Carian
Zero Balance Policy & Hutang; apakah kaitan antaranya?
January 21, 2024 syaza-adzman_91

Sejak kebelakangan ini, telah tular di Universiti Malaya tentang isu zero balance policy. Jadi, hal ini telah membuka mata para ibu bapa dan para mahasiswa dan mahasiswi untuk menyuarakan pendapat mereka akan hal ini. Hal ini telah menimbulkan kerisauan pelajar-pelajar B40.  Hal ini tidak menjadi masalah bagi pelajar-pelajar yang menerima bantuan awam seperti MARA, JPA dan lain-lain kerana pihak universiti boleh bertolak-ansur dengan mereka, dengan syarat mereka hendaklah memaklumkan kepada pihak yang menguruskan  hal ini. Tetapi, mengapa mereka tidak ingin bertolak-ansur dengan pelajar B40 juga? Ini mungkin akan menimbulkan persoalan dan mungkin ada sebahagian orang yang tidak tahu akan isu ini. Jadi pada hari ini saya akan memberi pendapat saya tentang isu ini. Persoalannya, adakah patut zero balance policy ini diaplikasikan di setiap institut pendidikan tinggi awam?

Sebelum saya memberi pendapat saya terhadap persoalan tersebut, saya ingin memperkenalkan apa itu zero balance policy atau polisi baki sifar? Zero balance policy ini adalah satu sistem yang memerlukan pelajar universiti untuk menjelaskan yuran tertunggak mereka sepenuhnya untuk mengaktifkan status mereka untuk pendaftaran kursus baharu. Jadi, pelajar haruslah menyelesaikan yuran tersebut sebelum bermulanya semester baru. Berbalik kepada persoalan tadi, adakah patut zero balance policy ini diaplikasikan di setiap institut pendidikan tinggi awam? Jawapannya tidak patut kerana ada dalam kalangan keluarga B40 yang mempunyai masalah kewangan jadi mereka tidak mampu untuk melunaskan yuran tersebut sebelum bermulanya semester baru, eloklah jika ianya secara ansuran dalam tempoh pengajian semester baru itu. Mungkin ada juga dalam kalangan keluarga B40 yang mempunyai tanggungan yang ramai, oleh itu ibu bapa mereka tidak mampu untuk melunaskannya. Mungkin ada juga antara pelajar yang tidak mempunyai kewangan ynag stabil terutamanya pada awal semester. Jika zero balance policy ini diaplikasikan, maka berkemungkinan akan ada antara ibu bapa mereka atau pelajar itu sendiri yang berhutang. Sudah tentunya berhutang ini mempunyai kesan yang buruk.

Definisi hutang menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat ialah wang yang dipinjam daripada orang lain. Manakala takrif hutang dalam islam ada dua iaitu dari segi bahasa dan istilah. Dari segi bahasa, hutang ialah sebarang liabiliti atau tanggungan masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya. Di samping itu, hutang dari segi istilah terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama, hutang umum iaitu hak atau tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban di masa hadapan. Yang kedua pula, hutang khusus menurut jumhur atau majoriti ulama’ iaitu sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada pertukaran  transaksi, kerosakan harta benda , kecederaan, ataupun untuk melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.

Berhutang ini merupakan jalan terakhir jika benar-benar tersepit tetapi seeloknya diusahakan untuk elak. Dalam Islam, hutang ini mempunyai pelbagai hukum antaranya wajib jika pemberi hutang tersebut mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang. Seterusnya, hukum hutang menjadi makruh jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk, ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang -hutang tersebut. Manakala, hukum hutang menjadi haram pula jika pemberi hutang itu mengetahui bahawa hutang tersebut digunakan untuk tujuan maksiat seperti berjudi, minum arak dan sebagainya.

 Hutang juga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib. Seperti Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa, ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Dan dari Abu Hurairah r.a ia telah berkata, telah bersabda Rasulullah SAW: “ Sekalipun aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih dari tiga hari, kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang”.  Jika seseorang itu berhutang dengan niat untuk membayar kembali dan tidak sengaja melewatkan pembayarannya maka dia tidak berdosa. Tetapi, berdosalah seseorang itu jika sengaja melewatkan pembayaran padahal mampu sehingga si pemberi hutang berpindah. Maka itu termasuk dalam sabda Rasulullah SAW: “Melewatkan pembayaran hutang oleh orang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, di sini telah jelas hukum-hukum dan kesan-kesan berhutang terhadapseseorang individu tersebut. Jadi di sini saya tegaskan sekali lagi bahawa zero balance policy ini tidak sepatutnya diaplikasikan di setiap institut pengajian tinggi awam kerana ini akan memberi kesan kepada banyak pihak. Para mahasiswa dan mahasiswi yang tidak mampu melunaskan akan mengalami kerisauan tentang pengajian mereka. Seterusnya, pihak -pihak yang berkenaan perlulah bertimbang rasa dan memikirkan cara lain untuk menyelesaikan masalah ini. Cadangan atau saranan saya tentang isu ini adalah pihak yang bertanggungjawab perlulah bertimbang rasa dan bertolak-ansur akan masalah yuran seperti memaklumkan kepada para pelajar agar melunaskan yuran secara ansuran atau mereka akan dikenakan hukuman atau denda , contohnya seperti tidak membenarkan mereka untuk menduduki peperiksaan akhir semester. Setiap masalah sudah semestinya mempunyai jalan penyelesaian.

Komen