Apabila anda menjadi penjaga kucing buat kali pertama, pasti banyak perkara yang perlu anda lakukan dan persiapkan – ini termasuk persediaan sebelum menyambut ahli baru di dalam keluarga ‘bulus’ anda.
Jika anda memilih untuk bersalin di rumah, maka terdapat beberapa perkara mudah tetapi penting yang boleh anda lakukan untuk memastikan kucing anda gembira, sihat dan dapat melahirkan anak dalam persekitaran yang bebas tekanan.
Menyediakan rumah untuk kucing anda bersalin
Yang pertama, sebaik-baiknya, ibu kucing harus disediakan satu ruang atau tempat yang selamat untuk dirinya – lebih-lebih lagi sewaktu di fasa akhir kehamilannya.
Untuk pengetahuan anda, ibu kucing boleh menjadi agresif dalam dua minggu terakhir kehamilan mereka, jadi asingkan dia dan jauhkan dia daripada kanak-kanak atau kelompok kucing yang lain.
Jika ingin lebih mudah, anda boleh menyusun kotak-kotak besar yang bersesuaian untuk ibu kucing rehat dan selesa untuk bersalin. Pastikan kotak itu cukup ruang untuk dia baring dan dengan sisi yang cukup tinggi supaya anak kucing tidak terjatuh. Kemudian, lapik dengan plastik dan kemudian surat khabar, yang mudah dikeluarkan jika ia menjadi kotor, dan tutup dengan selimut.
Bagaimana untuk mengetahui waktu bila kucing anda akan bersalin?
Anda mungkin tidak menyedari peringkat pertama kelahiran kucing anda, kerana tiada kontraksi yang kelihatan.
Sebaliknya, anda akan melihat kucing anda kelihatan gelisah, dan mempamerkan tingkah laku pelik seperti sentiasa mengikut – atau mengelak – anda. Dia juga akan menjadi sangat sensitif dan sering memandikan (menjilat) dirinya sendiri.
Apabila dia hampir bersedia untuk bersalin, dia akan menggaru dan menetap di dalam kotak yang disediakan, dan mula merengus kuat. Sebaik sahaja anda melihat lelehan kemerahan telah dikeluarkan, ia tidak akan lama sehingga anak kucing pertama dan plasenta mereka mula muncul – biasanya dalam masa kurang daripada satu jam.
Semasa kelahiran, ibu kucing akan kedengaran seperti ‘menangis’ dan terdengar tertekan, itu adalah perkara biasa. Anda boleh mula melihat anak kucing dalam sela masa 10 hingga 60 minit.
Selepas dua jam telah berlalu, selepas anda merasakan ibu kucing telah selamat melahirkan kesemua anaknya, anda boleh memeriksanya di setiap 15 minit.
Usah khuatir, selepas melahirkan anak, ibu kucing akan memakan plasenta dan mengunyah tali pusat anak kucing yang dilahirkan. Jadinya, anda tidak perlu risau sekiranya kawasan tempat bersalin kucing anda berbau busuk dan kotor akibat darah yang keluar.
Harus diingatkan, jika kucing anda berasa tertekan, perkara ini akan mengganggu proses bersalinnya sendiri dan menghalang bersalin selama berjam-jam, dan lebih teruk boleh mencapai berhari-hari.