Carian
Ketawa Yang Melampau Dan Berlebihan Boleh Mengancam Nyawa
January 9, 2024 Lina Rosli

Tidak dinafikan bahawa ketawa boleh menjadi antara salah satu penawar kedukaan. Dengan ketawa, ia bukan sahaja boleh meningkatkan dan menggalakkan perasaan positif, tetapi juga menjadikan hari anda lebih tenteram dan tenang.

Secara umumnya, terdapat beberapa faktor yang boleh membuatkan anda tertawa. Ini termasuk apabila anda berasa gembira – emosi bahagia menjadi individu lebih mudah untuk ketawa. Ataupun, anda turut akan ketawa ketika digeletek yang mana ia merupakan reaksi tubuh yang berada diluar kawalan.

Mengapa ketawa itu penting? Untuk pengetahuan anda, ketawa sebenarnya bukan sahaja menggalakkan penyedutan udara yang lebih dalam, tetapi juga menghasilkan hembusan karbon dioksida yang menyeluruh ketika kita ketawa. Dan peningkatan pengambilan oksigen itulah yang memberi faedah kepada tubuh. Ini termasuk:

  • Ketawa berupaya merendahkan hormon tekanan dan meningkatkan endorfin atau dikenali sebagai “hormon gembira” dengan serta-merta.
  • Ketawa mewujudkan keadaan fikiran yang positif dan meningkatkan keyakinan. Jika anda perasan, anda tidak boleh marah semasa anda ketawa.
  • Ketawa boleh meningkatkan sistem imun anda. Ia berkaitan dengan peningkatan tahap sel anti-virus dan anti-jangkitan dalam badan kita yang membantu melindungi kita daripada jangkitan virus.
  • Ketawa berupaya meningkatkan kekuatan kardiovaskular melalui penyedutan dan hembusan nafas.
  • Ketawa juga memberikan pelepasan katartik yang sangat diperlukan bagi emosi yang dibina, menjadikan kita lebih bersedia untuk menguruskan tekanan dan berdaya tahan menghadapi cabaran.

Tahukah Anda Ketawa Berlebihan Boleh Meningkatkan Risiko Kematian?

Tidak kira jika anda bercakap bahasa yang berbeza atau datang dari tempat yang berbeza, anda akan mendapati bahawa ketawa kedengaran dan terasa sama.

Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan ketawa ini kepada individu, tahukah anda bahawa ketawa yang melampau atau terlalu banyak sebenarnya boleh mengancam nyawa individu?

Berikut adalah beberapa kesan yang mengancam nyawa sekiranya ketawa berlebihan:

#1 Aneurisma otak pecah

Aneurisma otak ialah bonjolan yang terbentuk dalam salur darah (arteri) di dalam otak. Sesetengah aneurisma tidak didiagnosis, namun bonjolan akhirnya boleh pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak.

Aneurisma yang pecah dengan cepat boleh menyebabkan kerosakan otak, serta menyebabkan peningkatan tekanan dalam rongga tengkorak. Tekanan tinggi ini boleh mengganggu bekalan oksigen ke otak, kadangkala mengakibatkan koma atau kematian.

Tanda-tanda pecah aneurisma otak termasuk:

  • sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba
  • muntah-muntah
  • penglihatan berganda
  • sawan
  • sensitif kepada cahaya
  • kekeliruan

#2 Serangan asma

Emosi yang berbeza boleh mencetuskan gejala asma. Ini termasuk menangis, tekanan, keseronokan, dan malah ketawa.

Sesetengah individu hanya mengalami gejala asma ringan. Namun, ada juga individu lain yang ketawa berlebihan boleh mencetuskan serangan asma yang teruk sekaligus menjadikannya sukar untuk bernafas.

Tanpa rawatan asma yang segera, serangan asma yang disebabkan oleh ketawa boleh mengancam nyawa dan menyebabkan kegagalan pernafasan atau serangan jantung.

#3 Sawan gelastik

Sawan gelastik biasanya bermula di hipotalamus. Sawan ini unik kerana ia sering dikaitkan dengan ketawa atau ketawa yang tidak terkawal semasa terjaga atau tidur.

Orang yang mengalami sawan mungkin kelihatan ketawa, tersenyum, atau menyeringai. Ekspresi emosi ini dipaksa dan tidak dapat dikawal. Selain itu, sawan gelastik kadangkala disebabkan oleh tumor otak di hipotalamus.

#4 Sesak nafas

Kematian akibat ketawa juga boleh berlaku jika ketawa terlalu kuat membawa kepada sesak nafas atau nama saintifiknya, asphyxiation.

Ini kerana ketawa terlalu kuat boleh menghalang pernafasan yang mencukupi atau menyebabkan seseorang berhenti bernafas, menyebabkan tubuh kekurangan oksigen.

Kematian jenis ini berkemungkinan disebabkan oleh dos berlebihan nitrus oksida. Untuk pengetahuan anda, nitrus oksida biasanya dikenali sebagai gas ketawa.

Komen