Tahukah Anda Bahawa Kalori Turut Dibakar Semasa Sedang Tidur?

December 27, 2023
fakta menarik

Lina Rosli

Selain daripada bersenam dan juga bersukan, sebenarnya tidur merupakan salah satu aktiviti yang boleh membantu individu membakar kalori.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan bahawa kalori yang dibakar sewaktu sedang tidur adalah tidak banyak jika dibandingkan sewaktu bersukan.

Secara umumnya, ketika anda sedang tidur, badan turut memerlukan tenaga untuk memproses dan mengurus aktiviti di dalam tubuh badan. Namun, tenaga yang diperlukan tidaklah sebanyak ketika sedang beraktiviti pada siang hari.

Berapa Banyak Jumlah Kalori Yang Dibakar Sewaktu Sedang Tidur?

Untuk pengetahuan anda, jumlah kalori yang dibakar sewaktu tidur adalah bergantung kepada interaksi yang kompleks di antara tidur, diet, senaman dan pembolehubah lain.

Sebagai contoh, anggaran badan membakar 50 kalori sejam semasa tidur – angka ini boleh berbeza mengikut gaya hidup individu.

Untuk mengetahui sama ada tubuh badan anda membakar kalori yang banyak atau sebaliknya – akan bergantung pada kadar metabolisme. Mengapa sedemikian?

Kadar metabolisme basal merujuk kepada tenaga yang diperlukan untuk fungsi penting seperti pernafasan, peredaran, pengawalan suhu, dan pertumbuhan dan pembaikan selular.

Pada kebanyakan individu, kadar metabolisme basal menyumbang kira-kira 80% daripada jumlah kalori yang dibakar dalam sehari. Dan otak pula akan membakar glukosa untuk tenaga, menyumbang kira-kira 20% daripada kalori yang dibakar semasa berehat.

Antara faktor yang mempengaruhi kadar metabolisme termasuklah:

  • Tinggi dan berat – Semakin berat dan besar badan seseorang, semakin banyak tenaga yang diperlukan untuk membakar kalori.
  • Kecergasan – Individu yang kerap bersukan akan membakar lebih banyak kalori jika dibandingkan dengan individu yang kurang bersukan.
  • Jantina – Lelaki mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi daripada wanita.
  • Umur – Kanak-kanak yang sedang membesar mempunyai metabolisme yang lebih tinggi, tetapi keperluan metabolik berkurangan apabila kita meningkat usia.
  • Diet – Berpegang kepada diet yang sihat boleh membantu menguruskan komposisi lemak badan.
  • Kualiti Tidur – Kualiti tidur yang buruk dan tidur dan tidak mencukupi akan memberi kesan buruk kepada metabolisme.
  • Hormon dan keadaan perubatan – Ibu yang sedang hamil atau yang sedang menyusukan anak, wanita yang sudah menopaus, hipotiroidisme dan keadaan perubatan yang berkaitan boleh menjejaskan kadar metabolisme.

Untuk pengetahuan anda juga, bagi individu yang mendapatkan bilangan jam tidur yang sedikit akan mengalami proses pembakaran kalori yang minimum. Ini kerana, proses pembakaran kalori tidak berlaku di semua fasa tidur. Kebiasaannya, kalori berlaku ketika anda berada di fasa tidur REM.

Fasa REM merupakan peringkat tidur yang paling intensif tenaga. Ini kerana semasa tidur REM, kadar denyutan jantung kita akan meningkat dan otak pula mula mempamerkan corak aktiviti yang serupa dengan tahap siang hari. Aktiviti otak yang meningkat memerlukan lebih banyak glukosa, yang membawa kepada metabolisme yang lebih tinggi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd