Carian
Kenyang Memperkenalkan 117 Hub, Ruang Komuniti Untuk Pelajar Dan Individu Berpendapatan Rendah
January 15, 2024 Lina Rosli

Kesan daripada inflasi global, ia telah memaksa ramai individu dari golongan berpendapatan rendah untuk mengurangkan perbelanjaan bulanan kepada keperluan yang paling sederhana.

Di Malaysia, pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah ini bukan sahaja mengalami masalah untuk berbelanja tetapi juga hanya mempunyai kewangan untuk makan sekali sehari sahaja.

Dengan isu makanan menjadi kebimbangan utama dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah ini, Kenyang by aRemnant, sebuah perusahaan sosial yang berakar umbi di Ipoh, hadir dengan inisiatif sebagai suar harapan.

Diasaskan oleh Tan Yuen Mun (Mun), Kenyang sedang dalam misi untuk memberi makan kepada golongan yang memerlukan dan menyediakan pentas untuk masa depan yang lebih mampan dari 117 Hub, Ipoh.

117 Hub, Ruang Komuniti Untuk Pelajar Dan Individu Berpendapatan Rendah

Menampilkan perabot kitar semula dan model rumah kediaman lestari, 117 Hub direka untuk menjadi ruang komuniti di mana pelajar dan orang ramai bebas menggunakan ruang secara praktikal untuk menghasilkan pendapatan dan sumber bagi Bantuan Makanan Kenyang RM0, sebuah program yang bertujuan memperkasakan kurang bernasib baik.

Dengan ini, Kenyang bukan sahaja membantu dari segi bantuan pemakanan, tetapi juga hadir dengan bantuan perlaksanaan impian sekaligus memupuk daya tahan dalam setiap individu dalam mengecapi cita-cita.

Visi Kenyang adalah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memperkasakan diri mereka untuk pembangunan diri. Kenyang akan menyemai semangat mereka dengan cara mengambil tindakan untuk golongan miskin dan membuat perubahan ke arah komuniti sara diri yang mampan.

Konsep Sisa Makanan Sifar Oleh Kenyang

Tulang belakang bagi program pemberian makanan kepada yang memerlukan ini melibatkan rakan kongsi dari seluruh Malaysia seperti Rise Against Hunger (RAH), BEACON Chicken (Beacon Mart), Fantastic Pastry Academy dan petani sayur (Uncle Leong) dari Cameron Highlands’ dan ladang Ezy dari Ipoh.

Kumpulan ini membantu dalam menyediakan lebihan atau “makanan yang diselamatkan” yang sepatutnya memasuki tapak pelupusan sampah.

Menggunakan Konsep Sisa Makanan Sifar ini, ia dapat membantu menyediakan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Selain itu, menerusi inisiatif ini juga, mereka turut memperkenalkan kelas masakan dan pembelajaran langsung mengenai taman komuniti lestari dan juga sedang dalam perancangan menyediakan kaedah penyediaan sumber makanan secara mampan.

Kenyang juga merancang untuk bekerjasama dengan Harena Cafe, Ipoh untuk menyediakan hidangan berkhasiat RM5 kepada masyarakat yang memerlukan.

Bagi memastikan program berjalan lancar, Kenyang mendekati orang ramai untuk mendapatkan sukarelawan. Kenyang mengalu-alukan individu daripada semua lapisan masyarakat. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kenyang dan inisiatif akan datang, sila ikuti Kenyang melalui Instagram atau Facebook.

Komen