Carian
Aloe Vera Tidak Tergolong Dalam Kumpulan Kaktus – Tumbuhan Ini Berasal Dari Kategori ‘Aloe’
July 7, 2023 Lina Rosli

Aloe vera adalah salah satu tumbuhan yang paling popular untuk ditanam di dalam mahupun di luar rumah.

Bukan sahaja tumbuhan yang berair ini cantik dipandang, malah ia turut mudah dijaga dan menawarkan banyak manfaat kesihatan dan kecantikan.

Aloe vera mengandungi sifat anti-radang sekaligus menjadikannya penyelesaian yang cepat dan mudah untuk membantu menyembuhkan luka akibat terbakar, luka akibat terkena barangan tajam ataupun kerengsaan lain.

Apa yang menjadikannya unik, anda hanya perlu patahkan dan pecahkan salah satu daun untuk mengakses gel aloe vera di dalamnya dan sapukan pada kawasan kulit yang terkesan.

Menurut kajian NASA, aloe vera berkesan baik membersihkan bahan pencemar di udara yang mana ia membantu menghilangkan karbon dioksida di atmosfera dan menggantikannya dengan oksigen. Jadi tumbuhan ini sesuai untuk pangsapuri bandar atau mana-mana lokasi dengan kualiti udara yang buruk.

Kenali Aloe Vera – Apakah Asal Usulnya?

Ramai orang menganggap pokok aloe vera adalah sebahagian daripada keluarga kaktus kerana luarannya yang runcing dan warna hijau yang biasa dan tidak berdaun seperti pokok lain.

Namun, Aloe Vera sebenarnya hadir daripada genusnya yang tersendiri yang dipanggil “Aloe”. Spesies yang paling dikenali secara meluas sebagai nama aloe vera kerana ia ditanam sebagai sumber asas untuk pelbagai tujuan farmasi dan perubatan.

Kumpulan aloe vera mengandungi lebih daripada 500 jenis berbunga dan berasaskan sukulen. Sebagai tambahan kepada kacukan dan spesies dalam genusnya, terdapat juga variasi lain yang dicipta dalam penanaman gasteria dan astroba.

Untuk pengetahuan anda juga, kelebihan atau keunikan aloe vera bukanlah datang dari kandungan air di dalamnya, tetapi berasal dari 5% molekul polisakarida aloe, vitamin, mineral, enzim, asid lemak, hormon dan anthraquinones yang memberikan produk aloe vera keberkesanannya yang tinggi dalam merawat luka dan kerengsaan.

Menarik mengenai aloe vera lagi, tumbuhan ini mempunyai sifat yang tahan lasak. Maka, tidak hairanlah spesies liar aloe vera boleh hidup selama lebih 100 tahun.

Jika anda ingin menanam aloe vera, adalah disarankan untuk meletakkannya di kawasan yang hangat dan kering kerana jika ditanam di kawasan sejuk dan lembap, kandungan air yang tinggi di dalam batangnya boleh menyebabkan mereka membeku.

Tips Penjagaan Aloe Vera

Terdapat satu perkara yang perlu diingat semasa menanam aloe vera yang mana ia perlu disiram hanya sekitar sekali seminggu atau dua minggu sekali. Penyiraman berlebihan akan menghalang saliran sekaligus menyebabkan akar reput dan tumbuhan mati.

Walau bagaimanapun, jika anda mengesyaki tumbuhan anda telah terlalu banyak air, anda dicadangkan untuk mengeluarkannya dengan perlahan dari pasu untuk membiarkan tanah kering sementara. Selepas itu, potong mana-mana akar yang busuk atau lembek dan tanam semula di tanah yang segar.

Tips lain untuk menanam aloe vera juga:

  • Anda perlu memilih pasu yang mempunyai banyak lubang saliran.
  • Kemudian lakukan campuran tanah kering dengan pasir dan tempatkannya di bawah cahaya matahari langsung selama kira-kira tujuh jam sehari.

Sekiranya anda meletakkan aloe vera di kawasan dengan jumlah matahari yang mencukupi, ia akan tumbuh dengan baik. Jadinya, tempatkan tumbuhan anda berdekatan dengan tingkap atau kawasan yang tidak terlalu panas supaya tumbuhan anda tidak terbakar.

Komen