Carian
Malaysia Merupakan Pengeluar Biji Kopi Liberica – Biji Kopi Yang Sukar Untuk Ditemui
January 30, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa Malaysia merupakan pengeluar kopi Liberica? Dan biji kopi Liberica ini merupakan antara biji kopi yang sukar untuk ditemui.

Untuk pengetahuan anda, kopi Liberica adalah sejenis kopi yang berasal dari Liberia iaitu sebuah negara di pesisir Afrika Barat. Jika dibandingkan dengan tanaman kopi Arabica dan Robusta, tanaman kopi Liberica adalah jauh lebih besar dan biji kopinya dikatakan terkenal dengan rasa kayu dan pahitnya.

Kopi Liberica juga adalah spesies tanaman kopi yang tumbuh di iklim tertentu yang boleh didapati dikebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan juga Malaysia. 

Pengeluaran Kopi Liberica Di Malaysia

Menurut data dari Food And Fertilizer Technologu Center (FFTC), MARDI telahpun memulakan kajian mengenai kopi sejak tahun 1981 yang mana mereka memfokuskan kepada pembangunan variasi jenis kopi.

Antara negeri di Malaysia yang menjadi pengeluar utama biji kopi adalah Sabah, Johor dan Selangor. Walau bagaimanapun, Malaysia hanyalah menyumbang sekitar 0.16% produksi kopi di seluruh dunia yang mana ia berada di tangga ke 60 secara global.

Bercerita mengenai pengeluaran kopi di Malaysia juga, tahukah anda, kopi Liberica menyumbang 95% kopi yang ditanam di Malaysia?

Ladang kopi Liberica di Malaysia terletak di Kulaijaya yang merupakan dibawah operasi My Liberica. Ia merupakan ladang kopi Liberica yang sangat jarang ditemui di dunia yang menghasilkan kopi Liberica kelas khas yang berkualiti tinggi.

Biji kopi Liberica juga kini ditemui di Sarawak. Tanaman kopi Liberica telah ditanam secara aktif sejak tahun 1870-an di negeri berkenaan. Ia. dilihat berkembang secara baik dengan iklim dan tanah di Sarawak yang kini dikenali sebagai kopi dayak oleh masyarakat tempatan.

Liberica Adalah Tanaman Kopi Yang Jarang Ditemui Di Dunia

Biji kopi Liberica terkenal kerana ia adalah hasil yang jarang ditemui. Bukan itu sahaja, biji kopi Liberica hanya menyumbang 2% daripada keseluruhan penggunaan kopi di dunia. Salah satu sebab jarangnya adalah kesukaran menuai dan memproses biji kopi ini secara keseluruhan.

Sebagai perbandingan antara kopi Arabica, Robusta dan Liberica, ceri Arabica dan Robusta mempunyai saiz yang lebih seragam, dan hanya mempunyai satu biji untuk satu ceri. Sebaliknya, ceri Liberica adalah yang terbesar di antara variasi kopi yang mana ia mempunyai hasil yang lebih rendah, kulit yang lebih keras, ukurannya berbeza-beza, dan mempunyai satu hingga tiga biji untuk satu ceri.

Malah, tanaman kopi Liberica juga dikatakan tidak mempunyai kemampuan untuk membiak sendiri (self-pollinate) yang mengakibatkan ia bergantung kepada pendebungaan rentas melalui angin, serangga atau burung untuk membantu memindahkan debunga dari tanaman lain.

Keistimewaan Kopi Liberica

Bagi anda yang ingin mengetahui apakah rasa kopi Liberica, ia biasanya menghasilkan rasa yang buah dan manis, berkhasiat, dengan rasa yang lama di dalam mulut tetapi bersih apabila selesai dihirup.

Disebabkan pendebungaannya dipengaruhi oleh alam semula jadi, jadi ianya turut akan hadir dengan rasa yang unik selain sangat sesuai dibuat menjadi dark roast untuk hidangan kopi anda.

Sumber: Bean Shipper, The Prima Donna Life Thirsmag

Komen