Inisiatif Kelestarian Lush Memfokuskan Kepada Pengurusan Sisa Plastik Pada Pek Pembungkusan Produk

January 19, 2024
Gaya Hidup

Lina Rosli

Syarikat kosmetik segar buatan tangan yang diasaskan di Britain, Lush, meluaskan jangkauan produknya di Malaysia menerusi pembukaan kedai kesepuluh di Suria KLCC, Kuala Lumpur.

Sejak mula bertapak dalam pasaran Malaysia pada 2018, Lush telah mengukuhkan jenamanya dengan kewujudan sepuluh buah cawangan di Lembah Klang, Johor, Kuantan dan Pulau Pinang.

Kini, Lush terus mencipta revolusi kosmetik untuk menyelamatkan planet ini melalui produk dan kempen kelestariannya yang memfokuskan kepada hak manusia, haiwan dan alam sekitar dengan pelancaran kedai terbarunya ini. 

Pengurusan Sisa Plastik Pada Pek Pembungkusan Produk Lush

Pada masa yang sama, Lush Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi inisiatif penanaman terumbu karang – merupakan langkah inovasi bagi membangunkan produk bebas pek pembungkusan. Melalui inisiatif ini, Lush Malaysia yang berjaya menjimatkan 13,600 tan plastik di seluruh dunia.

Lush juga berjaya mengurangkan penggunaan plastik bersamaan dengan berat 76 ekor ikan paus biru menerusi pengenalan produk bebas pembungkusan (‘naked products‘) seperti bom mandi, pepejal syampu, dan ketulan perapi rambut.

Menurut Lush, mengenai idea di sebalik produk bebas pembungkusan, selain daripada memberikan faedah kepada alam sekitar, ia sebenarnya secara tidak langsung membantu mengurangkan kos yang lazaimnya ditanggung oleh syarikat – melibatkan pembungkusan.

Dan dengan pengurangkan kos yang ditanggung, ia secara langsung membolehkan produk dihasilkan menggunakan bahan yang lebih baik, sesuai untuk keperluan pelanggan.

Selain itu, Lush turut terus mempromosikan tanggungjawab sosial melalui inisiatif Charity Pot dan Bring It Back dalam menjayakan inisiatif mesra alamnya.

Bagi tujuan ini, Lush memperuntukkan 100% daripada hasil jualan krim tangan dan badan Lush di Charity Pot, sebagai geran kepada kumpulan yang memperjuangkan perlindungan haiwan, alam sekitar dan hak asasi manusia.

Geran ini disalurkan untuk membiayai kumpulan-kumpulan kecil pada peringkat akar umbi yang berperanan sebagai pemacu perubahan radikal, dan mengutamakan projek yang bertujuan untuk mencipta perubahan jangka panjang pada peringkat setempat.

Manakala acara Bring It Back pula menggalakkan pelanggan untuk memulangkan bungkusan dan bekas kosong ke kedai Lush, sekali gus menyumbang kepada pengurangan sisa plastik dan memupuk sistem kitar semula gelung tertutup (closed-loop recycling system).

Menyedari bahawa hanya kira-kira 9-12% plastik dikitar semula di seluruh dunia, skim kitar semula yang mudah ini membolehkan pelanggan Lush di Malaysia yang layak untuk menukar mana-mana barangan yang tersenarai sebagai Qualifying Lush Packaging dengan potongan sebanyak RM3.00 ke atas pembelian di kedai Lush.

Sebagai alternatif, pelanggan juga turut boleh membawa lima bekas kosong hitam atau jernih Lush, dan mereka akan diberikan topeng muka segar percuma.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd