Mengapa Rambut Kita Berbeza? Memahami Punca Rambut Kerinting Dan Rambut Lurus
Lina Rosli
Secara umumnya, rambut individu boleh hadir dalam pelbagai tekstur, dari yang kerinting hingga yang lurus, dan perbezaan ini sering menimbulkan persoalan; mengapa rambut kita berbeza?
Secara umumnya, perbezaan rambut yang berlaku untuk setiap individu ini adalah disebabkan oleh perbezaan folikel.
Folikel merupakan organ kulit yang diperlukan untuk menghasilkan rambut. Folikel ini terletak pada lapisan epidermis kulit. Ia akan melalui beberapa fasa penghasilan rambut iaitu:
- pertumbuhan (anagen)
- perhentian (katagen)
- rehat (telogen)
Apabila lebih banyak sel telah terhasil, rambut akan mula tumbuh keluar dari kulit dan muncul ke lapisan permukaan. Seterusnya, pada bahagian lain di sekitar kulit seperti kelenjar sebum akan menghasilkan minyak bagi membantu menyuburkan kulit untuk penghasilan rambut yang lebih kuat.

Berapa Lama Rambut Mengambil Masa Untuk Tumbuh?
Di setiap fasa, proses pertumbuhan rambut akan mengambil masa beberapa hari untuk lengkap. Contohnya, di fasa anagen, rambut akan mula tumbuh dari akar dan ia biasanya akan mengambil masa antara tiga hingga tujuh tahun.
Manakala di fasa katagen pula, pertumbuhan akan menjadi perlahan dan folikel akan mengecut dalam fasa ini.
Apabila mencapai fasa telogen, rambut lama akan mula gugur dan rambut baru pula akan mula tumbuh dari folikel yang sama. Ia merupakan fasa yang penting bagi setiap individu bagi mendapatkan pembentukan dan keadaan rambut yang sihat sepanjang hidup.
Dan untuk proses pertukaran rambut lama ke rambut yang baharu, ia biasanya akan mengambil masa sekitar 3 hingga 4 bulan.
Menurut American Osteopathic College of Dermatology, rata-rata orang kehilangan kira-kira 100 helai rambut sehari. Kira-kira 90 peratus individu pula mempunyai folikel rambut yang berada dalam fasa anagen pada bila-bila masa.

Mengapa Ada Individu Yang Lahir Dengan Rambut Yang Kerinting Dan Ada Pula Rambut Lurus?
Jenis rambut sama ada kerinting atau lurus rambut sebenarnya bergantung kepada genetik. Genetik memainkan peranan utama dalam menentukan tekstur rambut seseorang. Folikel rambut berbentuk bulat cenderung menghasilkan rambut lurus, manakala folikel berbentuk oval atau elips menghasilkan rambut kerinting.
Gen-gen ini menentukan seberapa kuat ikatan disulfida (ikatan kimia) yang terbentuk dalam struktur rambut, yang seterusnya mempengaruhi tekstur rambut. Walau bagaimanapun, setakat ini tiada 100% penyelidikan yang kukuh untuk menyokong bagaimana pembentukan rambut ini ditentukan.
Namun, terdapat beberapa teori yang berkemungkinan besar menjawab kepada persoalan di atas:
- Struktur folikel rambut
- Kandungan protein dan ikatan kimia (semasa pertumbuhan)
- Pengaruh hormon dan ubat-ubatan
- Faktor persekitaran dan pengunaan produk rambut
Untuk memahami lebih lanjut tentang teori di sebalik variasi ini, berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda terokai:
Struktur Folikel Rambut
Seperti yang dinyatakan di atas, struktur fizikal folikel rambut adalah faktor utama yang menentukan tekstur rambut. Folikel rambut yang berbentuk bulat menghasilkan rambut yang tumbuh lurus dan rata, manakala folikel yang berbentuk lebih oval menyebabkan rambut tumbuh dengan lebih kerinting. Perubahan bentuk folikel ini disebabkan oleh pelbagai faktor genetik dan biologi.
Kandungan Protein Dan Ikatan Kimia
Rambut kerinting seringkali mengandungi lebih banyak protein keratin yang membentuk ikatan disulfida antara helai rambut. Ikatan ini menyebabkan rambut menjadi kerinting atau berombak. Sebaliknya, rambut lurus mempunyai kurang ikatan disulfida dan cenderung tumbuh lebih lurus dan rata.
Pengaruh Hormon Dan Kesihatan
Hormon juga boleh mempengaruhi tekstur rambut. Perubahan hormon semasa kehamilan atau keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan perubahan pada struktur rambut. Contohnya, perubahan hormon semasa tempoh pertumbuhan boleh menyebabkan rambut berubah dari lurus ke kerinting atau sebaliknya.
Faktor Persekitaran Dan Penggunaan Produk Rambut
Walaupun genetik adalah faktor utama, persekitaran dan cara penjagaan rambut juga boleh mempengaruhi penampilan rambut. Penggunaan bahan kimia, pemanasan berlebihan dan faktor persekitaran seperti kelembapan boleh menyebabkan perubahan sementara pada tekstur rambut.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana perbezaan antara rambut kerinting dan lurus bukanlah sekadar soal penampilan, tetapi melibatkan kombinasi kompleks faktor genetik, struktur biologi, dan pengaruh luar.
Secara asasnya, genetik menetapkan asas kepada tekstur rambut melalui pembentukan folikel dan kehadiran ikatan kimia seperti ikatan disulfida. Namun, terdapat faktor lain seperti hormon, kesihatan dan persekitaran juga memberi impak signifikan sekaligus menyebabkan variasi yang kadangkala sukar diramal.
Dengan memahami mekanisme ini, kita dapat lebih menghargai kepelbagaian rambut di seluruh dunia, serta pentingnya pendekatan penjagaan rambut yang sesuai dengan keperluan individu. Rambut dalam segala variasinya adalah cerminan unik identiti genetik dan pengalaman hidup kita.