Secara umumnya, mesin basuh merupakan antara peralatan rumah yang penting untuk kediaman anda. Ini kerana dengan ada mesin basuh ini, ia bukan sahaja memudahkan anda untuk mengurus pakaian kotor di rumah tetapi juga memberikan jaminan kebersihan pakaian untuk kegunaan harian.
Di pasaran, penulis boleh katakan terdapat pelbagai jenis mesin basuh yang ditawarkan oleh pengeluar. Ini termasuk mesin basuh jenis automatik dan juga mesin basuh jenis separa automatik.
Kedua-dua jenis mesin basuh ini mempunyai kelebihan yang berbeza, bergantung kepada keperluan penggunaan isi rumah. Sebagai contoh, untuk anda yang ingin mengawal kos elektrik di rumah, mungkin mesin basuh separa automatik adalah pilihan yang baik.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mementingkan kemudahan pengurusan dengan hanya menekan satu butang sahaja, maka mesin basuh automatik pastinya perlu ada di dalam senarai pembelian anda.
Mesin Basuh Separa Automatik vs Automatik Penuh
Membersihkan pakaian adalah tugas yang sukar. Ada masanya anda terpaksa bekerja keras untuk membersihkan pakaian. Oleh itu, dengan adanya mesin basuh, ia telah menjadikan tugas yang sukar kini lebih mudah dan cekap.
Seperti yang anda tahu, mesin basuh terdiri daripada dua jenis iaitu automatik sepenuhnya dan separa automatik. Sekarang persoalannya ialah yang mana satu yang sesuai untuk anda?
Mesin Basuh Separa Automatik
Mesin basuh separa automatik ini merupakan antara pilihan yang popular oleh kebanyakan rumah kerana ia lebih murah daripada mesin automatik sepenuhnya. Jenis mesin basuh ini hanya sebahagiannya sahaja yang dilaksanakan secara automatik dan sebahagian lagi memerlukan campur tangan manual.
Sekiranya anda ingin mendapatkan mesin basuh separa automatik, pertama, anda perlu menambah air ke dalam tab sebelum mula mencuci. Sebaik sahaja prosedur mencuci selesai, anda perlu mengalirkan air keluar dari mesin untuk proses mengeringkan baju.
Mesin basuh separa automatik juga biasanya dilengkapi dengan dua tab berasingan. Satu untuk pembersihan, dan satu lagi untuk pengeringan. Selepas mencuci selesai, anda perlu memindahkan pakaian yang telah dibasuh ke tab pengeringan secara manual.
Mesin Basuh Automatik
Untuk mesin basuh automatik penuh pula merujuk kepada mesin yang melakukan semua prosedur basuh secara automatik. Dan ini bermakna, anda tidak perlu melakukan sebarang campur tangan manual.
Perlu dinyatakan di sini juga, mesin basuh automatik juga terdiri daripada dua jenis iaitu mesin basuh muatan hadapan (front-load) dan mesin basuh muatan atas (top load) yang mana untuk kedua-dua mesin basuh jenis ini mempunyai program dan mod basuh yang berbeza.
Tugas anda ialah memilih program yang sesuai dengan keperluan anda. Dan selepas hanya menekan butang, ia melakukan segala-galanya secara automatik sekaligus memberikan anda pembersihan yang lebih cekap.
Jadi, Manakah Yang Lebih Sesuai?
Kedua-dua pilihan ini bergantung kepada saiz ruang dan juga bajet perbelanjaan anda. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri, maka anda perlu menentukan ciri apa yang anda inginkan.
Sebagai contoh, jika anda tidak mempunyai banyak masa untuk menguruskan pakaian yang banyak selain mempunyai bilangan ahli rumah yang ramai, maka adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan mesin basuh automatik. Ia bukan sahaja lebih cekap dalam membersihkan pakaian tetapi dapat menjimatkan masa anda.