Carian
Cegah Keracunan Kafein – Hadkan Pengambilan Kopi Harian
March 14, 2024 Lina Rosli

“Tidak lengkap rutin pagi tanpa secawan kopi.” 

Ini antara satu sebab mengapa ketagihan kopi boleh dialami oleh kebanyakan individu. Ada kajian yang melaporkan purata pengambilan kopi di kebanyakan negara memperlihatkan sekitar lebih daripada tiga cawan setiap hari. Dan sesetengah orang memilih untuk mendapatkan kafein mereka melalui minuman tenaga atau pil kafein.

Walaupun toleransi setiap orang adalah berbeza, terdapat had untuk jumlah kafein yang boleh ada dalam sistem tubuh badan individu. 

Untuk pengetahuan anda, tanda-tanda seperti degupan jantung yang berdetak laju atau individu mengalami kegelisahan menunjukkan bahawa anda mengalami kafein berlebihan atau caffeine overdose di dalam badan. 

Dalam senario yang jarang berlaku, pengambilan kafein yang berlebihan boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil mabuk kafein atau keracunan kafein.

Keracunan kafein berlaku apabila seseorang mempunyai tahap kafein yang berbahaya dalam sistem tubuh. Ia mewujudkan spektrum gejala yang tidak menyenangkan dan teruk, seperti masalah bernafas dan sawan. Terdapat beberapa kes kritikal di mana individu meninggal dunia akibat mabuk kafein.

Walaupun jarang berlaku, sentiasa ada potensi untuk mabuk kafein jika seseorang itu minum tanpa kawalan. Menyedari tanda-tanda dan faktor yang meningkatkan risiko kafein berlebihan boleh membantu anda mengelakkannya dari awal.

Kesan Keracunan Kafein Kepada Individu

Keracunan kafein mencipta pelbagai kesan yang merosakkan badan. Menurut pengarah toksikologi perubatan di Staten Island University Hospital, kesan perangsang kafein mengganggu irama jantung normal individu – sekaligus membawa kepada degupan jantung yang tidak normal dan kemungkinan serangan jantung. 

Bukan itu sahaja, berlebihan dos kafein juga mungkin mengalami masalah gastrousus seperti muntah dan cirit-birit.

Memandangkan kopi meningkatkan pembuangan air kecil, individu juga berisiko membuang mineral penting, terutamanya kalium. Tahap kalium yang rendah atau hipokalemia boleh merosakkan otot sehingga ke tahap yang mungkin lumpuh, menyebabkan kesukaran bernafas akibat otot pernafasan yang lemah dan menghalang buah pinggang daripada melakukan kerja mereka.

Sejumlah gejala mabuk kafein juga bersifat neurologi. Ada kes yang didokumenkan telah melaporkan kebimbangan, halusinasi, migrain, bengkak otak dan sawan.

Komen