Ramai antara kita gemar menikmati bau segar rumput yang baru dipotong, seolah-olah ia membawa suasana segar dan nyaman. Namun tahukah anda sebenarnya, di sebalik bau ini tersembunyi satu realiti yang mengejutkan?
Untuk pengetahuan anda, bau yang dikeluarkan oleh rumput selepas dipotong sebenarnya adalah isyarat kecemasan daripada tumbuhan itu sendiri.
Bau Sebagai Reaksi Pertahanan
Apabila rumput dipotong, tumbuhan ini mengalami apa yang boleh dianggap sebagai “kecederaan.” Untuk melindungi diri daripada kerosakan lanjut, ia mengeluarkan sejenis campuran sebatian berasaskan karbon di udara yang dipanggil senyawa organik mudah meruap (volatile organic compounds, VOC).
Bahan-bahan kimia ini bukan sahaja memberi amaran kepada rumput sekitarnya untuk bersiap sedia terhadap kerosakan yang mungkin berlaku, tetapi ia juga bertindak sebagai pelindung yang membantu tumbuhan tersebut menghalang serangan serangga.
Namun, tahukah anda terdapat fungsi dan kesan lain bau ini kepada persekitaran? Oleh itu, Tajria hari ini akan berkongsi kepada fakta menarik mengenai bau fresh-cut grass ini kepada alam sekitar.
Benarkah Bau Rumput Yang Dipotong Adalah Teknik Pertahanan Diri Untuk Tumbuhan?
Ada beberapa kajian mendapati, bau rumput yang dipotong dikatakan adalah satu teknik atau kaedah pertahanan diri untuk kebanyakan tumbuhan berdaun. Hal ini kerana, apabila anda menghidu bau molekul ini secara berlebihan, ia boleh menyebabkan sakit kepala atau mengalami pelbagai jenis simptom yang lain.
Menurut Penyelidikan AgriLife Texas A&M di College Station, bau yang dikeluarkan oleh tumbuhan ini juga merupakan isyarat kepada serangga kecil atau tumbuhan yang lain bahawa sesuatu sedang berlaku di dalam radius tersebut.
Dengan ini, ia dapat memberi manfaat kepada serangga kecil untuk menyelamatkan diri secara tidak langsung dapat menghalang parasit atau hama untuk bertelur di kawasan tersebut.
Bagaimana Bau Tersebut Memberi Amaran Atau Isyarat Kepada Persekitaran?
Untuk pengetahuan anda, bau yang dihasilkan merupakan cara untuk tumbuhan berkomunikasi. Rumput kebiasaannya akan mengeluarkan asid lemak yang dikenali sebagai asid jasmonik. Asid ini adalah salah satu daripada 600 molekul oksilipin (keluarga beroksigen yang terhasil menerusi produk semula jadi) yang dikenal pasti dalam tumbuhan.
Apabila hormon jasmonate diaktifkan, ia akan menghasilkan tindakbalas pertahanan tumbuhan terhadap arthropoda, herbivor dan patogen.
Walau bagaimanapun, isyarat ini hadir dengan jalur isyarat yang berbeza yang mana bergantung kepada sesuatu serangga atau anasir persekitaran lain untuk menerjemahkannya ke dalam tindak balas pertahanan yang sesuai.
Bercerita lanjut mengenai isyarat ini, tumbuhan menghantar mesej udara yang bertindak sebagai isyarat bahaya kepada serangga pemangsa yang membunuh serangga herbivor. Sebagai contoh, pokok cili anda diserang oleh cacing. Ia akan melepaskan VOC yang mana akan dihidu oleh serangga lain di sekitarnya seperti semut, mikrob bahkan burung.
Hasilnya kesemua haiwan dan serangga ini akan mengesan dan bertindak balas terhadap mesej ini sama ada burung akan memakan cacing tersebut atau semut pula akan memberi isyarat kepada tentera mereka yang lain untuk menjadikan cacing yang sudah mati sebagai bekalan makanan mereka.
Untuk senario lain seperti bau rumput selepas dipotong menggunakan mesin pemotong rumput pula memberi amaran kepada serangga lain untuk berhati-hati yang mana kawasan tersebut sedang dibersihkan dan memerlukan mereka untuk menyelamatkan diri.
Secara umumnya, ada segelintir pihak sebagai contoh manusia merasakan bau rumput yang dipotong mungkin memberi kesegaran ataupun ketenangan, namun untuk pihak lain seperti serangga ia mungkin menunjukkan ancaman yang berlaku di kawasan tersebut yang akan membahayakan keselamatan mereka.
Sumber: livescience , acs , mentalfloss