Setiap kali melangkah ke tahun baru, salah satu azam yang paling biasa dimiliki ramai ialah untuk menurunkan berat badan, atau memulakan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif.
Walau bagaimanapun, tatkala ramai teruja untuk melakukan perubahan baru dan bermotivasi untuk bersenam lebih banyak, terdapat satu kesalahanggapan umum bahawa kecergasan fizikal boleh memberi manfaat kepada kesihatan jantung. Lebih-lebih lagi apabila melihat para atlet yang memberi inspirasi untuk kita terus memotivasikan diri untuk bersenam.
Namun begitu, terdapat risiko tersembunyi di sebalik prestasi fizikal, iaitu potensi untuk mendapat serangan jantung terhenti mengejut (Sudden Cardiac Arrest – SCA) atau kematian jantung mengejut (Sudden Cardiac Death – SCD).
Berikutan serangan jantung mengejut yang dialami oleh pemain liga perdana Inggeris berusia 29 tahun, Tom Lockyer, terdapat pelbagai persoalan tentang bagaimana seorang atlet profesional, yang kehidupannya terikat dengan senaman boleh mengalami kegagalan jantung.
Berita ini menimbulkan keraguan bahawa senaman boleh memastikan kesihatan jantung yang lebih baik lalu mendorong kepada pertanyaan yang lebih mendalam mengenai kaitan di antara rutin senaman atau latihan yang ekstrem dan kesejahteraan kardiovaskular.
Fahami Degupan Jantung Tidak Sekata (Aritmia) dan Kematian Jantung Mengejut (SCD)
Aritmia dicirikan oleh ritma jantung yang tidak normal yang boleh dilihat seperti apabila jantung berdegup terlalu cepat, terlalu perlahan, atau tidak teratur.
Menurut Dr Tee Chee Hian, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), aritmia boleh mengganggu koordinasi pengecutan dan kelonggaran yang diselaraskan jantung lalu boleh membawa kepada komplikasi serius, termasuk kematian jantung mengejut (SCD).
Aritmia boleh mencetuskan SCD dengan menjejaskan fungsi pengepaman jantung yang membawa kepada:
- pengurangan aliran darah
- menyebabkan ketidakstabilan hemodinamik
- mengurangkan bekalan oksigen ke organ
- mendorong kepada fibrilasi ventrikel yang boleh mengakibatkan seseorang itu pengsan dan jika tidak dirawat menyebabkan SCD berlaku.
Faktor Risiko, Simptom dan Kumpulan Umur Yang Terdedah kepada Aritmia
Mengetahui faktor risiko aritmia adalah yang paling penting, dan ini merangkumi pemahaman tentang gejala dan kesedaran mengenai kumpulan umur yang lebih terdedah untuk mendapat penyakit ini.
Aritmia sering digambarkan sebagai sensasi seperti perasaan jantung berhenti berdetak seketika. Antara simptom yang boleh dialami secara jelas adalah seperti:
- perasaan berdebar
- pening
- pengsan
- ketidakselesaan dada
- sesak nafas
- keletihan
Adalah satu mitos apabila individu menyangka hanya golongan berusia sahaja yang boleh mengalami aritmia.
Secara umumnya, aritmia ini boleh berlaku kepada mana-mana individu pada sebarang peringkat umur. Namun faktor risikonya adalah berbeza mengikut kumpulan umur yang berbeza serta dipengaruhi oleh faktor seperti penuaan, ada penyakit jantung atau tidak, kecenderungan genetik serta pilihan gaya hidup.
Penyumbang utama kepada risiko aritmia dan kematian jantung mengejut termasuk:
- mempunyai penyakit jantung atau sejarah serangan jantung
- kesan ubat-ubatan tertentu
- faktor genetik
- pilihan gaya hidup seperti merokok dan pengambilan alkohol yang berlebihan
Oleh itu, Dr Tee menekankan kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala dan mendapatkan rawatan segera jika seseorang itu mempunyai sebarang penyakit berkaitan jantung untuk mengurangkan kebarangkalian mengalami sebarang komplikasi.
