Tahukah anda bahawa barang kemas atau aksesori perhiasan jenis perak (silver) boleh teroksida dan mencetuskan perubahan pada warna asal?
Jika anda perasan, untuk sesetengah aksesori perhiasan perak yang sudah lama tidak dipakai akan menampilkan warna yang sedikit lebih gelap dan kadangkala mempunyai kesan hitam atau hijau pada bahagian tertentu.
Mengapa pengoksidaan menyebabkan aksesori perhiasan perak bertukar warna hitam atau kehijauan?
Perak menjadi hitam kerana hidrogen sulfida (sulfur), bahan yang berlaku di udara. Apabila perak bersentuhan dengannya, tindak balas kimia berlaku dan lapisan hitam terbentuk.
Untuk pengetahuan anda, aksesori perak teroksida lebih cepat di tempat yang mempunyai banyak cahaya dan kelembapan yang tinggi. Malah, perkara ini juga boleh berlaku sekiranya ia bersentuhan dengan produk seperti kosmetik, semburan rambut, minyak wangi, deodoran, losyen badan, dan peluntur – boleh mempercepatkan proses pengoksidaan.
Selain itu, minyak semulajadi yang dihasilkan oleh kulit anda juga boleh bertindak balas terhadap perhiasan perak anda. Sejauh mana perak bertindak balas dengan bahan-bahan ini dari kulit anda sangat bergantung pada jenis makanan yang anda makan, penggunaan alkohol dan sama ada anda sedang mengambil ubat.
Perkara ini mempengaruhi keasidan kulit anda, yang boleh menyebabkan tindak balas. Selain itu, peluh mempunyai bahan ammonia yang meningkatkan keasidan kulit dan boleh mencemarkan dan menukar warna perak menjadi gelap.
Untuk pengetahuan anda, terdapat mitos yang menyatakan barang kemas perak yang bertukar menjadi hitam adalah aksesori yang diperbuat daripada kandungan perak yang kurang. Hakikat sebenarnya, pengoksidaan perhiasan perak adalah tanda bahawa aksesori tersebut adalah benar-benar diperbuat daripada perak.
Oleh sebab itu, kadangkala duit syiling lama atau kunci yang terbiar lama di bilik mandi atau sinki dapur akan mengeluarkan warna hijau sekiranya tidak diambil dan disimpan.
Cara mengurangkan risiko barang perhiasan anda bertukar warna
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda praktikkan:
- Elakkan daripada menyimpan barang perhiasan perak di tempat lembap seperti bilik mandi atau dapur.
- Pakai perhiasan perak anda selepas anda menggunakan alat solek, minyak wangi, penyembur rambut dan produk kecantikan lain.
- Tanggalkan perhiasan perak anda apabila anda pergi berenang, mencuci tangan atau bersentuhan dengan air laut (air masin).
- Tanggalkan perhiasan perak anda jika anda sedang deman atau melakukan aktiviti senaman intensif yang mengeluarkan peluh.
- Simpan barang perhiasan perak dalam beg tertutup yang terlindung dari udara dan simpan di ruang gelap