14 Tips Penulis “Beginner” Berjaya Dalam Dunia Penulisan

January 1, 2024
Tips

Hannani Juhari

Menulis adalah satu kemahiran yang sejak kecil kita semua dididik untuk mahir dalam menguasainya. Artikel pada kali ini, saya akan kongsikan kepada anda tips untuk penulis “beginner” bagi yang mahu menceburi dunia penulisan.

Banyak sebenarnya tips untuk penulis beginner yang ramai orang kongsi untuk kita aplikasikan agar menjadi seorang penulis yang berjaya.

Namun dalam artikel ini, apa yang saya kongsikan di sini adalah tips penulian berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika baru-baru memulakan langkah dalam bidang ini kira-kira 5-6 tahun yang lalu.

1. Betulkan niat mengapa mahu menulis

Ada orang menulis kerana minat, ada yang mahu jadi terkenal dan popular, dan ada juga yang hendak mendapatkan duit. Apa pun alasan kita untuk menulis, ianya bagi saya tidak salah kerana itu bergantung kepada niat masing-masing.

Namun begitu, dari pengalaman saya sendiri apa-apa pun niat anda yang ada bersangkut paut dengan kekayaan dan populariti ianya semua akan membawa kepada kesan jangka masa panjang yang meruntuhkan kerjaya anda sebagai seorang penulis.

Bila kita sematkan dalam hati hendak menulis kerana mahukan duit dan popular semata-mata, sebenarnya kita akan mudah stress untuk memastikan matlamat itu tercapai. Lantaran itu, banyak peluang yang akan kita sia-siakan.

Kita mudah untuk menolak peluang menulis yang memberi pulangan yang “kecil”, sebaliknya memilih peluang yang lebih “besar”. Tetapi kita lupa bahawa kita langsung tiada pengalaman dalam penulisan sebelum ini.

“Tolak semua itu ke tepi. Letak dalam hati, kita menulis untuk menyampaikan ilmu kepada orang. Percayalah segala kekayaan, populariti, rezeki, dan yang lain-lain akan mudah datang kepada kita jika dari awal kita mempunyai niat yang baik.”

2. Sediakan kelengkapan menulis yang selesa

Saya menulis dengan hanya menggunakan telefon Oppo Neo 7, telifon pertama yang saya dapat dari kakak. Seterusnya, telefon Oppo a3s.

Kemudian, bila masuk ke alam universiti, saya menulis pula di laptop HP. Sekarang saya menggunakan MacBook untuk kelancaran dalam menulis.

Saya hanya bermula dengan menulis di atas meja belajar budak-budak dan terpaksa bersila di lantai. Selama bertahun-tahun bersila untuk menulis dibawah. Baru hari ini, saya memiliki meja kerja yang simple dan kerusi yang selesa untuk duduk.

Memang kita mungkin bukan dari keluarga yang senang. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh berjaya seperti orang lain juga. Apa-pun kelengkapan menulis yang ada anda, pastikan ia selesa itu sudah memadai.

Selebihnya atas usaha kita sendiri untuk menyesuaikan diri dan memastikan idea penulisan tersebut mengalir laju ketika menulis.

3. Bina matlamat utama kepada diri sendiri

Sebagai seorang penulis baru, kita tentunya masih “blurr” bagaimana untuk mula mencari peluang menulis. Apa kata anda pasang dulu matlamat anda.

Contohnya setkan dalam tempoh setahun anda dalam dunia penulisan ini, apa yan anda mahu capai. Jika kita tunggu peluang untuk sampai memang payah, kerana peluang hanya akan datang dengan usaha kita mencari.

“Setidaknya, matlamat yang kita cipta boleh menjadi panduan dan hala tuju agar perjalanan sebagai seorang penulis lebih mudah.”

4. Rajin mencari peluang

Tips untuk penulis “beginner” yang seterusnya adalah rajin mencari peluang. Banyak sebenarnya syarikat penerbitan, syarikat majalah, dan syarikat persendirian .yang membuka peluang untuk mencari penulis atau menghantar karya.

Dalam dunia serba canggih ini, tidak ada halangan sebenarnya untuk kita mendapat informasi dengan pantas.

Rajin-rajinkan diri untuk singgah di laman sosial rumah penerbitan terkenal yang ada di dalam dan luar negara. Karya-karya cerpen saya dapat tersiar di Majalah Tunas Cipta Dewan Bahasa dan Pustaka kerana melihat informasi dari Facebook.

Saya dapat menerbitkan 2 buku anekdot juga kerana hebahan dari Facebook. Menjadi seorang penulis freelance dan menyebarkan servis penulisan saya juga di sosial media.

5. Bersahabat dengan pelbagai jenis bahan bacaan

Dari segi bahan bacaan, saya tidak mengehadkan apa jua genre penulisan yang mahu dibaca. Namun saya amat gemar baca buku yang bercorakkan sejarah, politik, kepimpinan, atau isu-isu berat yang membuat saya terfikir dan berfikir.

Ini bukan bermakna saya tidak gemar kepada novel fiksyen, saya masih membacanya tetapi dalam kuantiti yang sederhana dan pada waktu yang di mana saya sedang mencari idea untuk memastikan otak “free” dari terbeban.

Buku fizikal dan buku digital sama-sama memberi manfaat yang tersendiri dalam mengekalkan momentum pembacaan saya setiap tahun.

6. Cari tempat selesa untuk menulis

Tips untuk penulis “beginner” yang seterusnya adalah mencari tempat yang selesa. Ada penulis suka lepak di cafe-cafe seperti Starbuck sambil minum kopi dan menekan papan kekunci laptop untuk menulis.

Ada pula yang suka menulis pada waktu malam kerana lebih sunyi dari bunyi bising penghuni rumah. Walau apa-apa pun hanya pastikan tempat untuk kita menulis itu selesa agar emosi kita juga sentiasa dalam keadaan baik.

7. Tentukan gaya penulisan yang disukai

Gaya penulisan yang bagaimana anda suka? Mungkin pada artikel yang lain kita akan membahaskan soal gaya penulisan ini dari sisi yang lebih mendalam.

Namun apa yang ingin disampaikan adalah gaya penulisan boleh menjadi trademark kepada karya kita sendiri tanpa kita sedar.

Pembaca mengenali kita dengan cara penulisan kita yang unik. Misalnya gaya penulisan saya, saya gemar untuk memasukkan kata-kata yang puitis pada sesuatu bahagian.

Mungkin kerana saya mempunyai pengalaman dalam penulisan cerpen dan puisi jadi saya meletakkan identiti itu kepada setiap karya artikel yang ditulis.

8. Tarik nafas sebelum dan selepas menulis

Tips untuk penulis “beginner” yang mungkin agak pelik tetapi berkesan adalah jangan lupa untuk tarik nafas sebelum dan selepas menulis. Kebiasaan mereka yang terlalu asyik menulis akan leka dengan waktu dan orang sekelilinya.

Lebih-lebih lagi sedang mendapat idea yang mencurah-curah. Releks! Jangan terburu-buru ambil masa untuk berehat dan kekal konsisten.

9. Jangan abaikan gaya hidup yang sihat

Gaya hidup yang sihat merupakan antara tips untuk penulis “beginner” yang terbaik. Penulis duduk dan menghadap komputer setiap hari. Saya sendiri menghabiskan masa lebih dari 5 jam setiap hari di depan komputer untuk menulis, dan menyiapkan sekurang-kurangnya 3-4 artikel dalam satu-satu masa.

Jika tidak mengamalkan gaya hidup yang betul, kemungkinan besar untuk tubuh badan dan kesihatan kita “down” amatlah besar. Rajinkan diri bersenam, minum air masak banyak-banyak dan makan makanan yang sihat.

10. Luaskan networking dengan penulis lain

Bina networking dengan penulis lain ini kita boleh cuba menggunakan platform LinkedIn. Malah ramai penulis amatur di luar sana berkata, rajinkan diri untuk menulis di LinkedIn juga.

Kerana jika anda seorang freelancer, mencari pekerjaan di LinkedIn amatlah mudah oleh kerana “vibe” di sini amat positif dan tiada yang bersifat toksik untuk anda berkenalan.

11. Bina portfolio dari awal

Ramai orang pandang enteng kepada sebuah portfolio. Portfolio dan resume itu berbeza. Portfolio lebih ke arah pengalaman kerja-kerja kita sebelum ini.

Kita mungkin ada teknik yang hebat dalam menulis, namun seandainya tiada portfolio atau rekod sebagai bukti kita pernah menghasilkan sesebuah karya sebelum ini bagaimana untuk kita menarik pelanggan di luar sana ambil kita sebagai seorang penulis.

Tips untuk penulis “beginner” anda boleh bina portfolio dengan menggunakan Canva, Clippings Me, Blog, dan sebagainya.

12. Paksa diri kalau malas

Kita tidak akan mampu untuk konsisten menulis jika tidak memaksa diri. Ada masa kita akan terlalu rajin, dan ada juga masa kita akan terlalu malas.

“Hal ini justeru juga sangat penting bagi seorang freelancer.”

Apa yang perlu anda buat adalah paksa diri untuk menulis jika anda malas. Jangan manjakan diri jika mahu berjaya dalam bidang ini. Dari sikap kita yang suka paksa diri ini akan membentuk satu disiplin yang sangat kuat untuk menjadi seorang penulis yang berjaya.

13. Letakkan dateline di setiap tugasan penulisan yang dibuat

Terlalu banyak tugas penulisan yang kita mahu siapkan memang memberi beban yang tersendiri. Tips untuk penulis “beginner” siapkan dateline bagi setiap tugasan.

Kemudian, susun setiap kerja mengikut dateline bermula dari yang paling hampir sehingga yang paling jauh. Dahulukan untuk siapkan kerja yang dateline hampir dahulu.

14. Sentiasa menambah ilmu penulisan yang baru

Jangan pernah mudah berasa puas hati dengan apa yang kita miliki. Orang yang berjaya tidak akan selesa berada lama-lama dalam “comfort zone”.

Sebaiknya cari dan tambah ilmu penulisan yang baru. Kerana yang membezakan kita dengan penulis lain hanyalah ilmu dan pengalaman.

Semoga perkongsian mengenai tips untuk penulis beginner ini mampu memberikan ilmu tambahan yang berguna untuk anda di luar sana khususnya penulis baru yang hendak memulakan langkah pertama dalam dunia penulisan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd