Apa itu makanan ultra-proses dan apakah contoh makanan ultra-proses? Ini adalah soalan asas yang akan sering menimbulkan tanda tanya akan kategori sesuatu makanan. Untuk pengetahuan anda, makanan ultra-proses adalah makanan yang melalui proses penambahan bahan penambah rasa atau food additives.

Antara contoh makanan ultra-proses adalah makanan sedia untuk dimakan seperti nuget, sosej, kentang goreng, piza sejuk beku, biskut yang dibeli di kedai, kek, gula-gula, donat, ais krim dan banyak lagi.

Secara umumnya, makanan ultra-proses dihasilkan dengan bahan-bahan terbitan industri dan sering menggunakan bahan tambahan makanan untuk menyesuaikan warna, rasa, konsistensi, tekstur, ataupun bahan yang juga bolej memanjangkan jangka hayat.

Selain itu juga, makanan ultra-proses di sini juga merujuk kepada makanan yang biasanya diformulasikan daripada bahan seperti garam, gula, minyak dan lemak serta bahan makanan yang digunakan untuk memenuhi kualiti deria.

Sebelum ini, rata-rata penyelidik telah memperlihatkan perkaitan antara makanan ultra-proses dan isu obesiti. Ia menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan diet ultra-proses akan maka lebih banyak makanan sehingga boleh meningkatkan berat badan.

Tetapi, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Penyelidik Institut Kesihatan dan Penjagaan Kebangsaan di Sekolah Kesihatan Awam Imperial College London, individu yang makan lebih banyak makanan ultra-proses akan cenderung untuk minum lebih banyak minuman berkarbonat dan juga minuman lain seperti teh dan kopi. Ini sekaligus turut menyumbang kepada pengurangan pengambilan makanan bernutrisi seperti sayur-sayuran dan makanan lain yang dikaitkan dengan corak pemakanan yang sihat.

Ini juga secara tidak langsung turut mempengaruhi gaya hidup indvidu yang mana mereka berkemungkinan besar jarang melakukan aktiviti fizikal yang boleh membantu meningkatkan daya tahan kardiovaskular.

Kesan Pengambilan Makanan Ultra-Proses Ke Atas Kesihatan

Dalam kajian yang diterbitkan menerusi jurnal eClinicalMedicine yang dikongsikan CNN, penyelidik telah melihat hubungan antara pengambilan makanan ultra-proses dan 34 jenis kanser yang berbeza dalam tempoh 10 tahun.

Penyelidik meneliti maklumat tentang tabiat pemakanan 197,426 individu dan hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat penurunan kognitif keatas individu yang mengambil makanan ultra-proses. Nilai pengambilan adalah sekitar 9.1% hingga 41.4% dalam diet harian.

Seterusnya, corak pemakanan kemudiannya dibandingkan dengan rekod perubatan yang memperlihatkan kesan negatif kepada sistem tubuh dan boleh membawa kepada kematian akibat kanser. Menurut penyelidik, peningkatan 10% dalam pengambilan makanan ultra-proses dikaitkan dengan peningkatan 2% pendedahan kepada kanser, dan peningkatan risiko 19% untuk didiagnosis dengan kanser ovari.

Bagi setiap tambahan 10% peningkatan dalam pengambilan makanan ultra-proses juga, risiko kematian akibat sebarang kanser meningkat sebanyak 6%, manakala risiko kematian akibat kanser ovari meningkat sebanyak 30%.

Berdasarkan perkongsian Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) pada tahun 2020, ia memaklumkan bahawa terdapat 1,836 kes kanser ovari terbaru di Malaysia, menjadikan ia kanser ketiga yang selalu dihadapi wanita di Malaysia selepas kanser payudara dan kanser usus.

Kanser ovari lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia sekitar umur 60 hingga 65 tahun dengan lebih 50% pesakit didiagnos di tahap 3 atau 4 kanser tersebut. 

Faktor yang mempengaruhi risiko kanser ovari ini adalah melibatkan gaya pemakanan harian individu. Penemuan itu menambah kepada kajian terdahulu yang menunjukkan hubungan antara sebahagian besar makanan ultra-proses (UPF) dalam diet dan risiko obesiti, serangan jantung, strok, dan diabetes jenis 2 yang lebih tinggi.

Mengapa Anda Akan Makan Lebih Banyak Jika Mengamalkan Diet Berasaskan Makanan Proses?

Untuk pengetahuan anda, diet berasaskan makanan ultra-proses cenderung mengandungi kalori yang lebih padat dan kurang kandungan air, menjadikan setiap makanan individu kurang mengenyangkan.

Oleh itu, untuk mencapai rasa kenyang, individu akan mencari makanan lain sebagai tambahan. Dan daripada situ juga, para penyelidik membuat hipotesis yang mana salah satu sebab mengapa makanann proses membuatkan anda makan lebih banyak adalah diakibatkan oleh tahap kelajuan mereka makan.

Secara amnya, individu yang makan makanan ultra-proses akan makan lebih cepat dan ini mungkin menyumbang kepada makan berlebihan. Hal ini dapat dikaitkan juga dengan kekerapan mengunyah yang mana jika anda mengunyah makanan lebih lama, ia adalah proses yang baik untuk menurunkan berat badan.

Keperluan Individu Dalam Mengamalkan Tabiat Pemakanan Yang Sihat

Memang benar bahawa tidak semua makanan proses boleh memburukkan kesihatan. Sebagai contoh, susu dan jus kebanyakannya diperkaya dengan kalsium dan vitamin D serta sangat sesuai dipadankan dengan bijirin yang kaya dengan serat tambahan.

Namun, tahukah anda yang mana makanan yang diproses secara minimum sebenarnya boleh membantu anda makan lebih banyak makanan padat nutrien.

Jika anda ingin meminimumkan pengambilan makanan yang diproses, sasarkan untuk melakukan lebih banyak penyediaan makanan dan memasak di rumah. Sediakan asas makanan seperti pes makanan yang disediakan di rumah, memilih juga sayur-sayuran dan sumber protein yang segar.

Tidak salah untuk makan makanan yang diproses secara sederhana, tetapi elakkan makanan yang mengandungi banyak gula tambahan, lemak dan garam.