Volvo Cars Sedang Membangunkan Sistem Pemahaman Pemandu – Akan Mengesan Keadaan Pemandu Dan Mengaktifkan Perisai Keselamatan

February 6, 2024
Automotif

Lina Rosli

Tahukah anda bahawa tali pinggang keselamatan tiga mata yang digunakan oleh kebanyakan kenderaan di dunia merupakan hasil produk jenama kenderaan Volvo Cars – bagi memastikan tahap keselamatan penumpang adalah maksima?

Diperkenalkan pada tahun 1959, tali pinggang keselamatan untuk kenderaan empat roda ini mula memasuki pasaran automotif. Untuk pengetahuan anda, pencipta tali pinggang ini iaitu Volvo Cars dan Nils Bohlin membuat keputusan untuk tidak mendapatkan hak paten buat alat tersebut agar setiap pembuat kereta dapat menggunakannya.

Dan pada hari ini, jika anda lihat di setiap kenderaan, tali pinggang ini merupakan alat keselamatan kenderaan terpenting di dunia – telah menyelamatkan lebih satu juta orang dan mengurangkan serta mengelakkan kecederaan untuk jutaan lagi.

Ciptaan ini kekal merentasi masa, dan dunia keselamatan automotif juga telah berkembang dengan ketara yang mana kini anda boleh menerokai lebih banyak ciri keselamatan yang telah diperkenalkan – kebanyakannya dipelopori oleh Volvo Cars. 

Volvo Cars sedang membangunkan sistem ciri keselamatan dwikamera

Sebelum ini, Volvo Cars telah memperkenalkan ciri-ciri yang sejajar dengan visi mereka yang memfokuskan kepada keselamatan sewaktu pemanduan. Dan kini, Volvo Cars melangkah lebih jauh dengan menyasarkan sifar perlanggaran.

Dalam memenuhi visi bercita-cita tinggi ini, Volvo Cars telah mengenal pasti tiga “jurang menuju sifar” menggunakan teknologi dan data mengenai tingkah laku manusia:

  • Cabaran pertama adalah pemanduan laju, yang merupakan penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya. Volvo Cars telah mengehadkan kelajuan maksimum keretanya kepada 180km/j. 
  • Cabaran kedua adalah pemanduan ketika mabuk. Walaupun memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah haram, ia kekal sebagai salah satu sebab utama kecederaan lalu lintas dan kematian.
  • Jurang terakhir merupakan gangguan. Sekiranya seseorang pemandu terganggu sama ada oleh telefon mudah alih mereka, keletihan, ataupun penumpang lain, tumpuan mereka tidak sepenuhnya ke arah pemanduan selamat.

Visi baharu ini membawa komitmen yang lebih tinggi untuk menangani dua jurang terakhir tersebut. Volvo Cars sedang membangunkan sistem ciri keselamatan dwikameraSistem Pemahaman Pemandu yang boleh mengesan sekiranya pemandu sedang terganggu, mengantuk, ataupun mabuk.

Apabila gangguan ini dikesan, kenderaan Volvo akan mengaktifkan perisai pelindung serta mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian, sama ada:

  • Memberi amaran visual dan boleh didengari
  • Mengurangan kelajuan
  • Memberhentikan kenderaan sepenuhnya di tepi jalan

Memperkasakan Pemandu Volvo untuk Membuat Perubahan

Buat anda yang ingin merasai pengalaman inovasi keselamatan Volvo yang hampir 100 tahun di hujung jari anda, Volvo Car Malaysia akan menganjurkan Pengalaman Pemanduan Keselamatan Volvo sulungnya di Lapangan Terbang Sungai Besi – landasan udara pertama Malaysia yang ikonik pada 2 dan 3 Mac 2024.

Pengalaman ini terbuka kepada kedua-dua pemilik dan bukan pemilik kereta Volvo. Slot adalah terhad dan tersedia berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara Volvo Safety Driving Experience, sila layari https://safetydrive.volvocarmalaysia.com/ atau ikuti Volvo Car Malaysia di Facebook dan Instagram melalui. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd