus lalu menyebabkan iritasi pada dinding esofagus.

Untuk pengetahuan anda, esofagus adalah satu tiub yang menyambungkan mulut dengan perut yanga mana salah satu bahagiannya, iaitu esophageal sphincter atau injap esofagus berfungsi untuk mengawal kemasukan makanan ke dalam perut.

Apabila kita menelan, makanan akan melalui tiub dan injap esofagus akan mengembang supaya makanan boleh masuk ke dalam perut. Kemudian injap esofagus akan tertutup semula. Apabila injap esofagus menjadi lemah, fungsinya sebagai penghalang antara esofagus dan perut akan terjejas, menyebabkan asid dari perut tertolak semula ke dalam tiub esofagus.

Adakah Anda Berisiko Untuk Mengalami GERD?

Kebanyakan daripada kita akan pernah mengalami masalah asid refluk dan ianya adalah situasi yang normal. Tetapi jika asid refluk tersebut berlaku lebih dari 2 hingga 3 kali seminggu dan berlarutan selama beberapa minggu, anda mungkin menghidap gastroesophageal reflux disease (GERD).

Berikut adalah golongan yang berisiko mengalami GERD:

  • Individu dengan berat badan berlebihan atau obesiti
  • Ibu mengandung
  • Merokok atau kerap terdedah kepada asap rokok (second hand smoker)
  • Pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan asid refluk seperti bisphosphonate, iron, ubat tahan sakit seperti aspirin dan ibuprofen
  • Individu yang kerap mengambil makanan secara berlebihan pada satu masa atau kerap makan pada waktu malam
  • Individu yang gemar makan makanan berminyak, pedas, minuman beralkohol atau kopi.

Apakah Gejala Yang Boleh Menyebabkan GERD?

Secara umumnya, setiap orang akan mengalami gejala GERD adalah berbeza. Antara gejala yang paling biasa dihidapi oleh pesakit adalah:

  • Pedih ulu hati
  • Terasa seperti ada makanan tersekat di kerongkong
  • Sering sakit tekak atau batuk
  • Sukar untuk menelan makanan
  • Sakit dan pedih di bahagian dada
  • Rasa masam dan pahit di dalam mulut

Selain orang dewasa, kanak-kanak dan bayi juga boleh menghidap gejala yang sama seperti GERD seperti orang dewasa. Kajian menunjukkan hampir 10 peratus kanak-kanak menghidap GERD sekurang-kurangnya sekali seminggu. Ianya juga berlaku dengan lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas. Antara gejala yang boleh dihidapi oleh kanak-kanak atau bayi adalah:

  • Kerap muntah 
  • Kerap menangis dan menolak apabila diberi makanan
  • Rasa masam dan pahit di dalam mulut
  • Sakit tekak dan mulut berbau
  • Sukar untuk tidur selepas makan, terutamanya bayi

Bagaimana Cara Untuk Mengurangkan Risiko GERD?

GERD boleh dirawat melalui ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup. Antara ubat ubatan yang boleh digunakan untuk GERD adalah antasids untuk meneutralkan asid perut, H-2-receptor blockers untuk mengurangkan pembuatan asid, proton pump inhibitors bagi mengurangkan pembuatan asid bagi memberi masa untuk tisu esofagus sembuh dan ubat untuk menguatkan otot di injap esofagus seperti baclofen. 

Adalah penting juga untuk penghidap GERD mengubah gaya hidup mereka yang menjadi risiko kepada isu ini seperti:

  1. Pesakit GERD dinasihatkan untuk mengekalkan berat badan ideal atau menurunkan berat badan bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti. Adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat dari pakar pemakanan atau ahli nutrisi jika anda bercadang untuk menurunkan berat badan dengan selamat dan efektif.
  2. Bagi pesakit GERD yang merokok, mereka disarankan untuk berhenti merokok kerana merokok boleh menyebabkan injap esofagus menjadi lemah. Kajian juga menunjukkan 43.9 peratus pesakit GERD yang merokok, mengalami pengurangan simptom GERD dalam masa setahun selepas mereka berhenti merokok.
  3. Kurangkan pengambilan makanan yang berminyak, pedas, minuman beralkohol atau kopi. 

Bagi penghidap GERD yg kronik, doktor mungkin akan menawarkan rawatan lain seperti pembedahan atau prosedur lain.

Komen