Jika minum secawan kopi membuatkan seseorang berasa letih, besar kemungkingan ia adalah kesan kafein yang terkandung di dalam minuman.
Secara umumnya, kafein berupaya untuk meningkatkan kewaspadaan dengan mengganggu proses kimia tertentu dalam otak yang mengawal kitaran tidur-bangun. Walau bagaimanapun, apabila badan memetabolismekan (memproses kafein secara metabolisme) sepenuhnya kafein, ia boleh membuatkan individu berasa letih.
Untuk pengetahuan anda, kadar di mana tubuh seseorang memetabolismekan kafein berbeza-beza bergantung kepada faktor genetik dan gaya hidup.
Selain itu, kekurangan tidur, dehidrasi, perubahan gula dalam darah juga boleh menyebabkan anda berasa letih selepas minum kopi.
Jam Tidur Yang Tidak Mencukupi
Berdasarkan perkongsian akhbar, kajian telah dilakukan ke atas rakyat Malaysia pada tahun 2019 dan hasil mendapati 51 peratus pekerja di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk tekanan dan tidur yang tidak mencukupi.
Dan rata-rata individu akan mengambil kopi sebagai peneman dan penggalak untuk mereka kekal aktif sewaktu berjaga.
Minum lebih banyak kopi dalam usaha untuk mengatasi keletihan memberi kesan negatif kepada tidur dan akan membuatkan anda mengantuk keesokan harinya. Disebabkan itu, beralih kepada kopi untuk memperbaiki kesan kurang tidur boleh mewujudkan kitaran negatif. Kerana anda berasa lebih letih, anda minum lebih banyak kopi, tetapi kopi itu mengganggu tidur anda, membawa kepada lebih keletihan dalam jangka masa panjang.
Toleransi Ke Atas Kafein
Pada awalnya, pengambilan kafein boleh meningkatkan suasana hati (mood), masa tindak balas serta prestasi fizikal anda. Namun, apabila telah diambil terlalu kerap, ia akan meningkatkan toleransi anda ke atas kafein.
Akibatnya, pengambilan jumlah kafein yang sama tidak akan menghasilkan kesan positif yang sama dari semasa ke semasa, dan mengambil lebih banyak kopi untuk cuba memulihkan kesan positifnya boleh memberi kesan negatif kepada tidur anda.
Selain itu, penggunaan kafein secara tetap dalam tempoh tiga hari sahaja sudah cukup untuk mencetuskan gejala penarikan diri apabila anda berhenti mengambilnya, termasuk peningkatan rasa letih.
Diuretik Dan Dehidrasi
Kopi dianggap sebagai diuretik, yang bermaksud ia boleh meningkatkan keperluan anda untuk membuang air kecil dan menyebabkan kehilangan cecair.
Jika perjalanan bilik mandi ini membangunkan anda sepanjang malam, anda mungkin berasa lebih letih pada keesokan harinya.
Selain itu, dehidrasi ringan itu sendiri boleh menyebabkan anda mengalami keletihan. Dehidrasi ringan juga boleh mengurangkan prestasi kognitif, menjejaskan ingatan, dan meningkatkan kebimbangan dan ketegangan.
Perubahan Gula Darah
Minum kopi pada waktu pagi boleh menyumbang kepada rintangan insulin dan memberi kesan negatif kepada keupayaan tubuh anda untuk berhadapan dengan glukosa. Ini menjadikan anda lebih sensitif terhadap gula atau karbohidrat yang terdapat dalam minuman atau sarapan pagi, dan ia boleh menyebabkan lonjakan gula darah sementara.
Walaupun gula darah anda tidak mencapai paras klinikal yang tinggi, tetapi anda cenderung untuk berasa letih akibat gula darah yang rendah selepas paras gula darah anda menurun.