Secara umumnya, bayi mempunyai 300 tulang secara keseluruhan. Dan tulang-tulang ini akan bergabung menjadi kira-kira 206 tulang ketika individu mencecah usia 25 tahun apabila dewasa.
Untuk pengetahuan anda, tulang kita dikelaskan lagi kepada 4 kategori iaitu tulang panjang, tulang pendek, tulang pipih dan tulang tidak teratur yang terdapat pada bahagian tubuh yang berlainan
Apabila kita terus meningkat usia, kesihatan tulang mungkin menjadi kebimbangan kebanyakan individu. Ini kerana, semakin lanjut usia individu, semakin berisiko ia untuk mengalami kerapuhan tulang.
Bercakap mengenai tulang yang rapuh, anda pasti sudah biasa mendengar akan istilah ‘Osteoporosis‘. Ia merupakan keadaan kesihatan di mana keadaan tulang kita menjadi berliang iaitu nipis dan rapuh selain turut kehilangan kekuatannya untuk memberikan bentuk dan sokongan untuk badan – ini sekaligus menyebabkan kesakitan dan ketidakupayaan.
Penghidap osteoporosis akan mendapati tulang mereka mudah patah walaupun hanyat terlibat dengan jatuh kecil, atau insiden benjol sedikit, bersin atau pergerakan secara tiba-tiba. Selain itu, osteoporosis dianggap sebagai penyakit senyap dan selalunya tidak disedari kerana kebanyakannya tidak akan sedar jika mereka menghidap osteoporosis sehingga mereka patah tulang selepas kecederaan ringan.
Siapakah yang cenderung mengalami Osteoporosis?
Dari segi statistik, secara global, 1 daripada 3 wanita dan 1 daripada 5 lelaki yang berumur 50 tahun ke atas akan mengalami patah tulang disebabkan oleh Osteoporosis. Angka yang mengejutkan ini membimbangkan kerana patah tulang yang disebabkan oleh osteoporosis boleh mengancam nyawa dan mengakibatkan kecacatan jangka panjang.
Walau bagaimanapun, pendidikan yang betul dan keutamaan mengenai kesihatan tulang adalah penting apabila kita meningkat usia.
Bercakap mengenai kecenderungan mengalami Osteoporosis, ia sebenarnya berlaku kepada sesiapa sahaja, namun kejadiannya didapati lebih kerap berlaku di kalangan wanita selepas menopaus.
Mengapa wanita lebih kerap mengalami Osteoporosis? Ini kerana selepas usia 50 tahun, wanita akan mula kehilangan estrogen yang merupakan hormon penting untuk kesihatan tulang. Disebabkan itu, sewaktu menopaus, wanita lebih berisiko mengalami Osteoporosis kerana kehilangan hormon ini telah membawa penurunan kepadatan tulang.
Oleh itu, wanita tua adalah 4x lebih berkemungkinan menghidap osteoporosis berbanding lelaki. Dianggarkan 50% wanita akan mendapat osteoporosis apabila usia mereka meningkat.
Bahagian tubuh manakah yang paling berisiko untuk patah tulang disebabkan oleh Osteoporosis?
Jawapannya adalah tulang belakang. Ia adalah tulang yang paling kerap patah dalam osteoporosis
Untuk pengetahuan anda, patah tulang belakang atau turut dikenali sebagai patah mampatan vertebra, dilaporkan boleh berlaku 2x lebih biasa berbanding patah tulang lain seperti patah pinggul dan pergelangan tangan yang biasanya dikaitkan dengan osteoporosis.
Apabila anda mengalami patah tulang belakang, gejala utama yang biasa dirasai atau dialami pesakit adalah sakit belakang yang teruk dan akan menjadi lebih teruk dengan pergerakan seperti menukar posisi, batuk dan bersin. Sekiranya patah tulang cukup teruk, ia juga boleh menyebabkan sakit saraf yang akan mengalir ke kaki.
Bagaimana cara mencegah Osteoporosis?
Secara umumnya, patah tulang belakang atau patah tulang secara keseluruhan boleh dielakkan dengan cara mengamalkan tabiat pemakanan yang betul dan senaman yang konsisten untuk menanggung berat badan.
Sebagai contoh untuk pemakanan, diet yang sihat untuk tulang pada asasnya terdiri daripada pengambilan kalsium, protein, vitamin D, vitamin K dan nutrien lain yang mencukupi. Walau bagaimanapun, keperluan pemakanan untuk mineral ini berbeza mengikut umur.
Untuk kanak-kanak yang sedang membesar dan wanita selepas menopaus mungkin memerlukan pengambilan kalsium yang lebih tinggi daripada yang lain kerana tulang mereka dianggap lebih mudah terdedah untuk rapuh dan patah.
Antara makanan yang tinggi kalsium termasuklah susu, yogurt asli, badam, tauhu dan keju. Anda juga boleh mengambil makanan tinggi protein dan juga makanan kaya vitamin D seperti salmon, tuna dalam tin, cendawan shiitake, kuning telur.
Gejala-gejala utama Osteoporosis
Walaupun kita tahu osteoporosis selalunya tidak dapat dikesan untuk masa yang lama dan tiada simptom yang ketara, seseorang yang mempunyai gejala berikut berkemungkinan mengalami osteoporosis:
- Sakit pinggang atau sakit leher yang kerap
- Kehilangan ketinggian sekitar 4cm atau lebih
- Postur badan kelihatan membongkok
- Tulang mudah patah akibat terjatuh kecil