Jika anda berkunjung ke pasaraya ataupun pasar barangan makanan, pastinya anda pernah melihat lobak merah yang berbentuk mini dan bersaiz kecil. Untuk pengetahuan anda, lobak merah tersebut lebih dikenali sebagai baby carrot atau lobak bayi.
Namun, tahukah anda bahawa lobak bayi asli sebenarnya tidak dipasarkan pada kuantiti yang besar? Lobak ini hanya dituai sebagai hasil penipisan tanaman dan dipasarkan di bawah kategori tanaman khas.
Malah, lobak bayi asli juga dikatakan tidak mempunyai rasa yang begitu sedap selain terlalu kecil dan halus untuk dimakan di dalam hidangan.

Benarkah Pasaraya Menjual Lobak Bayi Yang Berasal Daripada Lobak Merah Biasa?
Secara umumnya, lobak bayi yang terdapat di kedai runcit dan pasaraya adalah berasal daripada lobak merah biasa.
Ideanya datang kepada seorang petani di California yang bernama Mike Yurosek. Beliau mengambil lobak merah yang telah matang namun tidak mempunyai rupa asal yang sempurna untuk diubah dan diproses menjadi lobak dengan potongan bayi atau baby cut carrot.

Asal Usul Lobak Dengan Potongan Bayi
Pada awal tahun 1980-an, Yurosek mendapati bahawa jualan lobak merahnya sering tidak laku dan tidak berapa menguntungkan. Ia mungkin disebabkan oleh rupa lobaknya yang tidak cantik dan sempurna yang mana menjadikan orang ramai tidak membeli lobak darinya.
Jadi Yurosek berpendapat, jika lobak tersebut dapat diubah kepada bentuk yang lebih mudah di makan selain menampilkan saiz yang lebih mesra-makanan, pastinya lobak merahnya akan mendapat perhatian umum.
Bermula daripada idea tersebut, Yurosek memproses bentuk lobak menjadi apa yang kita lihat di pasaran sekarang iaitu lobak potongan bayi. Namun, pada awalnya Yurosek menggunakan pengupas kentang dan hasilnya tidak begitu cantik selain prosesnya terlalu sukar.
Tetapi kemudian dia membeli mesin pemotong kacang dan menetapkan siaz potongan sebesar 2 inci dan akhirnya beliau mendapat saiz lobak bayi yang seragam dan digunakan sehingga ke hari ini.

Bagaimana Baby Carrot Boleh Popular?
Kejayaan lobak potongan bayi dilihat sangat memberangsangkan. Menjelang tahun 1987, pengeluaran lobak telah meningkat sebanyak 30 peratus dan 70 peratus daripada jumlah penjualan lobak merah adalah jualan lobak potongan bayi.
Bolthouse Farms adalah salah satu syarikat yang memasarkan lobak potongan bayi yang terbesar. Menurut Scott LaPorta yang merupakan presiden Bolthouse Farms, kadar pembaziran lobak menjadi lebih rendah selain memberikan pilihan baru yang menarik dan enak kepada pengguna.
Tambahan, dengan pengenalan variasi jenis lobak potongan bayi seperti kerepek dan potongan “matchstix” ia menjadikan penjualan lobak menjadi lebih tinggi.

Selain Bolthouse Farms, Grimmway Farms turut hadir dengan inisiatif yang sama. Kedua-dua syarikat menguasai lebih daripada 80 peratus pasaran lobak merah di Amerika Syarikat dengan hasil jualan antara $600 juta hingga $800 juta setahun pada tahun 2019.
Antara faktor penyumbang kepada populariti lobak potongan bayi ini adalah teknik pemasaran yang menarik. Lobak ini diperkenalkan kepada umum sebagai sajian snek sihat dan juga pek pembungkusan yang setara dengan snek masin yang lain yang menjadikan kanak-kanak berminat untuk mencubanya
Sumber: Carrot Museum Food Network Business Insider DIY Network Fast Company