Bagi anda yang baru ingin mencari pembersih vakum yang bersesuaian untuk rumah anda, Tajria hari ini akan berkongsi tips dalam pemilihan peranti yang menepati kriteria yang anda ingini.
Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan, jadi kami telah memperincikan kegunaan dan kelebihan dan lima jenis pembersih vakum utama.
Jenis Pembersih Vakum
Untuk pengetahuan anda, pembersih vakum ini hadir dalam lima bentuk yang boleh anda dapatkan di pasaran. Kelima-lima ini hadir dengan fungsi yang berbeza seperti:
- Kekuatan sedutan
- Cara pengendalian
- Waktu pembersihan
- Harga pasaran
Oleh itu, adalah penting untuk anda mengetahui keperluan pembersihan di rumah anda bagi memiliki jenis pembersih yang tepat supaya dapat melancarkan pengurusan rumah anda.
#1 Pembersih Vakum Jenis Pegang (Handheld)
Pembersih vakum jenis pegang ini sesuai untuk mendapatkan kawasan yang sukar dijangkau di kawasan yang sempit dan juga ruang bertangga. Hal ini kerana, ia tidak mempunyai tong penyedut yang besar yang mana memudahkan anda untuk bergerak dan membersihkan kawasan tersebut.
Ia juga sesuai untuk pembersihan barang perabot seperti sofa, bahagian atas rak dan almari serta pembersihan ruang dalaman kereta. Walau bagaimanapun, ia tidak berfungsi dengan baik untuk pembersihan lantai umum, yang memerlukan waktu lama untuk membersihkan dengan pegangan tangan. Pembersih vakum jenis ini terdapat dalam pelbagai bentuk dengan tanda harga yang sama.
Jenis pembersihan: Kawasan yang memerlukan pembersihan ringan seperti menyedut habuk dan kotoran kecil di tirai, kerusi, tangga, pelapik dan juga kawasan tinggi seperti almari.
#2 Pembersih Vakum Jenis Tongkat (Stick)
Pembersih vakum jenis tongkat tidak mempunyai kuasa sedutan yang kuat. Jika rumah anda tidak menggunakan karpet atau pelapik lantai yang banyak, jenis pembersih ini sangat bersesuaian untuk anda miliki.
Hal ini kerana, pembersih vakum ini hadir dengan kemampuan untuk masuk ke tempat yang sempit dan membersihkan lantai kayu keras, permaidani dan karpet nipis. Malah, berbanding dengan jenis vakum lain, ia juga lebih ringan dan tidak memberikan masalah untuk anda menggunakan pada waktu yang lama.
Jenis pembersihan: Kawasan yang memerlukan pembersihan ringan seperti menyedut habuk dan kotoran kecil di lantai, vinyl, tangga dan juga permaidani nipis.
#3 Pembersih Vakum Jenis Tegak (Upright)
Terdapat dua jenis vakum tegak iaitu jenis motor tunggal dan motor berganda. Biasanya, vakum motor tunggal sangat sesuai untuk penyedutan kotoran ringan hingga sederhana.
Sementara untuk motor berganda pula, ia mempunyai motor yang berasingan untuk gulungan berus dan sesuai untuk sedutan paras sederhana. Pembersih ini sangat popular digunakan di kebanyakan kedai dan restoran.
Berbanding jenis tongkat, vakum tegak ini mempunyai kuasa sedutan yang lebih baik dan sesuai untuk membersih, iaitu tidak hanya digunakan pada permukaan karpet tetapi juga lantai. Malah, vakum tegak juga mempunyai kepala pengambilan yang dapat disesuaikan untuk membolehkan anda beralih antara lantai berkarpet dan keras.
Jenis pembersihan: Kawasan yang memerlukan pembersihan ringan dan juga sederhana. Berupaya menyedut habuk dan juga kotoran yang kasar seperti di lantai, vinyl, tangga dan juga permaidani atau karpet.
#4 Pembersih Vakum Jenis Tabung (Canister)
Pembersih vakum tabung adalah medium yang popular di kebanyakan rumah lebih-lebih lagi kawasan yang mempunyai banyak karpet. Fungsinya sama seperti pembersih vakum tegak, ia hadir dengan kuasa sedutan yang kuat dan kapasiti menyedut juga besar disebabkan oleh tabung yang terpisah.
Ia dapat digunakan untuk membersih bukan hanya kawasan permaidani dan karpet tetapi juga kawasan habuk tebal di dalam kereta dan juga lantai. Jenis ini juga adalah antara yang paling mahal disebabkan teknologi dan juga fungsi yang ditawarkan.
Jenis pembersihan: Kawasan yang memerlukan pembersihan ringan sehingga kuat. Vakum tabung sangat bagus untuk membersihkan lantai keras, lantai berkarpet, lekapan dan tirai.
#5 Robot Pembersih Vakum
Sejak baru-baru ini, pembersih vakum robot menjadi pilihan kebanyakan para individu disebabkan kelengkapan teknologinya. Ia sangat sesuai untuk anda yang tiada masa untuk mengurus rumah. Namun, kontranya adalah ia tidak sesuai membersihkan kotoran kasar dan hanya boleh membersihkan habuk kecil dan juga rambut sahaja.
Rekaannya yang bulat dan kecil, sudah tentu ia dapat menjangkau tempat-tempat yang tidak dapat dibersihkan oleh pembersih vakum yang besar, seperti di bawah sofa. Dari segi harga, ia juga ditawarkan pada harga yang mahal.
Jenis pembersihan: Kawasan yang memerlukan pembersihan ringan seperti menyedut habuk dan kotoran kecil di lantai, bawah katil dan juga bawah sofa.
Jadi yang manakah pilihan anda? Setiap jenis membawakan kehebatan dan fungsi yang tersendiri. Namun, ia masih hadir dengan satu fokus utama iaitu membersih dengan lebih mudah dan berkesan. Dengan ini, anda dapat menjimatkan banyak masa dan tenaga dalam menguruskan rumah anda.