Pernah menjadi satu fenomena di Malaysia yang mana kebanyakan restoran dan kedai makan menyajikan pelbagai hidangan pedas. Antara hidangan yang pernah popular termasuk cili Gochujang Korea, cili giling gepuk dan cili ghost pepper.
Bagi penggemar makanan pedas, anda pasti pernah merasakan tahap di mana apabila anda memakan makanan pedas, ia membuatkan anda berasa panas dan berpeluh. Namun, apakah penyebab yang membuat anda berasa sedemikian?
Untuk pengetahuan anda, makanan pedas mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai capsaicin. Capsaicin ini menjadikan cili anda berasa pedas. Secara khusus, bahan kimia ini hadir dalam tanaman dalam keluarga Capsicum, termasuk paprika, lada jalapeño, lada cayenne dan cili yang lain.

Adakah Capsaicin Punca Berpeluh Ketika Makan Makanan Pedas?
Jawapannya adalah ya, ia merupakan faktor utama anda berpeluh sewaktu makan makanan pedas. Reseptor di dalam badan anda akan diaktifkan yang menyebabkan anda berpeluh. Hal ini kerana, otak anda menerima isyarat dan akan memberi respons untuk menyejukkan badan anda melalui mekanisme tertentu.
Secara khusus, hipotalamus adalah pusat termoregulasi badan yang akan mengaktifkan berjuta-juta kelenjar peluh di dalam badan dan seterusnya menghasilkan peluh setelah pengambilan capsaicin.
Apakah Kesan Capsaicin Pada Badan?
Selain menjadikan sesuatu makan pedas, ia juga turut meningkatkan sensasi terbakar (burning sensation) pada bahagian kulit atau sel tisu lain yang disentuhnya. Bahagian cili yang mempunyai capsaicin adalah selaput luar dan bahagian dalam lada. Manakala, biji lada sama sekali tidak mengandungi capsaicin.
Ia turut merangsang pengeluaran endorfin, sebab itulah beberapa orang melaporkan mengalami rasa euforia ketika makan makanan pedas.

Mengapa Minum Air Boleh Menambah Lagi Rasa Pedas Pada Makanan?
Capsaicin adalah bahan yang tidak larut dalam air. Ia boleh diumpamakan seperti minyak dan air yang mana apabila anda meminum air, ia akan menyebarkan rasa pedas terus ke dalam mulut.
Walau bagaimanapun, capsaicin boleh larut dalam produk tenusu dan lemak (fat) yang mana rasa pedas ini boleh dihilangkan apabila meminum susu penuh lemak.
Selain itu, bagi mereka yang ingin mengelakkan tenusu, anda juga boleh mendapatkan minuman sitrus atau yang bersifat acidic. Ini kerana capsaicin adalah molekul alkali. Oleh itu, untuk mengimbanginya dengan asid boleh membantu meneutralkan aktiviti molekul. Ini bermakna minum atau makan sesuatu yang berasid seperti limau, limau nipis, jus oren atau makanan dan minuman berasaskan tomato juga boleh membantu menyejukkan mulut anda.