Apakah Simptom Demensia Yang Perlu Anda Ketahui?

April 30, 2024
Kesihatan

Lina Rosli

Demensia merupakan sebuah keadaan yang mana individu mengalami kehilangan fungsi kognitif yang digunakan untuk berfikir dan mengingat sehingga mengganggu kehidupan dan aktiviti harian seseorang.

Terdapat berbagai-bagai keadaan demensia yang dialami individu. Antaranya, individu yang mengalami demensia tidak dapat mengawal emosi mereka, dan personaliti mereka mungkin berubah. Ia juga cenderung dialami oleh warga emas yang mana kira-kira satu pertiga daripada penghidap demensia adalah berumur 85 tahun ke atas.

Harus diingatkan, walaupun ia banyak berlaku dalam kalangan masyarakat, demensia ini tidak termasuk dalam bahagian normal penuaan.

Siapakah Yang Berisiko Mengalami Demensia?

Menurut MyHealth Portal, antara individu yang mempunyai risiko tinggi dalam mengalami demensia termasuklah:

  • Wanita, bergantung kepada jenis demensia
  • Mereka yang mengalami masalah tekanan darah yang tak terkawal, penyakit kencing manis, penyakit jantung, paras lemak dalam darah yang tinggi
  • Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson
  • Mereka yang terencat akal atau tahap pembelajaran yang rendah.

Ada juga terdapat fakta genetik serta keturunan yang didapati meninggikan risiko tanpa menyebabkan penyakit berlaku.

Di Malaysia, kira-kira 8.5% individu yang berumur 60 tahun ke atas berkemungkinan besar mengalami demensia.

Apa Yang Menyebabkan Demensia?

Secara umumnya, faktor yang menyebabkan Alzheimer dan demensia boleh menjadi berbeza-beza bergantung pada jenis perubahan otak yang mungkin berlaku.

Walaupun penyelidikan mendapati bahawa beberapa perubahan dalam otak dikaitkan dengan bentuk demensia tertentu, dalam kebanyakan kes, punca asas tidak diketahui. Mutasi genetik yang jarang berlaku boleh menyebabkan demensia dalam bilangan orang yang agak kecil.

Bukan itu sahaja, setakat ini, tiada langkah pencegahan khusus yang dapat dilakukan bagi mengurangkan risiko ini. Namun, menjalani gaya hidup sihat boleh membantu mengurangkan faktor risiko yang telah dikaitkan dengan penyakit ini.

Tanda dan simptom demensia terhasil apabila neuron yang pernah sihat, atau sel saraf, dalam otak berhenti berfungsi. Daripada situ, ia akan mewujudkan gejala demensia yang berbeza-beza seperti:

  • Mengalami kehilangan ingatan, penilaian yang lemah, dan kekeliruan
  • Kesukaran bercakap, memahami dan menyatakan fikiran, atau membaca dan menulis
  • Kerap mengulang soalan
  • Menggunakan perkataan luar biasa untuk merujuk kepada objek biasa
  • Mengambil masa yang lebih lama untuk menyelesaikan tugas harian biasa
  • Hilang minat dalam aktiviti atau acara harian biasa
  • Berhalusinasi atau mengalami khayalan atau paranoia
  • Bertindak secara impulsif
  • Mudah marah dan cepat tertekan
  • Kehilangan keseimbangan dan masalah dengan pergerakan

Orang yang kurang upaya intelek dan perkembangan juga boleh mengalami demensia apabila mereka berumur, dan mengenali gejala mereka boleh menjadi sangat sukar. Adalah penting untuk mempertimbangkan kebolehan semasa seseorang dan memantau perubahan dari semasa ke semasa yang boleh menandakan demensia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd