Mengapa Warna Kelompang Telur Ayam Berbeza?

December 19, 2023
Kesihatan

Lina Rosli

Pernahkah anda perasan yang terdapat perbezaan warna untuk kelompang telur ayam yang dijual – warna setiap satunya tidak sama walaupun berada di dalam bekas yang sama.

Tidak dinafikan, walaupun secara umumnya, warna kelompang telur ini adalah berwarna coklat. Namun, dalam kebanyakan kes, warna coklat ini variasi yang mana ada yang berwarna gelap, ada yang berwarna cerah atau pudar dan ada juga yang menghampiri putih dan merah jambu cair.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kelompang telur yang mempunyai bintik-bintik gelap, makala yang lain pula tidak mempunyai bintik.

Untuk pengetahuan anda, perbezaan warna kelompang telur ayam ini sebenarnya ditentukan oleh genetik ayam – boleh berbeza bergantung kepada baka atau kumpulan ayam. Ini bermakna baka ayam biasanya akan menunjukkan warna telur yang akan dihasilkan.

Sebagai contoh, apabila membesar, ayam dewasa akan memperoleh corak warna yang pelbagai. Dan warna-warna pada badan mereka ini sebenarnya mempunyai tujuan yang tertentu. Ia merangkumi penyamaran, perlindungan daripada mangsa dan juga untuk menandakan identiti individu.

Bagaimana corak dan warna ayam ini ditentukan? Jawapannya adalah berdasarkan pigmen yang dihasilkan sewaktu ibu ayam bertelur – pigmen ini dikenali sebagai protoporphyrin IX. Untuk pengetahuan anda, ibu ayam akan menghasilkan pigmen-pigmen ini berdasarkan kod genetik yang dimilikinya.

Oleh itu, secara mudah, baka ayam kampung biasanya mempunyai kelompang telur yang berwarna putih, sementara kebanyakan ayam yang diternak di dalam reban pula berwarna perang.

Namun harus diingatkan bahawa warna kelompang telur boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk:

  • Umur ayam yang menghasilkan telur
  • Persekitaran kawasan ternakan
  • Jenis makanan yang diberikan
  • Tahap tekanan ketika ayam ini diternak atau ditempatkan di dalam reban

Dan apabila ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi warna kelompang telur ayam ini, maka apa yang terhasil di pasaraya atau mana-mana kedai jualan telur ayam adalah warna kelompang telur yang berbeza.

Jadi, menjawab kepada persoalan telur ayam mana yang lebih baik? Adakah telur ayam berwarna putih atau telur berwarna coklat keperangan? Jawapannya adalah kedua-duanya adalah sama sahaja kerana kulit telur ayam tidak menentukan nutrien yang ditawarkan di dalamnya. Sebaliknya, ia bergantung kepada khasiat makanan yang diperoleh oleh ibu ayam.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd