Carian
Endometriosis Menjejaskan Sekitar 350,000 Wanita Di Malaysia – Apa Itu Endometriosis?
March 12, 2024 Lina Rosli

Di Malaysia, endometriosis menjejaskan anggaran 350,000 wanita dan secara global, ia memberi kesan kepada kira-kira 10% iaitu seramai 190 juta wanita dan kanak-kanak perempuan.

Dan disebabkan jumlah ini agak banyak, ini menunjukkan yang mana ramai wanita masih tidak mengetahui simptom dan punca endometriosis, yang boleh menyebabkan diagnosis dan rawatan tertunda.

Oleh itu, bersempena Bulan Kesedaran Endometriosis, TMC Fertility komited untuk meningkatkan kesedaran tentang endometriosis dan kesannya yang mendalam terhadap kesuburan.

Apa Itu Endometriosis?

Endometriosis adalah penyakit kronik di mana tisu menyerupai lapisan rahim tumbuh di luar rahim. Walaupun ia adalah satu keadaan yang menjejaskan berjuta-juta wanita di seluruh dunia, ia sering kekal terselubung dalam misteri dan salah tanggapan.

Ramai yang bergelut secara senyap dengan simptom yang tidak didiagnosis termasuk:

  • sakit teruk semasa haid dan hubungan seksual
  • sakit ketika membuang air besar dan buang air kecil
  • sakit pada bahagian pelvis
  • kembung perut
  • loya
  • keletihan

Akibatnya, gejala ini selalunya boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan. Ini kerana, golongan wanita juga mungkin lebih sukar untuk hamil – kesan daripada masalah endometriosis.

Sekitar 30% hingga 50% wanita yang mengalami endometriosis mungkin berpunca daripada anatomi pelvis yang herot, mempunyai luka atau parut pada tiub fallopio, keradangan pada struktur pelvis, sistem imun yang berubah fungsi serta perubahan dalam persekitaran hormon dan kualiti telur.

Ketahui 4 Peringkat Endometriosis

Pada masa ini tiada ubat untuk endometriosis, tetapi mendapatkan diagnosis rasmi untuk penyakit itu boleh membantu mengklasifikasikan peringkat endometriosis berdasarkan tahap kronik untuk sesuatu keadaan dan tahap kesakitan.

Selepas diagnosis, terdapat beberapa pilihan rawatan tersedia yang bertujuan untuk meringankan gejala supaya keadaan tidak mengganggu kehidupan seharian.

Peringkat I: Endometriosis Minimum

Semasa fasa ini, tompok kecil dan taburan tisu endometrium wujud di luar rahim. Ia biasanya terletak pada lapisan pelvis atau ovari. Gejala mungkin tidak terlalu kelihatan dalam beberapa kes. Walau bagaimanapun, sakit pelvis ringan atau ketidakselesaan semasa haid mungkin ada.

Peringkat II: Endometriosis Ringan

Pada peringkat ini, terdapat peningkatan bilangan tompok tisu, dan mereka mungkin lebih dalam sedikit. Tompok ini juga mungkin muncul pada tiub fallopio dan ligamen yang menyokong rahim. Selain sakit pelvis yang ringan, mungkin terdapat senggugut yang menyakitkan, ketidakselesaan semasa persetubuhan, dan kesukaran untuk hamil dalam beberapa kes.

Peringkat III: Endometriosis Sederhana

Untuk peringkat III, akan terdapat peningkatan jumlah tompok tisu. Mungkin juga terdapat tisu parut dan lekatan. Selain mengalami gejala pada peringkat sebelumnya, sakit pelvis kronik dan masalah penghadaman turut akan muncul dan dialami individu.

Peringkat IV: Endometriosis Teruk

Pada peringkat keempat, akan terdapat banyak tompok tisu yang mendalam, selalunya disertai dengan sista (cyst) besar dan luka yang meluas. Kesakitan mungkin lebih teruk dan terutamanya meningkat semasa haid dan hubungan seksual. Selain itu, kemungkinan besar akan ada pergerakan usus yang menyakitkan dan kerap membuang air kecil.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sekiranya Mengalami Simptom Endometriosis?

Jika anda mengesyaki yang mana anda mengalami endometriosis, adalah disarankan untuk membuat temu janji dengan pakar endokrinologi atau pakar sakit puan yang pakar dalam endometriosis dan pembedahan pembiakan. Ini bagi mendapatkan pilihan rawatan yang betul yang akan memelihara dan meningkatkan kesuburan.

Kebanyakan pakar endokrinologi akan mempertimbangkan umur seseorang, kesihatan keseluruhan, gejala dan faktor lain-termasuk matlamat hamil mereka-apabila menentukan rawatan yang terbaik. Pilihan rawatan termasuk ubat, pembedahan atau kedua-duanya.

Komen