Carian
UMW Toyota Motor Komited Untuk Beralih Ke Arah Neutraliti Karbon Menjelang 2050 Menerusi Pengenalan Kenderaan FCEV
February 22, 2024 Lina Rosli

Di dalam sebuah acara yang berlangsung dari 20 Februari hingga 29 Februari, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan inisiatif Beyond Zero – yang merupakan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen mereka terhadap amalan mampan dan mesra alam.

Menerusi Beyond Zero, UMW Toyota Motor menawarkan pelbagai penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini sekaligus memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan ke arah mencapai pelepasan Karbon Dioksida Sifar.

Ini bertepatan dengan matlamat global UMWT ke arah Neutraliti Karbon dalam tempoh 15 tahun ini – menjelang tahun 2050.

Sewaktu acara Beyond Zero juga, yang diadakan di Taman Teknologi Malaysia (Mranti Park), UMWT memperlihatkan barisan produk mereka yang merangkumi kategori kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan juga kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

Dan yang menjadi tarikan utama pada acara Beyond Zero ini adalah pengenalan barisan kenderaan di dalam kategori FCEV – Mirai FCEV, GrandAce FCEV, Hilux FCEV dan juga bas SORA.

Untuk pengetahuan anda, FCEV ini merupakan model termaju dari UMWT yang dikuasakan oleh hidrogen – dan ini sekaligus menghasilkan prestasi dinamik selain mengurangkan kadar pembebasan karbon.

Buat masa ini, hanya 6 kenderaan FCEV sahaja yang telah dipandu di jalanraya – salah satunya adalah kenderaan milik Premier Sarawak yang menggunakan model Toyota Mirai FCEV. Ini kerana, stesen pengisian hidrogen ini masih lagi terhad di Malaysia – yang mana setakat ini hanya satu stesen sahaja yang telah dibuka di Kuching, Sarawak.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2025, satu stesen hidrogen dijangka akan dibuka di Semenanjung Malaysia dan menjelang tahun 2030, Malaysia dijangkakan akan mempunyai sebanyak 100 buah stesen hidrogen untuk kegunaan umum.

Selain itu, teknologi untuk kenderaan FCEV ini juga menampilkan keupayaan untuk menyumbang kepada masa depan automotif yang lebih bersih dan mampan, termasuk untuk tujuan komersial di mana gas hidrogen yang disimpan di dalam tangki hidrogen dan kemudiannya bertindak balas dengan oksigen untuk menjana tenaga elektrik yang akan memberi kuasa kepada motor elektrik – tidak seperti petrol, ia tidak mengeluarkan asap kesan dari pembakaran, yang mana ia hanya mengeluarkan air sebagai kesan daripada tindak balas tersebut.

Di lokasi acara Beyond Zero yang kami hadir, kami sempat menaiki bas FCEV oleh Toyota, iaitu SORA. Pengalaman menaiki bas SORA ini boleh dikatakan hampir mirip dengan pengalaman menaiki bas petrol biasa.

Namun, yang membezakannya adalah kesan jangka masa panjangnya ke atas alam sekitar. Disebabkan bas SORA ini dikuasakan oleh hidrogen, maka sewaktu berada di luar bas (semasa menunggu penumpang lain masuk ke dalam bas), tiada asap diesel yang dibebaskan oleh bas – selain turut tidak mengeluarkan bau gas pembakaran bahan api yang mencemarkan udara.

Untuk pengetahuan anda, nama SORA pada bas ini diambil daripada singkatan untuk Sky, Ocean, River and Air (Langit, Laut, Sungai dan Udara).

Selain FCEV, UMWT turut memperkenalkan buat pertama kalinya, Kenderaan Elektrik Bateri atau Battery Electric Vehicle (BEV) yang mempamerkan model bZX yang bergaya serta model C+pod yang mempunyai reka bentuk unik.

Bagi yang baru pertama kali mengetahui tentang model C+pod, ia merupakan sebuah BEV ultra kompak dua tempat duduk yang sememangnya mesra alam. C+pod telah diperkenalkan sebagai pilihan mobiliti yang direka khusus bagi meningkatkan kadar keekapan tenaga setiap individu dalam persekitaran bandar.

Manakala untuk kategori HEV (Hybrid Electric Vehicle), UMWT turut memperlihatkan barisan model kenderaan yang mendapat sambutan hangat di pasaran Malaysia.

Dengan kredibiliti UMWT yang terbukti di jalan raya Malaysia sejak tahun 2009 dan di peringkat global sejak tahun 1997, UMWT telah berjaya menjual sebanyak 41,600 HEV sejak tahun 2009 yang dapat diterjemahkan kepada kesan penyahkarbonan yang membanggakan, iaitu penyerapan kira-kira 150,000 tan CO2 bersamaan dengan 500,000 pokok.

Malah, model HEV UMWT kini telah menjadi penyelesaian optimum bagi memperluaskan lagi elektrifikasi kepada orang ramai. Di dalam acara ini, antara HEV mereka yang menarik perhatian ramai adalah model Prius 24th LeMans Centennial GR Edition.

Dengan ini, kita dapat melihat pelbagai segmen elektrifikasi UMWT yang bakal menyusur di jalanraya di Malaysia – ini merangkumi kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri, hinggalah kepada teknologi sel bahan api hidrogen.

Tambah UMWT, konsep Beyond Zero menekankan komitmen Toyota untuk terus berinovasi, di samping memupuk ekosistem yang hijau dan rendah karbon untuk semua rakyat Malaysia. Ini menandakan satu kejayaan penting dalam perjalanan UMW Toyota Motor ke arah mobiliti mampan.

Komen