Pernahkah anda tertanya-tanya – apa yang berlaku sekiranya sewaktu anda makan limau, anda tertelan biji limau? Adakah perut akan memproses biji limau tersebut? Ataupun biji limau itu akan kekal di dalam perut – dan mungkin tidak cerna sehinggalah individu membuang air besar?
Tidak dinafikan, menikmati jus yang segar dari buah limau adalah sangat memuaskan. Lebih-lebih lagi jika buah limau yang anda peroleh itu manis dan tidak masam.
Namun, kadangkala, ada satu perkara yang menjadikan pengalaman memakan limau anda tidak lancar – sudah tentu ia disebabkan oleh kehadiran biji limau yang banyak.
Adakah Biji Limau Memudaratkan – Sekiranya Anda Tertelan?
Untuk pengetahuan anda, makan biji limau secara amnya selamat. Adalah tidak akan berlaku apa-apa sekiranya anda tertelan biji limau.
Cuma disebabkan ia sedikit keras dan pahit, maka apabila anda tertelan biji limau secara tidak sengaja, ia akan menyebabkan rasa yang sedikit kurang enak di dalam mulut.
Oleh yang demikian, kebanyakan individu dilihat lebih suka membuang biji sebelum memakan limau kerana ia dapat meningkatkan pengalaman makan secara keseluruhan.
Selain itu, biji limau juga tidak bersifat toksik, dan ia boleh melalui sistem pencernaan anda tanpa sebarang masalah. Sesetengah orang bahkan mengunyah biji limau kerana biji ini mengandungi sejumlah kecil nutrien.
Perkara yang sama berlaku untuk biji epal, tiada masalah sekiranya anda tertelan bijinya sewaktu menikmatinya di waktu sarapan.