Menghidupkan lilin di rumah boleh dikatakan satu tabiat yang paling kerap dilakukan oleh individu yang ingin berehat selepas menjalani hari-hari yang padat dan memenatkan.
Sesetengah lilin boleh menjadikan rumah kita berbau harum , manakala yang lain hanya kelihatan cantik di atas meja makan atau membantu mencipta pencahayaan berlapis yang sempurna.
Walaupun kita suka lilin, bagaimanapun kita pastinya pernah tertanya-tanya, adakah pemasangan lilin wangi di ruang dalaman rumah akan memberi kesan kepada kualiti udara?
Ketahui Kesan Penggunaan Lilin Wangi Untuk Kualiti Udara Dalaman Rumah
Secara amnya, pakar mengatakan bahawa lilin sememangnya boleh menjejaskan kualiti udara dalaman, tetapi kesan negatif biasanya dianggap kecil, selagi lilin dibakar di ruang dalaman yang mempunyai pengudaraan yang baik.
Membakar lilin secara amnya dianggap selamat dalam keadaan biasa. Namun, kesan kualiti udara mungkin lebih ketara untuk jumlah lilin yang lebih besar atau dalam ruang yang kurang pengudaraan.
Jadi, selagi anda membakar lilin anda secara sederhana dan dalam ruang pengudaraan yang baik, anda tidak perlu terlalu risau. Walau bagaimanapun, anda masih perlu mengambil kira beberapa faktor lain yang boleh memberi kesan kepada isi rumah terutamanya jika seseorang di rumah anda menghidap asma atau alahan.
Untuk pengetahuan anda, membakar apa sahaja, sama ada kayu, makanan atau lilin, membawa kepada pelepasan pelbagai bahan pencemar. Walau bagaimanapun jenis pelepasan bahan pencemar ini bergantung kepada sifat sumbu, jenis lilin, dan sama ada lilin itu wangi atau tidak.
Perbezaan antara membakar lilin wangi berbanding lilin tidak wangi
Lilin wangi mempunyai kesan yang agak lebih besar terhadap kualiti udara berbanding lilin tidak wangi, kerana ia biasanya mengandungi sebatian organik yang lebih mudah meruap.
Oleh itu, sesetengah individu mungkin lebih terjejas oleh pendedahan lilin wangi berbanding yang lain, bergantung pada kepekaan mereka terhadap bau dan bahan pencemar tertentu.