Carian
Di Sebalik Padini – Tahukah Anda Padini Dan Brands Outlet Di Bawah Payung Yang Sama?
January 20, 2023 Lina Rosli

Sebagai salah sebuah jenama fesyen yang popular di Malaysia, Padini hadir dengan pelbagai penawaran produk yang diminati kebanyakan individu selain turut boleh didapati pada harga yang mampu memilik.

Jika anda berkunjung ke kebanyakan pusat membeli-belah tidak kira di selatan, utara, barat atau timur Malaysia, pastinya anda tidak akan melepaskan peluang untuk singgah dan terokai produk-produk baru yang ditawarkan oleh Padini.

Padini Holdings Berhad adalah syarikat pemegangan pelaburan yang berpangkalan di Malaysia. Syarikat ini menjual kasut dan aksesori lelaki dan wanita, pakaian kanak-kanak, produk sampingan dan banyak lagi aksesori melalui pelbagai anak syarikat.

Antara jenamanya yang paling terkenal ialah Padini dan Vincci yang mana ia turut dipasarkan secara aktif di beberapa negara-negara Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Untuk pengetahuan anda juga, Padini Concept Store adalah kedai konsep yang menempatkan semua jenama Padini Holdings di bawah satu bumbung atau lebih dikenali sebagai one-stop-shopping.

Bagaimana Padini Holdings Mengembangkan Jenama Pakaian Mereka?

Sebelum menubuhkan Kedai Konsep Padini, Padini Holdings bermula dengan syarikat pengeluaran Hwayo Garments pada tahun 1971. Ia menawarkan pakaian wanita dan kemudiannya akan dipasarkan dan diserahkan kepada kedai serbaneka dengan pemilik tunggal.

Selari dengan perkembangan industri tekstil pada sekitar tahun 1980-an, jenama ini turut memperluaskan misi syarikat ke dalam arena perdagangan tekstil. Dari situ secara konsisten, Padini mula memperkenalkan beberapa jenama lain di bawahnya.

Titik Permulaan Penawaran Pelbagai Jenama Dari Padini

Menjelang tahun 1975, Padini memperkenalkan jenama pakaiannya yang tersendiri iaitu Padini dan diikuti oleh Vincci yang memfokuskan kepada jualan kasut pada tahun 1981.

Tidak sekadar memfokuskan kepada jenama dewasa, Padini turut memperkenalkan beberapa produk untuk kanak-kanak di bawah jenama Miki dan memperluaskan lagi variasi produk menerusi jenama Seed dan Rope.

Dari situ Padini memutuskan bahawa masa depan industri fesyen memerlukan mereka untuk membina jenama sendiri dan seterusnya menubuhkan Home Stores yang kini dikenali sebagai Padini Holdings pada tahun 1991.

Menerusi Home Stores, ia menghimpunkan kesemua jenama di bawahnya dan secara rancak menambah lagi beberapa label fesyen yang baharu seperti Padini Authentics, PDI, P&Co, and Vincci Accessories.

Tidak lama kemudian, Padini Holdings merancang untuk menjual produk mereka menerusi kedai fizikal di dalam pasaraya menerusi dua label kedai iaitu Padini Concept Store dan Brands Outlet.

Sehingga ke hari ini, Padini Holdings telah hadir dengan lebih dari 15 jenama fesyen dibawahnya yang mana untuk Brands Outlet sahaja, ia menawarkan sebanyak 10 jenama berlainan iaitu Garage Inc, Industrie Co, Studio, Filanto, Oceano, Ropé, Portofino, Gamester, Hotshots dan BO Accessories.

Kedai Konsep Padini Yang Pertama

Kedai pelbagai jenama pertama Kumpulan Padini Holdings yang pertama dibuka adalah di City Square, Johor Bahru. Ia membawakan kedai konsep seluas 11,000 kaki persegi dan mempamerkan barang dagangan dari Padini, SEED, PDI, Vincci, dan P&Co.

Secara keseluruhan, Padini Holdings mempunyai lebih dari 141 kedai di Malaysia yang terbahagi kepada 28 kedai jenama tunggal, 48 Kedai Konsep Padini, 55 kedai Brands Outlet dan 10 kaunter konsainan. Bukan itu sahaja, jenama ini turut telah memperluaskan produk mereka di pelbagai pasaran di seluruh dunia seperti Kemboja, Indonesia, Bahrain, Brunei, Myanmar, Qatar, Thailand dan banyak lagi.

Mengapa Padini Menjual Pakaian Menerusi 2 Label Dan 17 Jenama Berbeza?

Diasaskan oleh Yong Pang Chaun dan isterinya, Chong Chin Lin, syarikat Padini Holdings kini telah berusia lebih dari 50 tahun sejak pertama kali ideanya tercetus.

Tahukah anda, Yong Pang Chaun memulakan perniagaan ini ketika beliau usia 20 tahun? Oleh kerana, pengetahuannya yang luar mengenai pengurusan syarikat dan pengeluaran produk berkaitan fesyen, maka tidak hairan mengapa perniagaan pakaian kedua-dua individu ini berkembang secara berterusan.

Setiap Jenama Membawakan Konsep Dan Keperluan Yang Berlainan

Antara faktor utama yang menyokong mengapa Padini Holdings mengasingkan produk mereka kepada jenama yang berasingan adalah disebabkan setiap jenama memfokuskan kepada kumpulan individu dan juga keperluan yang berbeza.

Sebagai contoh, sekiranya anda mencari kasut wanita, anda akan melihat Vincci, sementara jika anda memerlukan pakaian yang lebih formal pula anda akan mendapatkannya di Padini atau untuk pakaian yang lebih kasual pula PDI adalah pilihan yang paling bersesuaian untuk pelanggan. 

Pengalaman Membeli Belah Yang Lebih Menyeluruh Dan Versatil

Pembeli yang berkunjung yang berkunjung ke butik atau kedai pakaian biasanya akan mengharapkan untuk mencari tawaran dan produk baru dari pelbagai jenama.

Dengan mengasingkan jenama dan label, maka ia akan menghasilkan idea dan juga konsep yang lebih variasi. Sudah tentu apabila berbeza jenama, setiap satunya akan hadir kumpulan pemasaran dan juga pereka yang berbeza. Jadinya, ia akan menghasilkan produk yang lebih dekat dengan pelanggan berdasarkan kajian yang dilakukan masing-masing.

Meningkatkan Kesedaran Jenama Untuk Bersaing Dalam Pasaran

Dengan kehadiran pelbagai jenama juga, ia membuatkan Padini Holdings mempunyai identiti yang lebih unik sekaligus menjadikannya destinasi automatik untuk pelanggan yang mencari gaya tertentu.

Perbezaan yang ketara bagi Kedai Konsep Padini dan Brands Outlet adalah tawaran harga yang berlainan untuk kedua-duanya. Menurut Pengarah Eksekutif Padini Holdings, Chan Kwai Heng, sewaktu zaman kemerosotan ekonomi, permintaan untuk pakaian dikatakan menurun.

Oleh sebab itu, mereka hadir dengan pelan rancangan baharu dengan memperkenalkan Brands Outlet yang lebih mesra pelanggan pada tahun 2007. Secara luaran, produk yang ditampilkan kelihatan hampir sama seperti di Kedai Konsep Padini, tetapi label ini dilihat membawakan pakaian pada harga yang lebih berpatutan dan pengeluaran dengan harga yang lebih rendah.

Sumber: Padini Sparrowsph The Edge Market

Komen