Carian
Jenama Fesyen Elrah Exclusive Menyasarkan Jualan Sebanyak 2.7 Juta Helai Baju Melayu Untuk Syawal 2024
February 26, 2024 Lina Rosli

Mendekati Ramadan ini, nampaknya semakin banyak jenama fesyen tempatan yang sudah mula menjual koleksi baju Melayu untuk digayakan pada Syawal 2024 ini.

Tidak ketinggalan Elrah Exclusive turut memperlihatkan sekitar 6 koleksi baju Melayu yang merangkumi Baju Melayu Luxe Teluk Belanga, Baju Melayu Ultimate 2.0, kurta klasik eksklusif, jubah eksklusif, koleksi baju Melayu kanak-kanak dan sampin Elrah.

Pada tahun 2024 ini, Elrah Exclusive telah mengambil Beto Kusyairi dan juga Sharnaaz Ahmad sebagai duta jenama. Dengan perlantikan dua selebriti ini, mereka menjangkakan pertambahan permintaan untuk koleksi baju Melayu mereka.

Menurut El Azman, yang merupakan pengasas Elrah Exclusive, sebanyak 2.7 juta helai baju telahpun dikeluarkan bagi menyambut Ramadan dan Syawal ini. Dan jumlah ini telah meningkat kira-kira 4 kali ganda berbanding tahun lepas iaitu sekitar 600,000 helai sahaja.

Malah, apa yang menarik juga, rentetan dengan pengambilan Beto Kusyairi sebagai duta, permintaan untuk Baju Melayu Luxe Teluk Belanga turut menjadi pilihan ramai – bilangan pengeluaran adalah sekitar 250,000 helai untuk tahun 2024, manakala hanya 100,000 helai sahaja pada tahun 2023 sebelum ini.

Di dalam acara pelancaran Koleksi Syawal Elrah Exclusive juga, El Azman turut menyatakan bahawa selain Malaysia, antara pasaran pembeli koleksi baju Melayu Elrah yang semakin meningkat termasuklah Thailand dan Indonesia.

Bagi negara Thailand sahaja, ia telah menyumbang kira-kira RM40.9 juta jualan bagi tahun 2023 – jumlah pendapatan jualan keseluruhan adalah sebanyak RM170 juta untuk bulan Ramadan sahaja.

Khas untuk Syawal 2024, apa ditawarkan Elrah Exclusive adalah koleksi baju Melayu Rahmah yang menawarkan set baju Melayu yang lengkap bersama sampin dan butang baju – dijual pada harga RM159. Manakala untuk kurta eksklusif pula, harga jualan yang ditawarkan adalah pada RM99 sehelai. Harga bagi set baju Melayu pula dijual pada harga bermula RM189.

Bersama-sama dengan pengenalan koleksi baju Melayu 2024, Elrah Exclusive turut mengumumkan pembukaan cawangan baharu yang terletak di Shoppes at Four Seasons Kuala Lumpur.

Lokasi ini boleh dikatakan terletak di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur – dan pemilihan lokasi ini adalah disebabkan kawasannya yang strategik dan premium yang mana ia memudahkan pelanggan untuk mencari keperluan Syawal lebih-lebih lagi baju Melayu.

Komen