Tawaran 11.11, atau yang dikenali sebagai Singles’ Day Sale telah menjadi salah satu acara beli-belah atas-talian yang terbesar di dunia.
Bermula di China pada tahun 2009 oleh Alibaba, tarikh 11 November yang dikenali sebagai Hari Bujang ini (simboliknya diwakili oleh angka 11.11) kini berkembang menjadi festival beli-belah global yang dirayakan oleh platform edagang di seluruh dunia – termasuk Malaysia.
Tetapi mengapa tarikh ini mendapat sambutan yang begitu luar biasa?
Mengapa 11.11?
Untuk pengetahuan anda, tarikh 11 November ini sebenarnya merupakan tarikh perayaan untuk Hari Bujang dan disebut Singles’ Day. Ia diperkenalkan oleh pengasas Alibaba iaitu Jack Ma.
Tanggal 11 November (11.11), dipilih kerana angka “1” menyerupai kayu panjang yang disebut guānggùn dalam bahasa Mandarin. Ia merupakan bahasa slanga internet masyarakat Cina untuk golongan bujang yang tidak berkahwin.
Bagaimana 11.11 bermula?
Hari Bujang ini mula diperkenalkan pada tahun 1993 di Universiti Nanjing bagi meraikan para pelajar yang tidak mempunyai pasangan – turut dikatakan sebagai hari lawan kepada Hari Valentine pada tanggal 14 Februari.
Dan jika dilihat dari sudut edagang pula, kebanyakan jenama antarabangsa akan mengambil bahagian dalam acara Black Friday dan juga Thanksgiving. Jadi, acara 11.11 ini dikategorikan sebagai Black Friday Asia atau Cyber Monday Asia yang membawakan pelbagai tawaran menarik dan diskaun berbaloi yang boleh semua pengunjung nikmati.
Acara Yang Besar Dengan Nilai Transaksi Yang Besar
Acara tahunan ini bermula pada tengah malam 11 November dan berlangsung selama 24 jam yang menampilkan potongan harga secara besar-besaran. Namun, dalam kebanyakan situasi, ada juga platform yang telah melakukan pra-diskaun seawal 6 November.
Pada tahun 2023 yang lalu, platform edagang Lazada menutup kempen jualan terbesar tahunan mereka dengan kejayaan besar, menawarkan pelbagai tawaran dan diskaun menarik yang mendapat sambutan luar biasa. Dalam jam pertama kempen mega 11.11, Lazada mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 63 kali ganda di seluruh Asia Tenggara – ini sekaligus menunjukkan minat yang tinggi dari pembeli di rantau ini.
Selain menawarkan diskaun besar, Lazada turut memanfaatkan strategi gamification yang berjaya menarik minat pengguna. Permainan dalam aplikasi Merge Boss mencatatkan peningkatan pemain sebanyak empat kali ganda berbanding hari biasa.
Sementara di Shopee pula, platform ini mencatatkan peningkatan 82 kali ganda dalam pesanan Shopee Live untuk penjual tempatan semasa kempen 11.11 Big Sale pada tahun 2023. Pengguna tertarik dengan promosi seperti baucar diskaun 90%, permainan Kotak Duit Misteri dan demonstrasi produk secara langsung – yang memperkuat pengalaman membeli-belah dalam talian.
Di Malaysia sahaja, Shopee merekodkan pencapaian terbesar dengan jualan melebihi 1.3 juta produk dalam masa dua jam pertama, menandakan hari jualan paling berjaya dalam sejarah platform ini.
Bukankah ini merupakan sebuah nombor yang besar? Tidak hanya dua platform ini sahaja, tetapi terdapat pelbagai platform edagang lain termasuk TikTok Shop, ZALORA dan juga SHEIN yang turut memperoleh hasil jualan yang tinggi ketika jualan Hari Bujang 11.11.
Oleh itu, dengan adanya infrastruktur edagang, ia sememangnya banyak membantu jenama-jenama global dan tempatan dalam menikmati faedah dan kemudahan pembelian secara atas-talian lebih-lebih lagi pada era teknologi runcit baharu ini.
Strategi ‘Runcit Baru’
Selain tawaran promosi dan diskaun yang berbaloi, acara 11.11 ini juga membawakan pelbagai strategi pemasaran yang dikendalikan platform edagang.
Tidak hanya tertumpu kepada jualan, platform-platform ini juga hadir dengan pelbagai kaedah pemasaran selari dengan kelebihan teknologi yang tersedia.
Contohnya di TikTok Shop, mereka telah membawa perubahan besar kepada komuniti PKS di Malaysia sejak dilancarkan pada tahun 2022. TikTok Shop menggunakan pendekatan Shoppertainment, di mana penjual dapat memasarkan produk mereka dengan kombinasi kandungan dan edagang, seperti sesi penstriman langsung untuk jualan, penerbitan kandungan video dan juga iklan yang boleh dibeli terus.