Parut terbakar boleh menjadi besar atau kecil bergantung pada berapa banyak kulit yang rosak akibat terbakar.
Kadar keterukan luka akibat terbakar akan menentukan sama ada parut ini akan pudar atau kekal kelihatan secara kekal, tetapi rawatan mungkin membantu.
Melecur boleh berlaku apabila kulit seseorang menyentuh atau terkena sesuatu yang terlalu panas, atau disiram air yang mendidih, terlalu terdedah kepada matahari, bahan kimia tertentu, atau juga elektrik.
Semasa proses penyembuhan, parut akan terbentuk. Parut ini akan muncul di kawasan kulit yang tebal dan berubah warna yang mana ia mula timbul selepas kulit rosak dan menyebabkan sel mati.
Untuk pengetahuan anda, badan menghasilkan protein yang dipanggil kolagen untuk membaiki kulit yang rosak, yang membawa kepada parut.
Dalam artikel ini, kita melihat jenis luka akibat terbakar yang lebih cenderung untuk menyebabkan parut, selain turut berkongsi tips untuk mengurangkan parut terbakar dan cara mencegah parut jangka panjang.
3 Jenis Luka Terbakar Atau Luka Melecur
Luka terbakar atau melecur ini dikategorikan bergantung kepada berapa banyak kulit yang terkesan akibatnya:
- Luka terbakar tahap pertama atau melecur first-degree merosakkan lapisan luar kulit (epidermis) dan menyebabkan kemerahan dan kesakitan. Luka ini biasanya sembuh dalam masa 6 hari tanpa meninggalkan parut pada kulit.
- Luka terbakar tahap kedua atau melecur second-degree menjejaskan kedua-dua epidermis dan lapisan di bawah kulit (dermis). Selain kesakitan dan kemerahan, individu yang melecur tahap kedua mungkin mengalami lepuh. Melecur ini mungkin mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk sembuh dan berkemungkinan besar akan parut.
- Luka terbakar tahap ketiga adalah yang paling teruk. Melecur jenis ini merosakkan dua lapisan atas kulit tetapi juga boleh merosakkan tulang dan tendon dan boleh menjejaskan hujung saraf. Individu yang mengalami luka bakar tahap ketiga juga mungkin menyedari kulit mereka menjadi putih atau hitam. Jenis melecur ini boleh mengambil masa yang lama untuk sembuh dan berkemungkinan menghasilkan parut.
Untuk kesan parut yang disebabkan oleh luka terbakar tahap kedua dan ketiga dikategorikan mengikut penampilannya dan bagaimana ia mempengaruhi kulit:
- Parut hipertropik mungkin kelihatan merah atau ungu dan dinaikkan melebihi paras kulit. Mereka mungkin berasa panas dan menjadi gatal.
- Parut kontraktur menjadikan kulit, otot, dan tendon lebih tegang dan menyekat pergerakan kulit yang normal.
- Parut keloid membentuk benjolan berkilat dan membuatkan lapisan epidermis tidak berbulu.
Tips Untuk Mengurangkan Kesan Parut Terbakar
Rawatan cepat dan penjagaan luka yang betul selalunya merupakan cara terbaik untuk mencegah atau meminimumkan penampilan parut.
Banyak parut pudar dari semasa ke semasa. Namun, parut keloid selalunya tidak pudar dengan sendirinya dan mungkin memerlukan rawatan.
Apabila parut telah terbentuk, seseorang boleh mengurangkan penampilan parut dengan:
- Menggunakan gel silikon. Penyelidikan menunjukkan bahawa ini boleh membantu mengurangkan penampilan parut sedia ada, termasuk mengurangkan saiz, kekakuan dan kemerahan.
- Melindungi kawasan parut dari matahari. Sinaran ultraungu dari matahari boleh menyebabkan parut menjadi lebih gelap dan menjadi lebih ketara.
Langkah Awal Untuk Merawat Luka Terbakar Dan Cara Mengelakkan Parut
Sejurus selepas luka berlaku, seseorang boleh:
- Bilas luka bakar dengan air sejuk atau suam, kemudian biarkan kulit kering
- Sapukan sapuan antibiotik, menggunakan aplikator yang disterilkan untuk membantu mencegah jangkitan
- Tutup luka bakar dengan pembalut – lebih baik menggunakan kain kasa untuk membalut luka
- Dapatkan rawatan perubatan jika luka semakin merah dan tidak sembuh selepas beberapa hari.
Selepas luka melecur telah sembuh, anda boleh:
- Berhati-hati meregangkan kulit di sekitar kawasan yang terjejas selama beberapa minit setiap hari untuk mengelakkan kulit daripada melekat bersama
- Tunggu sehingga lepuh pecah dan mengalir dengan sendirinya, kemudian minta doktor memotong kulit mati
- Tutup kawasan yang rosak dengan pakaian atau pelindung matahari selama beberapa bulan
Untuk memastikan luka bakar yang teruk sembuh dengan baik, buat temu janji dengan doktor secara berkala. Mereka boleh memberi nasihat tentang cara untuk mencegah atau mengurangkan parut dan memeriksa luka bakar itu sembuh sebagaimana mestinya.