Carian
Ulasan Samsung Galaxy S24 Ultra – Sekali Pandang, Pasti Jatuh Hati
February 19, 2024 Lina Rosli

Menjadi antara peranti yang paling ditunggu-tunggu setiap individu, peranti Samsung Galaxy S24 Ultra kali ini hadir dengan pelbagai penawaran yang menarik bermula dari kehebatan kamera yang disediakan sehingga ke pengenalan teknologi kecerdasan buatan baharu mereka iaitu Galaxy AI.

Sewaktu pelancaran siri Galaxy S24 ini, Samsung dilihat memfokuskan kepada pengalaman penggunaan yang maksima kepada pengguna. Oleh itu, yang menjadikan siri baharu Samsung ini adalah istimewa adalah segalanya tentang komunikasi dan kepuasan berhubung di platform sosial.

Tidak mahu berbicara panjang, Tajria pada kali ini ingin berkongsi serba serbi pengalaman penggunaan dan gambarkan apakah perasaan penggunaan Samsung Galaxy S24 Ultra berbanding telefon pintar yang pernah penulis gunakan sebelum ini.

Ada Apa Pada Samsung Galaxy S24 Ultra?

Menampilkan kemaskini rekaan yang tidak jauh bezanya dengan model sebelum ini iaitu siri Galaxy S23 Ultra, untuk Samsung Galaxy S24 Ultra ini, ia masih menggunakan rekaan yang hampir sama tetapi menampilkan sedikit kelainan adalah sisi tubuh yang lebih bersegi atau petak.

Susunan tiga lensa utama kameranya masih lagi dikekalkan – disusun secara menegak ke bawah dan menggunakan kemasa matte pada bahagian kerangka peranti.

Pasti ramai yang sudah sedia maklum, Samsung Galaxy S24 Ultra ialah model paling mercu untuk siri Galaxy S24. Oleh yang demikian, peranti ini merupakan peranti paling berkuasa dan berkemampuan tinggi di antara tiga peranti yang dilancarkan oleh Samsung.

Jadi bagi memberikan sedikit keistimewaan pada peranti, dari sudut binaan, Samsung Galaxy S24 Ultra 5G nampaknya mula hadir dengan binaan yang diperbuat daripada Titanium yang dikatakan lebih ringan dan tahan calar – model Ultra adalah pertama yang menggunakannya.

Untuk pengetahuan anda, piluhan warna yang ditawarkan adalah Titanium Gray, Titanium Yellow, Titanium Violet, dan Titanium Black. Manakala, eksklusif untuk pembelian atas talian, terdapat 3 lagi warna menarik iaitu Titanium Blue, Titanium Orange, dan Titanium Green.

Namun, jika dilihat secara keseluruhan, sekilas pandang perubahan pada rekaan boleh dikatakan agar minimal yang mana Samsung masih lagi mengekalkan susunan kamera seperti model S terdahulu.

Pengalaman Penggunaan Samsung Galaxy S24 Ultra

Untuk model Galaxy S24 Ultra 5G, Samsung kekal menggunakan skrin 6.8-inci QHD+ dengan kadar segar semula sehingga 120Hz.

Membezakan model tahun ini dengan yang lepas, Samsung memperkenalkan rekaan skrin kali ini adalah lebih rata selain turut menawarkan bezel yang paling nipis. Dengan ini, pengalaman menggunakan peranti lebih-lebih lagi untuk tontonan video pada peranti pastinya akan menjadi lebih memuaskan.

Sudah menjadi satu kemestian bagi kebanyakan peranti mudah alih untuk menyertakan barisan kamera yang berkemampuan tinggi.

Oleh sebab itu, anda pasti tidak akan kecewa dengan penawaran kamera yang ditampilkan Samsung Galaxy S24 Ultra 5G yang mana membawakan kamera utama 200+50+12+10MP dengan kemampuan zum optikal 5x untuk lensa 50MP, manakala zum optikal 3x untuk lensa telefoto. Untuk kamera swafoto pula menggunakan lensa 12MP.

Berikut adalah contoh rakaman gambar menggunakan Samsung Galaxy S24 Ultra:

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, hasil rakaman gambar dan video adalah sangat memuaskan. Sama ada untuk gambar makanan ataupun gambar orang sebagai subjek, warna yang terhasil pada gambar boleh dikatakan jelas dan jitu, selain tidak kelihatan terlalu ‘berwarna’ sehingga memberi kesan kepada warna asal.

Sementara, untuk rakaman gambar di dalam ruang pencahayaan rendah pula, penulis boleh katakan hasil gambar yang diperlihatkan oleh Samsung Galaxy S24 Ultra juga cukup memuaskan. Apa yang penting, warna untuk kulit tidak bertukar merah atau menjadi terlalu kusam walaupun berada di kawasan cahaya rendah.

Berikut adalah beberapa hasil rakaman swafoto menggunakan kamera utama. Hasil gambar yang terhasil memperlihatkan kejituan warna yang baik selain turut menampilkan warna pada kulit yang kelihatan semula jadi – walaupun berada di pelbagai situsdi pencahayaan.

Proses Suntingan Juga Lebih Mudah Dengan Galaxy AI

Malah, anda juga boleh terus membuat suntingan gambar pada peranti Samsung Galaxy S24 Ultra. Untuk penulis, beberapa penambahbaikan pada gambar telah dilakukan pada gambar termasuk, membuang objek yang tidak dikehendaki pada latar gambar, menjadikan kulit kelihatan lebih licin dan banyak lagi.

Dan untuk setiap gambar yang telah disunting menggunakan Galaxy AI, anda akan melihat watermark pada bahagian bawah tepi gambar yang menyatakan bahawa gambar berkenaan telah diproses menggunakan teknologi kecerdasan buatan.

Selain daripada suntingan yang menggunakan Galaxy AI, Samsung Galaxy S24 Ultra ini juga berupaya melakukan beberapa ciri lain yang bersesuaian untuk menambah kualiti sesuatu gambar. Ini termasuk:

  • ciri suntingan generatif yang membantu anda mengisi ruang kosong dengan bantuan AI
  • ciri membuang bayang-bayang atau pantulan pada gambar
  • ciri rakaman video yang merakam bingkai demi bingkai
  • ciri HDR sebelum foto diambil
  • ciri memuat-naik gambar resolusi tinggi untuk media sosial

Mengenai ciri zum pula, di bawah adalah sampel gambar yang menggunakan zum digital sehingga 100x. Ia menampilkan hasil gambar yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Namun, berdasarkan pengalaman penggunaan Tajria, rakaman zum yang paling maksima yang sesuai untuk anda gunakan hanyalah sehingga 3 kali sahaja. 

Hal ini kerana untuk hasil rakaman 20x dan 30x adalah tidak begitu jelas selain mempunyai noise yang banyak sehingga menjadikan hasil gambar yang diambil seakan kartun.

Perubahan yang paling penting yang telah dilakukan Samsung untuk kamera mereka adalah penawaran rakaman video 8K dan kemampuan melakukan zum sehingga 5x sewaktu menggunakan mod nightography.

Yang pasti ini adalah ciri nightography ini sangat digemari oleh penulis kerana dikebanyakan masa, rata-rata gambar yang dirakam oleh saya adalah sewaktu berada di dalam pencahayaan yang kurang – kerana berada di dalam bangunan ataupun rakaman dilakukan pada waktu malam.

Aktiviti Mencari Kini Lebih Mudah Dengan ‘Circle To Search’

Penawaran teknologi paling baharu Samsung adalah Circle To Search yang dikuasakan oleh Google.

Menerusinya, anda hanya perlu membulatkan mana-mana produk atau bangunan mahupun logo jenama untuk anda melakukan carian terus produk di dalam internet.

Seakan sama dengan Google Lens, fungsi Circle to Search ini ditawarkan khas untuk model Samsung Galaxy S24 Ultra 5G yang mana anda boleh terus melakukan carian dengan merakam gambar produk di kamera dan bulatkan mana-mana produk.

Untuk ciri ini, ia memerlukan internet dan selagi mana sambungan internet ada, maka carian yang dilakukan boleh dilihat hasilnya dalam masa yang singkat.

