Carian
Berapa Lama Jangka Hayat Penggunaan Pengelap Tingkap Kereta? Ini Tips Memastikannya Tahan Lebih Lama
January 3, 2024 Lina Rosli

Dalam kebanyakan masa, wiper atau pengelap tingkap kereta adalah salah satu komponen yang sangat penting. Ini kerana, di kala musim hujan, pengelap tingkap ini berfungsi untuk mengalirkan air pada cermin hadapan kereta ke bahagian tepi kenderaan – ini supaya penglihatan pemandu tidak terjejas.

Oleh yang demikian, setiap pemandu seharusnya kerap memeriksa keadaan pengelap tingkap anda. Secara umumnya, pengelap tingkap kereta perlu diganti setiap 12 bulan.

Walau bagaimana, durasi penggantian ini masih lagi tertakluk kepada jenis dan juga kualiti – selain turut didorong oleh tabiat penggunaan pemandu.

Sekiranya anda menggunakannya dengan lebih kerap, maka berkemungkinan besar pengelap tingkap ini perlu ditukar lebih awal.

Bagaimanakah cara untuk memastikan pengelap tingkap kereta bertahan lebih lama?

Bagi memastikan durasi penggunaan pengelap tingkap ini lebih tahan lama, berikut adalah beberapa tips untuk memastikannya lebih tahan lama:

#1 Pilih jenama pengelap tingkap yang berkualiti

Dalam apa-apa keadaan, kualiti adalah ciri yang paling utama yang perlu anda titikberatkan.

Terdapat pelbagai jenis wiper kereta yang dijual di pasaran. Pastikan anda pilih jenama yang dipercayai untuk memastikan tahap kualiti, ketahanan, dan jangka hayat pengelap tingkap kereta yang baik.

Kebiasaannya, wiper kereta yang berjenama mampu bertahan lebih lama dalam pelbagai jenis cuaca, jadi walaupun harganya mahal, ia adalah pilihan yang lebih baik berbanding yang murah.

#2 Kerap membersihkan cermin hadapan kereta

Kotoran seperti habuk, debu, serangga, najis burung, dan banyak lagi yang melekat pada cermin akan mempengaruhi prestasi dan jangka hayat pengelap tingkap kereta.

Oleh itu, apa yang pelru anda lakukan adalah:

  1. Pastikan tingkap kereta anda kerap dibersihkan dengan tuala bersih – ini bagi mengelakkan kesan kotoran pada tuala melekat pada cermin.
  2. Lap dan cuci getap pengelap tingkap secara konsisten.

#3 Elakkan parkir kenderaan anda di kawasan panas

Amalan meletakkan kenderaan di kawasan terbuka ketika cuaca panas akan menyebabkan getah pengelap menjadi rosak dan mula mengeras.

Untuk pengetahuan anda, getah cenderung berubah tekstur sekiranya terdedah kepada suhu dan kepanasan melampau. Jadinya, pastikan anda letak kereta di kawasan yang teduh untuk mengelakkan cahaya matahari daripada merosakkan getah pengelap tingkap kereta.

Anda disarankan untuk memeriksa dan menggantikan getah pengelap tingkap kereta anda setiap enam bulan.

Jika anda mengesan tanda-tanda seperti pengerasan, lusuh, haus, rosak atau pecah – ia menunjukkan pengelap cermin kereta anda perlu digantikan dengan segera.

Komen