Apakah Perbezaan Antara Berlian Asli Dan Berlian Palsu?
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa terdapat beberapa cara untuk mengenalpasti sama ada berlian yang anda beli di pasaran itu adalah berlian yang asli ataupun sebaliknya.
Keaslian berlian sering diragui sekiranya anda mendapatkan sesuatu produk barang kemas itu pada harga yang jauh lebih rendah di pasaran ataupun ianya dijual pada harga yang terlalu tinggi.
Oleh itu, untuk mengenalpasti sama ada berlian yang anda beli itu asli, Tajria akan berkongsi tips dan juga cara ujian yang boleh anda lakukan ke atas berlian tersebut.
Apakah perbezaan antara berlian dan cubic zirconia (CZ)?
Sebelum menerokai lebih lanjut tentang berlian asli atau berlian tiruan, anda perlu mengetahui terlebih dahulu tentang perbezaan berlian dan batu permata lain – Cubic Zirconia.
Untuk pengetahuan anda, berlian merupakan batu permata yang keras, dan tidak secantik yang anda lihat di pasaran. Berlian yang dijumpai di kebanyakan lokasi sekitar gunung berapi hadir dengan bermacam-macam saiz dan bentuk.

Sementera Cubic Zirconia (CZ) pula ialah alternatif berlian yang murah dengan banyak kualiti yang sama seperti berlian. Bahan kristal ini adalah sintetik, yang bermaksud ia dicipta dalam makmal.
Sama seperti berlian asli, cubic zirconia adalah keras dan licin – turut hadir dalam pelbagai warna seperti merah, ungu, aqua, amber dan merah jambu. Ini menjadikan batu itu serba boleh, kerana ia boleh digunakan untuk alternatif permata lain selain berlian.
Cara mengenalpasti berlian asli dan berlian palsu
Selepas mengetahui kehadiran berlian asli dan juga berlian buatan makmal, kini anda boleh mengenalpasti jenis berlian palsu yang ditawarkan di pasaran.
Berikut adalah cara untuk melihat keaslian berlian:

#1 Laksanakan ujian air
Perlaksanaan ujian air adalah teknik yang paling mudah untuk melihat keaslian berlian. Anda hanya perlu mengambil satu gelas air biasa yang diisi 3/4 penuh, kemudian masukkan berlian anda ke dalam gelas tersebut.
Bagaimana berlian asli akan bertindak balas? Jika berlian anda asli, ia akan tenggelam dalam gelas. Sementara jika berlian yang anda masukkan adalah berlian palsu, anda akan mendapati batu kristal berkenaan terapung dan kekal di permukaan air.
Mengapa berlian asli tenggelam? Jawapannya adalah berlian mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi daripada air. Manakala kuarza atau kaca biasa pula mempunyai ketumpatan yang lebih rendah.
#2 Periksa keaslian menerusi ujian kilauan
Anda juga boleh double-check batu kristal anda menggunakan ujian kilauan (sparkle test). Ini kerana berlian asli cenderung untuk memantulkan cahaya. Dan apabila cahaya dipantulkan, ia akan menghasilkan kilauan pelangi yang berselerak selain turut memperlihatkan cahaya kelabu dan putih yang berkilau dari dalam batu.
Sementara batu palsu cenderung untuk memperhebat pantulan berwarna pelangi, tanpa kehadiran kelabu dan putih dalam spektrumnya.

Untuk mengesahkan kesimpulan anda, letakkan berlian anda di atas surat khabar dan perhatikan hasilnya. Berlian asli akan menyebarkan cahaya di dalam dan tidak akan membenarkan pantulan hitam muncul. Sebaliknya, alternatif berlian akan berlaku sebaliknya yang mana anda akan dapat membaca perkataan melalui batu tersebut.
#3 Semak dengan ujian cahaya hitam
Untuk menjalankan ujian cahaya hitam, anda perlu mematikan semua lampu dan letakkan batu anda di bawah sumber cahaya hitam. Jika anda memegang berlian tulen, anda akan menyaksikan warna biru pekat pada permukaan berlian.
Batu permata palsu akan mendedahkan dirinya melalui warna lain seperti warna hijau, kuning atau kelabu.
Kesahihan ujian ini adalah terhad. Antaranya, kerana tidak semua berlian sebenar akan bertindak balas kepada cahaya hitam dan lampu pendarfluor biru.