Carian
Tekstil Dan Fesyen Menyumbang Sekitar 10% Pelepasan Karbon Global
April 30, 2024 Lina Rosli

Tahukah anda, rakyat Malaysia telah membelanjakan sekitar $2.54 bilion untuk fesyen menerusi platform edagang yang mana jumlah ini telah meningkat sebanyak 49.5% berbanding tahun sebelumnya – tahun 2022.

Apabila melihat peningkatan nombor pada perbelanjaan pengguna untuk fesyen, ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada usaha kebanyakan pengeluar pakaian dalam mengurangkan kesan alam sekitar daripada pakaian yang dijualnya.

Di Malaysia, terdapat banyak jenama yang mula giat melaksanakan usaha kelestarian untuk industri pakaian – ini termasuk jenama tudung TudungPeople, FERN, Suri, Muni, The dUCk Group, POPLOOK dan banyak lagi.

Walaupun kebanyakan jenama yang terlibat telah mengurangkan kedua-dua keamatan karbon dan isipadu air bagi setiap tan yang digunakan dalam pembuatan pakaian mereka, namun usaha ini perlu dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa.

Untuk pengetahuan anda, setakat ini tekstil dan fesyen telah menyumbang sekitar 10% daripada pelepasan karbon global. Ini berikutan terdapat peningkatan trend di dalam pembelian pakaian dalam kalangan individu yang masih berterusan.

Selari dengan jumlah permintaan yang tinggi, penghasilan dan penjualan pakaian juga turut meningkat. Dan ini sekaligus penggunaan air keseluruhan sebenarnya meningkat sebanyak 8% sepanjang tempoh tersebut, manakala angka pengurangan karbon hanya pada 2%.

Dalam satu kajian, ia menunjukkan bahawa satu perempat pakaian yang disimpan di dalam almari pakaian tidak dipakai dalam setahun dan hampir satu perempat daripada individu mengakui memakai pakaian hanya beberapa kali sahaja.

Oleh itu, dalam menangani isu ini, kelestarian dalam industri fesyen ini sebenarnya tidak hanya melibatkan pengeluar pakaian atau jenama pakaian semata-mata, tetapi juga beberapa pihak lain yang turut menyumbang kepada penggunaan pakaian – pelanggan atau pengguna.

Jadi, apa yang perlu anda lakukan adalah mula mengawal ketagihan pembelian pakaian yang hanya boleh dipakai terhad pada satu-satu acara dan mula bertukar kepada pakaian yang lebih mudah diurus dan digayakan.

Pertimbangkan juga untuk menderma, menjual atau memberikan pakaian yang tidak lagi ingin digunakan bagi membantu mereka bergerak dalam ekonomi dan mengurangkan jumlah yang dihasilkan.

Dalam satu laporan lain, ia turut mendedahkan bahawa peningkatan penggunaan poliester dan poliamida kitar semula telah membantu mengurangkan jumlah fabrik yang diperbuat daripada bahan dara. Juga hampir tiga perempat daripada kapas yang digunakan oleh penandatangan kini datang daripada sumber yang lebih baik seperti Better Cotton Initiative.

Komen