Satu fakta yang perlu diketahui ramai ialah aritmia boleh mempunyai komponen yang boleh diwarisi, dan dalam beberapa kes serangan jantung terhenti mengejut (SCA) telah dikaitkan dengan senaman yang berlebihan, terutamanya dalam kalangan atlet.
Bersenam dan kesannya terhadap Aritmia dan SCA
Untuk pengetahuan anda, senaman yang berlebihan atau terlampau ekstrem, terutamanya bagi mereka yang tidak biasa bersenam atau mereka dengan penyakit jantung yang sedia ada boleh meningkatkan risiko aritmia atau dalam kes yang teruk adalah SCA iaitu serangan jantung terhenti mengejut.
Tanda amaran yang boleh menunjukkan seseorang itu telah melakukan senaman secara berlebihan termasuk gejala fizikal dan berkaitan prestasi seperti:
- keletihan yang berterusan
- kerap sakit
- perubahan pada pola tidur
- penurunan prestasi atau prestasi ‘plateau’
- gejala psikologi dan fisiologi seperti gangguan mood, haid tidak teratur dan perubahan kadar denyutan jantung
Selain itu, amat penting untuk mengetahui had seseorang untuk bersenam. Sebagai contoh, individu yang menghadapi masalah berat badan dinasihatkan untuk memulakan rancangan kecergasan mereka secara tidak mendadak serta memilih aktiviti berimpak rendah.
Anda juga perlu sentiasa berwaspada terhadap simptom aritmia seperti sakit dada, sesak nafas atau perasaan berdebar-debar.
Doktor pakar juga menekankan kepentingan rutin senaman yang lengkap, rehat yang mencukupi, pemakanan yang sihat dan pemulihan yang mencukupi untuk memupuk pendekatan yang lebih sihat untuk sebarang aktiviti fizikal.
Memperkukuh kesihatan jantung melalui ujian diagnostik, pemantauan dan strategi intervensi
Untuk memperkukuh kesihatan jantung, terdapat pelbagai kaedah diagnostik tersedia untuk mengenalpasti aritmia.
Antaranya yang penting ialah elektrokardiogram (ECG atau EKG), yang merupakan alat yang digunakan secara meluas untuk merakam aktiviti elektrik jantung dan mahir dalam mengesan detak jantung yang tidak normal.
Terdapat juga variasi mudah alih seperti Holter moniter yang menawarkan pemantauan lanjut serta mempunyai keupayaan untuk mengesan aritmia yang datang dan pergi, yang tidak dapat dikesan melalui ujian ECG biasa.
Menurut Dr. Tee, adalah penting untuk orang ramai mengetahui dan memantau kadar denyutan jantung mereka ketika dalam istirehat (normal) dan semasa bersenam walaupun tidak mengalami sebarang simptom. Ini bagi membantu dalam mengenalpasti sebarang potensi untuk mengesan aritmia.
Oleh itu, kepentingan untuk berunding dengan profesional penjagaan kesihatan adalah penting kerana mereka boleh memberikan rawatan atau intervensi berdasarkan pendekatan diagnostik individu dan memastikan diagnosis yang tepat untuk kesihatan jantung yang optimum.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya individu terdekat mengalami Aritmia?
Sekiranya berlaku serangan jantung terhenti mengejut (SCA), selain daripada meminta bantuan kecemasan, langkah pertolongan cemas seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) boleh membantu untuk menyelamatkan nyawa mereka yang terjejas.
Tambah Dr Tee, orang ramai juga melengkapkan diri dengan kemahiran asas CPR dan bagaimana CPR berpotensi untuk meningkatkan peluang pesakit untuk hidup sementara menunggu bantuan professional tiba.
Dengan mengetahui strategi intervensi ini, orang ramai dapat menyumbang kepada komuniti bermaklumat yang komited terhadap kesejahteraan kardiovaskular.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/.