Tips Beralih Dengan Selesa Daripada Memakai Kasut Sukan Kepada Kasut Tumit Tinggi
Lina Rosli
Bergantung kepada acara dan majlis, individu terutamanya wanita sering akan bertukar-tukar kasut sama ada daripada kasut atau sandal biasa kepada kasut tumit tinggi ataupun sebaliknya.
Pertukaran yang kerap ini sudah tentu akan menyebabkan ketidakselesaan dan akan memberi kesan kepada kualiti berjalan disebabkan oleh ketinggian dan keruncingan tapak yang berbeza.
Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda tips untuk beralih dengan selesa – daripada kasut sukan kepada kasut tumit tinggi.

Kekal Aktif Untuk Kekal Selesa
Perkara utama yang perlu anda titikberatkan adalah kesihatan kaki anda. Oleh itu, tips pertama yang perlu anda praktikkan ialah mengekalkan dan meningkatkan kesihatan keseluruhan anda dengan mengamalkan gaya hidup yang aktif.
Sebagai contoh, bersenam merupakan langkah pencegahan yang dapat membina dan meningkatkan kekuatan muskuloskeletal. Jadinya, anda boleh lakukan senaman seperti regangan kaki sebagai rutin harian yang perlu dilaksanakan bagi memperoleh keselesaan yang kekal sewaktu beralih dari kasut ke kasut tumit tinggi.

Malah, ia juga membantu mengelakkan kecederaan selain turut meningkatkan fleksibiliti kepada tulang kaki. Anda juga disyorkan untuk mengelakkan senaman berimpak tinggi seperti berlari jika anda mengalami masalah ortopedik. Berjalan dengan beban atau jalur regangan adalah cara terbaik untuk membina kekuatan tanpa memberi tekanan yang tidak diingini pada sendi anda.
Mulakan Dengan Tumit Kasut Yang Tidak Terlalu Tinggi
Elakkan daripada menggunakan tumit kasut yang terlalu tinggi ataupun mempunyai jurang yang besar dengan kasut sukan anda dengan cara bermula pada ketinggian yang lebih rendah.
Fikirkan kasut tumit jenis ‘kitten heels‘ atau tumit bertindan rendah. Hal ini kerana, tumit dengan ketinggian satu atau dua inci ini merupakan titik permulaan yang ideal untuk membiasakan kaki anda dengan sensasi yang menentang graviti dan hujung kaki.
Dan apabila anda telah yakin dengan kekuatan kaki anda, anda boleh mula beralih ke tumit yang lebih runcing dan mungkin juga ketinggian yang lebih tinggi. Ingat, semakin tinggi tumit, semakin kurang stabil yang mungkin anda rasakan. Untuk mengatasi ketidakstabilan, perhatikan pergerakan dan lenggok tubuh anda dan pastikan ia bergerak selari dengan kaki bagi mengekalkan keseimbangan.

Utamakan Keselesaan Kaki Sewaktu Memilih Kasut
Dapatkan kasut berjalan yang selesa, lebih-lebih lagi untuk kasut tumit tinggi. Sekiranya anda seorang yang perlu berjalan jauh setiap hari, gunakan kasut tumit tinggi yang versi lebih rendah daripada tumit biasa anda. Ini bertujuan untuk membantu anda mencapai keselesaan untuk berjalan sekurang-kurangnya enam blok tanpa menjejaskan kesihatan kaki anda.
Di samping itu, sewaktu membeli kasut tumit tinggi, pilih saiz separuh atau satu kali lebih besar kerana ia membantu menyediakan ruang tambahan untuk menampung sebarang bengkak kaki yang mungkin berlaku disebabkan oleh berjalan di atas tumit untuk tempoh yang lama.