8 Tips Dapat DEKAN di Universiti Tiap Semester

January 1, 2024
Tips

Hannani Juhari

Impian untuk mengengam segulung ijazah adalah impian setiap orang. Pertama kali kaki aku melangkah ke pintu menara gading, keazaman telah di pahat dalam-dalam pada diri. Namun begitu, perlulah kita sedar bahawa pembelajaran di sekolah tidak sama dengan pembelajaran di alam universiti.

Jika dulu kita hanya mendengar, mencatat lalu masuk ke dewan peperiksaan tetapi kini kita perlu rajin mengkaji untuk mencari bahan tambahan setiap subjek.

Salah satu laluan untuk mencapai ijazah kelas pertama adalah dengan mendapat Anugerah Dekan tiap semester. Apakah yang di maksudkan dengan Anugerah Dekan? Anugerah Dekan adalah anugerah yang di berikan kepada pelajar yang memperolehi keputusan Purata Nilaian Gred Semester (PNGS) 3.50 dan ke atas pada setiap semester.

Aku berkongsi sekadar dari pengalaman sebagai seorang graduan 2021 yang telah tamat pengajian dengan Ijazah Kelas Kedua Tertinggi. Alhamdulillah kepayahan belajar membuah hasil apabila aku mendapat Anugerah Naib Cancelor kerana mendapat dekan untuk 6 semester berturut-turut. Syukur pada Allah.

1. Fokus waktu pensyarah mengajar

Fokus adalah sifat seorang pelajar yang cemerlang. Walaupun kita sudah faham sesuatu subjek atau topik yang di ajarkan, cubalah bersikap professional untuk merendah diri dari orang yang lebih berpengetahuan. Kadang kala ada pelajar yang mengadu, pensyarah tidak pandai menarik perhatian audian sehingga mereka mudah bosan.

Bagi aku mudah sahaja. Tahan dan cuba tahan mata kita dari hilang fokus. Sebab walaupun ilmu itu mungkin kita sudah mahir dan faham tetapi pada dia sebagai seorang “guru” ada keberkatan. Keberkatan seorang guru lah yang memudahkan ilmu masuk dalam kepala kita dengan mudah.

Ingat ilmu hanyalah pinjaman yang tidak kekal dan bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil semula. Jaga adab dalam menuntut ilmu, nescaya ilmu akan terus mengalir memberi manfaat.

2. Jaga hubungan dengan mak ayah, guru dan orang sekeliling

Hubungan dengan mak dan ayah memang perkara utama yang kita kena jaga sebab mereka adalah pintu syurga kita. Begitu juga dengan guru kerana tiga orang insan ini memang berkait rapat dengan kejayaan kita sebagai seorang pelajar.

Tidak di lupa juga untuk sentiasa menjaga hubungan dengan orang sekeliling sama ada kawan sekelas, sahabat karib atau sesiapa sahaja. Sebab kadang kala, rezeki itu tertahan kerana kita pernah menyakitkan hati salah seorang dari mereka walau tidak sengaja.

Berbuat salah pada Tuhan kita boleh mintak maaf kepada Tuhan. Jika berbuat salah pada manusia, hanya manusia sahaja yang boleh memaafkan.

3. Amalkan baca Al-Quran lepas subuh dan lepas magrib

Tiada surah khusus untuk kita baca kerana setiap lembaran muka surat kitab agung Al-Quran mempunyai manfaat dan kebaikannya yang tersendiri.

Sebagai contoh, surah Ar-Rahman menanam sifat syukur di dalam hati manusia atas nikmat-nikmat Allah dan dengan amalan membaca surah ini juga sangat baik untuk meningkatkan kecerdasan otak.

4. Kenal diri sendiri

Kebaikan untuk mengenal diri sendiri akan menjurus kepada kita kenal tentang kelebihan dan kekurangan diri. Dari situ kita akan dapat sesuaikan diri untuk mengunakan cara atau teknik belajar yang berkesan pada kita. Bila kita kenal diri, kita akan mudah hendak tackle jiwa dan hidup agar lebih cemerlang.

Contohnya, aku seorang yang suka mendengar dan mencatat apa sahaja yang pensyarah cakap semasa kelas. Just simple note. Tak perlu lah nak cantik dan berwarna-warni sangat pun. Asalkan kau faham untuk ulang kaji semula nanti.

5. Buat ringkasan belajar untuk setiap subjek.

Nampak macam kebudak-budakkan cara yang satu ini tetapi sebenarnya sangat membantu untuk menarik minat dalam belajar. Ciptalah sesuatu yang berguna dan kreatif untuk menarik lagi mood kita untuk belajar.

Contohnya dengan membuat peta minda atau flashcard. Dulu kalau subjek yang memerlukan aku menghafal, aku suka buat keyword jadi lirik lagu yang ada melodi. Sebab kegilaan aku dengan muzik memudahkan apa sahaja yang bersangkut paut dengan lagu, mudah aku ingat semula.

6. Ada target dan motivasi sendiri.

Buatlah apa sahaja perkara yang boleh meransang motivasi dalam diri. Setiap orang mempunyai cara masing-masing yang berbeza. Motivasi yang pernah aku buat adalah aku akan tulis setiap helaian muka surat buku itu dengan grade yang aku nak capai. Contohnya, aku nak capai “A” dalam subjek Kimia.

Then, aku akan tulis setiap muka hadapan buku itu atau topik-topik yang susah dengan simbol “A”. Apabila lama kelamaan kita praktikkan dan tengok, maka otak kita pun sudah tersedia untuk hendak capai “A”. Itu adalah ilmu kemahiran minda. Tiada yang mustahil kerana kita boleh kawal apa yang kita inginkan dengan otak kita.

7. Belajar… Belajar… Belajar dan terus belajar.

Kalau kita rasa dah banyak sangat belajar cuba check, adakah kita belajar sampai rasa dah nak muntah? Kalau rasa dah nak muntah bila tengok subjek itu, maknanya kita capai satu tahap berusaha yang maksimum dan setakat itulah kemampuan kita. Tetapi selagi belum, maka kena usaha lagi.

8. Doa… Doa… Doa dan terus doa

Berdoa akan mengajar kita bahawa tidak semua yang kita harapkan di dunia ini akan kita perolehi. Allah memberikan kita rezeki bukan bergantung kepada apa yang kita inginkan tetapi kepada apa yang kita kehendaki saat itu.

Allah tempat kita berserah dan redha. Walau sebanyak mana usaha kita, kalau nanti kita gagal atau tidak dapat apa yang di inginkan kita tahu sandaran kita pada Allah.

Rasa kecewa itu tidak akan lama-lama kerana kita sedar bahawa terlalu banyak jalan yang Allah hadirkan terhidang pada masa depan kita. Kita akan tenang bila mengikhlaskan. Hati kita akan mudah menerima pembaharuan jalan yang Allah atur kalau kita redha.

Masih tak terlambat untuk aku wish “GOOD LUCK” untuk semua student dekat luar sana. Tak kira lah dari mana pun kau datang, ingat dengan ilmu lah kau akan mampu “bernafas” hidup dekat dunia penuh cabaran ni.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd