Tahun Baru: 11 Tips Untuk Memotivasikan Diri Setiap Hari
Hannani Juhari
Dua hari sudah berlalu, tahun 2023 melabuhkan tirainya. Banyak suka dan duka menjadi memori yang disematkan pada satu lagi lembaran kenangan lalu. Kini, babak baru pula dibuka dengan tahun 2024.
Bila sebut pasal tahun baru, pasti ramai yang sudah mula pasang niat dan azam baru untuk dicapai sepanjang tahun. Hal ini kerana tahun baru adalah permulaan yang sangat sesuai untuk anda menetapkan matlamat dari aspek produktiviti, kesihatan dan perhubungan.
Namun tidak dinafikan semangat dan keterujaan kita lama kelamaan akan luntur juga dari semasa ke semasa bahkan tidak seghairah seawal tahun yang lalu.
Justeru, memantapkan diri anda dengan tips untuk memotivasikan diri sendiri setiap hari adalah sangat penting agar momentum dan kejayaan boleh dicapai mengikut matlamat yang ditetapkan.
1. Tetapkan matlamat yang jelas
Salah satu sebab mengapa orang kurang motivasi ialah kerana tidak tahu tujuan dan peranan yang jelas. Luangkan sedikit masa untuk tetapkan matlamat yang memberi anda tujuan dan hala tuju.
Tentukan matlamat jangka pendek dan jangka panjang anda, supaya anda boleh mencapai kemenangan yang lebih kecil dan berusaha ke arah kemenangan yang lebih besar secara konsisten. Semua kejayaan kecil dan besar ini akan mendorong anda dan membuatkan diri lebih terasa bermotivasi.
2. Buat rutin harian
Mewujudkan rutin harian boleh menyediakan struktur dan menjadikan tugas lebih mudah diurus. Ia juga boleh membantu mengurangkan keletihan membuat keputusan, dan menjimatkan tenaga anda.
Rutin juga boleh mempengaruhi kepada kesihatan mental anda kerana ia memupuk rasa kestabilan, yang membawa kepada kesejahteraan keseluruhannya.
3. Mulakan dengan kejayaan kecil
Meraikan kemenangan kecil boleh meningkatkan keyakinan dan motivasi anda untuk menangani cabaran yang lebih sukar.
Jangan tunggu kejayaan besar, sebaliknya raikan kemenangan kecil dan beri ganjaran kepada diri sendiri kerana melakukannya dengan baik.
4. Berfikiran positif
Setiap orang perlu membina pemikiran yang positif setiap masa. Pemikiran positif ini adalah cara pemikiran yang menumpukan ke arah keupayaan dan bukan ketidakupayaan.
Ingatkan diri sendiri tentang kekuatan dan keupayaan anda. Pemikiran positif boleh membantu memupuk minda yang tertumpu kepada kejayaan.
5. Bina circle yang positif
Setiap orang tidak boleh mendapatkan “kemenangan” setiap hari walaupun itu yang dia mahukan. Akan ada hari-harinya yang membuatkan diri kita tersungkur dan terduduk kerana kegagalan.
Justeru itu, jika anda berdepan dengan hari yang buruk, perhatikan secara sedar perkara-perkara yang membuat anda gembira dan positif. Salah satunya bergaul dengan kawan-kawan yang positif boleh memberi impak yang mendalam pada emosi, mood, dan minda anda.
6. Berehat dan amalkan penjagaan diri
Pastikan anda berehat dan mengutamakan penjagaan diri. Sama ada berjalan kaki menikmati suasana hening pagi, meditasi atau melakukan hobi yang anda gemari. Aktiviti seperti ini sebenarnya boleh mengisi semula tenaga dan motivasi anda.
7. Visualisasikan kejayaan
Bayangkan diri anda dalam mencapai matlamat anda. Apabila anda boleh membayangkan pencapaian anda dan setiap langkah yang anda ambil ke arah itu, ia akan mendorong diri untuk melakukan lebih banyak lagi. Visualisasi boleh menjadi pendorong yang kuat.
8. Membaca setiap hari
Pastikan anda meluangkan sedikit masa dengan membaca. Waktu yang terbaik adalah pada awal pagi sebelum orang lain terjaga. Amalkan membaca sekurang-kurangnya satu jam sehari.
Jika itu terlalu banyak, mulakan dengan 20 minit sehari dan lakukan selama satu bulan. Membina tabiat membaca harian ialah satu perkara yang berkemungkinan mempunyai kesan berpanjangan pada proses pemikiran anda, akhirnya memberi inspirasi kepada anda dalam semua bidang kehidupan.
Orang yang paling berjaya di dunia mengaitkan kejayaan mereka dengan membaca banyak buku. Antaranya seperti Warren Buffet, Bill Gates, Elon Musk, dan ramai lagi.
9. Cari sebab, mengapa?
Hakikatnya, setiap orang ingin berjaya dan merasakan kejayaan dalam apa jua yang dilakukan. Namun yang membezakan keupayaan setiap orang untuk mencapai kejayaan adalah “big why?” kepada diri mereka.
Sebelum anda belajar bagaimana untuk memotivasikan diri, anda perlu terlebih dahulu bertanyakan kepada diri mengapa perlu mencapai kejayaan ini.
Dengan tujuan yang menarik ini, anda secara automatik akan faham definisi sebenar kejayaan yang diinginkan.
Kemudian, hubungkan matlamat anda kembali kepada tujuan anda dan anda tidak akan pernah kekurangan motivasi diri.
10. Lihatlah kejayaan orang lain
Melihat kejayaan orang lain bukanlah bermaksud kita merendah-rendahkan diri dengan kekurangan yang ada.
Sebaliknya melihat kejayaan orang lain tujuannya adalah untuk dijadikan inspirasi dan motivasi menuju kejayaan. Anda mungkin boleh mengambil beberapa teknik atau mendapat inspirasi semasa anda membaca tentang strategi dan perjuangan mereka.
11. Sentiasa bersyukur
Bersyukur adalah jalan terakhir untuk mengelakkan kita mengeluh dan berputus asa dari membina kejayaan.
Ketika seseorang berada dalam fasa kegagalan, ia adalah momen yang sangat sukar untuk belajar bagaimana untuk memotivasikan diri apabila anda terperangkap dalam suasana negatif.
Justeru, dengan adanya rasa syukur untuk semua perkara yang baik dalam hidup anda, ia boleh alihkan tumpuan anda seketika daripada semua perkara yang anda harapkan.
Berhenti membandingkan diri anda dengan orang lain dan fahami bahawa kehidupan berlaku untuk anda, bukan kepada anda. Dalam kata lain, lebih banyak anda melihat perkara-perkara yang baik dalam hidup ini, maka akan lebih banyak usaha untuk menarik sisi positif dalam jiwa anda untuk kembali memotivasikan diri.
Masih tidak terlalu lambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2024. Semoga tahun ini memberikan 1001 kebaikan dan kejayaan untuk semua!