Komunikasi Lebih Mudah Menggunakan Call Assist, Chat Assist Dan Notes Assist

Di acara Galaxy Unpacked 2024, Samsung telah memperkenalkan Galaxy AI yang mana ia memfokuskan kepada teknologi kecerdasan buatan secara terbina di dalam peranti siri Samsung Galaxy S24.

Terdapat tiga fungsi menarik yang boleh anda terokai menggunakan Galaxy AI iaitu Notes Assist, Chat Assist dan Call Assist.

Untuk penulis sendiri, berhubung dengan kenalan berlainan bangsa mungkin mempunyai kesukaran – disebabkan oleh masalah bahasa pertuturan. Namun, dengan adanya Chat Assist anda boleh terus berhubung dengan mudah tanpa perlu bertukar ke tetingkap lain – contohnya Google Translate.

Sementara untuk Notes Assist pula, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan penulis untuk memudahkan proses menghasilkan dan menyunting nota:

  • Auto Correct (Membetulkan Auto)
  • Auto Format (Memformat Auto)
  • Auto Translate (Menerjemah Auto)
  • Summarize (Meringkas)

Sementara untuk Call Assist, anda hanya perlu mengaktifkan fungsi translate ini pada tetapan peranti anda. Dan kemudian pilih bahasa yang digunakan di dalam pek bahasa yang telah dimuat-turun.

Antara bahasa yang ditawarkan untuk terjemahan termasuklah bahasa Korea, Jepun, Vietnam, Jerman, Hindi, Polish dan banyak lagi – lebih daripada 17 bahasa yang boleh anda dapatkan.

Ketahanan Bateri Untuk Kegunaan Harian

Di sepanjang penggunaan penulis untuk tempoh dua minggu ini, kapasiti bateri yang diberikan adalah mencukupi dan tahan lama. Walaupun penulis menggunakan secara aktif peranti ini, ia boleh dikatakan mencari kawasan untuk mengecas dan juga membawa powerbank bukanlah satu keperluan.

Pengguna tidak perlu risau akan hayat bateri kerana boleh digunakan sehingga lebih daripada 10 jam dengan kadar kesegaran suai didayakan dan lebih dari 12 jam dengan kadar penyegaran standard.

Untuk penggunaan biasa, penulis sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih, ia sudah mencukupi dan tidak perlu mengecas terlalu kerap.

Jika dilihat pada peranti Samsung yang lain juga, produktiviti sememangnya menjadi fokus utama Samsung yang mana Samsung Galaxy S24 Ultra ini sangat sesuai digunakan sebagai peranti produktiviti yang memudahkan anda untuk mengurus aktiviti menggunakan peranti.

Tidak dinafikan salah satu faktor yang menjadikan ramai yang berminat untuk mendapatkan peranti ini adalah sebabkan penawaran rekaan dan juga warnanya yang menarik dan menawan. Namun, jika dilihat dari sudut spesifikasi dan juga kelebihan peranti, pada pandangan penulis ia cukup berbaloi bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Jadi, adakah Samsung Galaxy S24 Ultra cukup menarik dan berbaloi untuk kegunaan anda? Jawapannya adalah ya.

Namun begitu, untuk harga yang ditawarkan, pada pandangan penulis sendiri, anda masih perlu pertimbangkan beberapa faktor yang menjadi keperluan utama anda sewaktu memilih peranti baharu. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menggunakan telefon pintar dengan spesifikasi dan prestasi kamera yang menakjubkan, maka Samsung Galaxy S24 ini berbaloi untuk ditambah di dalam senarai peranti yang perlu anda dapatkan.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan siri Galaxy S baharu ini untuk kegunaan harian anda? Dapatkan siri Samsung Galaxy S24 bermula hari ini pada harga jualan bermula:

  • Samsung Galaxy S24 Ultra – RM6299 (12/256GB) | RM6799 (12/512GB) dan RM7799 (12/1000GB)
  • Samsung Galaxy S24 – RM4099 (8/256GB) | RM4599 (12/512GB)
  • Samsung Galaxy S24+ – RM4899 (12/256GB) | RM5399 (12/512GB)
Komen