Carian
Volvo Cars Akan Tamatkan Pengeluaran Model Diesel Pada Tahun 2024 Dan Hanya Menjual Kereta Elektrik Sepenuhnya Menjelang 2030
December 20, 2023 Lina Rosli

Baru-baru ini, Volvo Cars mengumumkan yang mana mereka merancang untuk hanya menjual kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Bukan itu sahaja, jenama kenderaan berkenaan turut mengumumkan penamatan pengeluaran untuk semua model kereta Volvo berkuasa diesel menjelang awal 2024 pada Minggu Iklim NYC (Climate Week NYC).

Bergerak ke tahun 2040, Volvo Cars dijangka akan menjadi syarikat yang neutral iklim. Pelan hala tuju yang jelas ini dilhat mula menjurus ke arah elektrifikasi sepenuhnya – merupakan salah satu pelan transformasi yang bercita-cita tinggi bagi jenama ini.

Dalam beberapa bulan dari sekarang, kereta Volvo berkuasa diesel yang terakhir akan dibina, menjadikan Volvo Cars sebagai salah satu pembuat kereta legasi pertama yang mengambil langkah ini.

Pencapaian ini mengikut keputusan Volvo Cars pada tahun 2022 untuk berhenti daripada membangunkan enjin pembakaran baharu.

Pada November 2022, syarikat tersebut telah menjual pegangan mereka dalam Aurobay, syarikat usaha sama yang menyimpan semua baki aset enjin pembakaran mereka. Sejak daripada itu itu, Volvo Cars tidak lagi membelanjakan bajet R&D mereka untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yangl baharu.

Menurut Volvo Cars juga, penawaran kereta elektrik sepenuhnya adalah lebih baik daripada enjin pembakaran kerana ia mengurangkan bunyi, mengurangkan getaran, dan juga mengurangkan kos servis untuk pengguna kenderaan.

Tambah Volvo Cars lagi, keputusan untuk menghentikan pengeluaran model diesel dengan sepenuhnya menjelang awal 2024 menggambarkan betapa cepatnya industri kereta dan permintaan pelanggan berubah dalam menghadapi krisis iklim.

Hanya empat tahun yang lalu, enjin diesel merupakan elemen terpenting buat Volvo Car bukan sahaja buat pengguna di Eropah, malah juga pembuat kereta lain. Trend itu sebahagian besarnya telah berubah dan ia didorong oleh permintaan pasaran yang berlainan.

Majoriti jualan Volvo Cars di Eropah kini terdiri daripada kereta elektrik, sama ada dengan penjana kuasa hibrid elektrik sepenuhnya atau separuh elektrik.

Komen