Cendol adalah pemanis mulut yang mana mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia hadir dengan rasa manis dan lemak yang saling melengkapi. Bahkan, ia juga sangat sesuai untuk dihidangkan ketika cuaca panas dan juga selepas melakukan aktiviti yang lasak.

Namun, tahukah anda bahawa cendol ini boleh dijumpai di kebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, selatan Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar dan Indonesia?

Jadi, apakah yang menjadikan pemanis mulut ini unik? Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai cendol seperti siapakah yang menciptanya dan bagaimana ia mula diperkenalkan.

Asal Usul Cendol – Bagaimana Idea Ini Menjadi Popular?

Cendol, Chendul atau Chendol, itulah antara nama yang digunakan oleh kebanyakan individu di Malaysia. Untuk anda yang mungkin tidak begitu mengetahui apakah bahan yang diperlukan untuk menyediakan cendol, ia sebenarnya hadir dengan beberapa bahan asas.

Bahan asas cendol termasuklah santan, mi hijau yang diperbuat daripada tepung beras, tepung, pandan, air kapur dan juga pewarna hijau selain menampilkan air gula merah, dan juga hiasan seperti kacang merah dan juga jagung.

Idea cendol ini sebenarnya berasal dari Indonesia iaitu di Kepulauan Jawa yang dikenali sebagai dawet. Ia mula hadir menjelang abad ke-12 namun mula dicatat pada awal abad ke-19 menerusi manuskrip Jawa Serat Centhini. 

Di Malaysia pula, cendol mula dijumpai pada tahun 1932 yang mana pada ketika itu ia ditulis pada naskhah surat khabar Saudara. Ia mungkin berasal dari pusat pelabuhan Tanah Melayu seperti Melaka dan Pulau Pinang pada abad ke-20. Mereka hadir dengan kargo yang berfungsi sebagai pangkalan untuk pelbagai minuman dan pencuci mulut. 

Cendol Kini Diisyhtihar Sebagai Makanan Warisan Negara Malaysia

Pada awalnya, cendol ini dihidangkan di dalam kelompok petani kerana ia manis dan ditambah lagi dengan ketulan ais yang mana sangat sesuai disediakan selepas berpenat lelah bercucuk tanam.

Cendol juga telah berkembang secara berbeza untuk setiap negara. Sebagai contoh, di Indonesia, cendol hanya merujuk pada jeli pandan yang disajikan dalam santan. Manakala di Singapura, cendol dihidangkan bersama kacang merah dan jagung manis yang dicampurkan seperti ais campur.

Untuk pengetahuan anda juga, cendol sekarang telahpun diisytiharkan sebagai makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia pada tahun 2013.

Tidak hairanlah cendol menjadi makanan warisan. Hal ini kerana ia bukan sahaja digemari oleh generasi lama, bahkah orang muda dan kanak-kanak juga menyukai pemanis mulut ini. Lebih-lebih lagi jika di hari panas.

Variasi Cendol Mengikut Negara

Selain nama, penggunaan bahan penyediaan juga berbeza bagi setiap negara. Berikut adalah beberapa senarai cendol yang boleh anda ketahui:

Vietnam

Ia disebut Chè Ba Màu yang bermaksud pencuci mulut tiga warna. Ia juga membawakan jeli beras hijau di atas kacang hijau tumbuk diikuti dengan kacang merah. Ketiganya dicampurkan dengan ais hancur dan santan.

Thailand

Pencuci mulut ini disebut Lot Chong yang mana disajikan dengan sejuk. Ia juga minuman disajikan dengan cara yang sama hanya dengan satu sudu teh sirap gula aren yang menjadikan pencuci mulut itu berwarna coklat.

Malaysia

Cendol di Malaysia hadir dengan topping yang banyak seperti jagung, kacang merah, teh susu, sirup, kacang tanah dan jeli ubi kayu.

Filipina

Untuk cendol di filipina, ia menggunakan susu cair, gelatin dan perasa pandan berserta ais krim vanila. Ia disediakan di dalam cawan.

Indonesia

Di Indonesia, varian yang paling terkenal adalah cendol yang dikenali sebagai es dawet ayu Jawa dari Banjarnegara, Jawa Tengah. Varian ini dilhidangkan di dalam cawan yang juga mempunyai mi hijau, santan dan juga gula merah.

Terdapat juga varian lain seperti cendol hitam yang disebut es dawet ireng dari Purworejo, Jawa Tengah. Ia diperbuat dari daun pandan hijau dan cendol hitam ini memperoleh warnanya dari merang atau abu tangkai padi yang dibakar dicampur dengan air

Singapura

Sementara di Singapura pula, kebiasaannya cendol akan dipadankan seklai dengan aiskrim vanila di atasnya. Mi hijaunya pula akan lebih pendek dan tidak halus seperti cendol biasa di Malaysia selain turut mempunyai toppings yang lebih banyak seperti jagung, kacang, durian, jeli dan banyak lagi.

Persamaan dan perbezaan yang ditampilkan di dalam cendol ini adalah berikutan gaya hidup dan pemakanan untuk sesetengah negara. Namun, itulah yang menjadikan cendol ini unik selain menjadi pilihan orang ramai.

Sumber: SaveurIpohGoMashable