Carian
Apakah Perbezaan Shawarma Dan Kebab?
January 19, 2024 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa shawarma dan kebab adalah dua jenis hidangan yang berbeza dan tidak sama? Kedua-dua makanan istimewa ini mempunyai peminat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan ketara antara kebab dan shawarma yang ramai orang tidak tahu.

Disebabkan rupa dan cara hidangan kedua-dua makanan ini hampir sama, ia secara tidak langsung menyukarkan individu untuk membezakan antara kebab dan shawarma kerana aroma dan rasa yang serupa.

Persoalannya, apakah perbezaan utama di antara dua-dua makanan ini? Berikut adalah beberapa perbezaan menarik antara kebab dan shawarma, yang juga akan membantu anda mengetahui pilihan yang lebih sihat.

#1 Cara penyediaan berbeza

Untuk pengetahuan anda, perbezaan utama antara shawarma dan kebab adalah cara penyediaannya.

Secara umumnya, kebab adalah hidangan yang menggabungkan daging yang dikisar, tepung atau serbuk roti, dan pelbagai rempah yang dimasak di atas kuali atau di panggangan atau tandoor.

Manakala shawarma pula adalah varian kebab dan disediakan daripada daging yang dibakar secara menegak.

Oleh sebab itu, perkataan kebab berasal daripada ‘Kababa’, perkataan Aramaik kuno untuk “char atau bakar” manakala shawarma memperoleh namanya daripada terjemahan Arab perkataan Turki yang bermaksud “berpusing.”

#2 Resipi memasak atau varian makanan

Selain itu, berdasarkan resipi tradisional untuk shawarma, ia menggunakan daging kambing. Shawarma kambing ini popular dalam kalangan masyarakat Timur Tengah disebabkan dagingnya yang berair dan berperisa apabila dihiris nipis. Namun, sejak kebelakangan ini, shawarma moden telah memperlihatkan variasi jenis pilihan termasuklah ayam belanda, ayam dan daging lembu.

Manakala kebab pula, ia mempunyai varian kebab yang meluas mengikut negara – bergantung kepada resipi lokal sama ada menggunakan kambing, makanan laut, daging lembu atau ayam.

#3 Cara hidangan

Seterusnya, shawarma boleh dihidangkan dalam dua cara. Daging boleh dihiris nipis pada roti pita ataupun dihidangkan pada hidangan yang besar dengan topping, sayur-sayuran, dan roti untuk pergi bersamanya.

Sementara untuk kebab, ia dihidangkan di menggunakan lidi, terus di atas pinggan, atau dimakan bersama roti dan naan.

Bukan itu sahaja, shawarma selalunya datang dengan sayur-sayuran segar seperti tomato, timun, salad dan bawang. Di negara-negara Timur Tengah, tahini adalah sos terkenal yang digunakan dengan shawarma.

Sayuran yang digunakan untuk menghias kebab adalah sama, termasuk tomato cincang, kubis dan bawang. Namun, sos yang digunakan berbeza. Sos Tzatziki adalah yang paling popular, manakala sesetengahnya turut menggunakan yogurt berperisa sebagai sos pelengkap.

Komen