Bukan sahaja muka yang harus diberi perhatian, malah kuku tangan dan kaki juga patut diberi perhatian sama seperti muka. Mengapa pentingnya menjaga kuku ini?
Ini kerana anda menggunakan tangan untuk membuat hampir kesemua benda, menulis, memasak, menaip, membuat kerja rumah dan macam-macam lagi. Oleh sebab itu, sekiranya tangan tidak dijaga dengan baik, kuku tangan anda boleh rosak.
Sebenarnya, untuk mempunyai kuku yang sihat, anda tidak perlu ke spa untuk penjagaan kuku, tetapi perlaksanaan penjagaan di rumah juga boleh.
Jom lihat Tajria kongsikan kepada semua cara dan tips untuk menjaga kuku dengan betul.
#1 Pakai Sarung Tangan
Sebagai seorang wanita, membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan sedikit sebanyak akan merosakkan kuku. Ini kerana pencuci yang digunakan amat kasar untuk kulit dan kuku, dan kemungkinan akan membuatkan kulit menjadi kering, pedih serta kuku akan mudah pecah.
Untuk mengelakkan perkara ini terjadi, apa yang anda boleh lakukan adalah dengan memakai sarung tangan ketika membuat kerja rumah. Cari sarung tangan getah yang selesa untuk dipakai, kemudian anda boleh mencuci pinggan dan kerja rumah yang lain tanpa risau akan kulit menjadi kering.
#2 Elakkan Dari Menggigit Kuku
Kalau anda mempunyai tabiat gigit kuku, sewajarnya anda disarankan untuk berhenti dengan segera. Ini kerana, ia bukan sahaja merosakkan bentuk kuku, malah anda mungkin tergigit kuku terlebih dalam sekaligus akan membuatkan kuku rasa sangat pedih.
Bukan itu sahaja, oleh kerana tangan menyentuh pelbagai objek, pasti terdapat banyak kuman di bawah kuku. Dan amalan menggigit kuku boleh menyebabkan kuman akan masuk di dalam badan dan mungkin akan menjejaskan kesihatan korang.
#3 Amalkan Pemakaian Pelembab Kuku
Bukan muka sahaja yang harus memakai pelembab, tidak kurang juga dengan kuku. Kuku memerlukan kelembapan untuk mengelakkan kuku menjadi rapuh, seterusnya memudahkan kuku untuk pecah.
Secara umumnya, anda boleh menggunakan apa-apa sahaja yang boleh melembabkan kuku seperti losyen badan, minyak khas untuk kuku, atau minyak kutikel. Dengan pemakaian yang kerap, kuku anda akan jadi lebih kuat, tidak mudah pecah serta akan berkilat.
#4 Potong Dan Kemaskan Kuku Dengan Kerap
Sama seperti rambut, lakukan pemotongan dan pengemasan kuku dengan kerap, sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Pentingnya pemotongan kuku ini untuk mengelakkan anda mendapat jangkitan kuman di kuku. Pastikan anda tidak memotong terlalu pendek hingga ke kulit dan jangan lupa untuk mengemaskan kuku agar tiada bahagian kuku yang kasar akibat pemotongan tadi.
Selain itu, sebulan sekali, berikan sedikit ganjaran kepada diri dengan sesi merias kuku di spa. Ini kerana sesi ini bukan hanya untuk mewarnakan kuku, sebenarnya proses riasan ini akan bersihkan kuku dan menolak kutikel kuku.
Bagi yang tidak mahu mewarnakan kuku, cukup sekadar bersihkan kuku dan kilatkannya. Dengan ini kuku anda pasti akan nampak lebih bersinar dan sangat sihat.
#5 Penggunaan Vitamin Kuku
Selain penjagaan luaran, dalaman juga penting. Untuk mendapatkan kuku yang sihat dan kuat, anda boleh mendapatkan vitamin dan nutrien yang secukupnya.
Antara vitamin yang penting adalah biotin, omega-3, vitamin b, minerals seperti kalsium, zinc, iron dan magnesium. Selain itu juga, makan makanan tinggi probiotik seperti tempe, kekacang, ubi keledek, avokado dan banyak lagi.
Mungkin masih ada segelintir orang yang memandang remeh tentang penjagaan kuku. Tapi harus diingatkan, kebersihan kuku ini juga mempengaruhi pandangan seseorang – lebih-lebih lagi pandang pertama orang lain terhadap anda.