Carian
Bagaimanakah Cara Untuk Mendidik Anak Yang Pertama Kali Berpuasa?
March 15, 2024 Lina Rosli

Tidak dinafikan, pada masa kini, boleh dikatakan hampir setiap rakyat di Malaysia dari pelbagai kepercayaan agama sudah sinonim dengan aktiviti yang diimarahkan oleh kebanyakan umat Islam di bulan Ramadan.

Malah, baik Muslim atau bukan Muslim, mereka semua ternanti-nantikan senario dan aroma dari bazar-bazar yang menjual hidangan lazat untuk berbuka puasa.

Namun begitu, walaupun tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah untuk membentuk disiplin diri, ada juga beberapa aspek praktikal yang perlu dipertimbangkan.

Menurut Nur Adila, Pakar Diet di Jabatan Pemakanan dan Dietetik IMU, untuk memahami apa yang berlaku kepada tubuh badan kita semasa berpuasa, adalah penting untuk memahami terlebih dahulu bagaimana badan bertindak balas kepada makanan.

Untuk pengetahuan anda, badan kita akan menukar makanan menjadi tenaga dan sebarang lebihan akan bertukar menjadi glikogen yang kemudiannya disimpan. Proses ini dikawal insulin yang dihasilkan badan semasa kita makan. Lebih banyak kita makan, lebih banyak insulin yang terhasil dan semakin banyak tenaga disimpan.

Sebaliknya, ketika berpuasa, badan seseorang akan menggunakan dahulu tenaga daripada makanan terakhir yang dimakannya sebelum bertukar menjadi glikogen disimpan. Dengan berlalunya hari, badan akan memecahkan protein dan lemak yang tersimpan untuk tenaga.

Bagi melindungi diri, badan meningkatkan penghasilan hormon tumbesaran manusia untuk mengurangkan kehilangan otot. Selain itu, berpuasa turut mengurangkan penghasilan tekanan oksidatif dan meningkatkan aktiviti enzim antioksidan. Oleh itu, ia mengurangkan proses keradangan yang dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih panjang dan sihat, jelas Nur Adila.

Biarpun begitu, realiti berpuasa dari makan dan minum bermula terbitnya matahari sehingga matahari terbenam adalah sesuatu yang mencabar, terutama kepada orang muda dan mualaf, yang berpuasa untuk kali pertama. 

Tips Untuk Berpuasa Dengan Berkesan

Berpuasa di bulan Ramadan adalah kewajiban untuk semua Muslim dewasa. Namun, kanak-kanak hanya mula berpuasa ketika mereka mencapai usia akil baligh.

Bagi orang yang sudah biasa berpuasa selama bertahun-tahun, beberapa hari pertama tetap merupakan tempoh penyesuaian kerana badan menyesuaikan diri dengan jadual pemakanan yang berbeza.

Penting sekali ibadah berpuasa ini tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Oleh itu, atas sebab kesihatan, wanita sedang haid, hamil atau menyusukan bayi dikecualikan daripada berpuasa, termasuklah mereka yang sakit kronik dan warga emas. Sebagai ganti, amal kebajikan boleh dilakukan. 

Walaupun begitu, ramai orang Islam tetap memilih untuk memenuhi kewajipan penting ini. Bagi penghidap diabetes, berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui cara terbaik menguruskan pengambilan ubat dan makanan bagi mengelakkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Dalam kalangan pesakit diabetes, kencing yang kerap adalah petanda gula darah yang tinggi, manakala peluh sejuk atau pening-pening merupakan gejala gula darah yang rendah.

Sekiranya rendah, pesakit dinasihatkan untuk segera berbuka puasa kerana dalam kes yang melampau, keadaan begitu boleh menyebabkan koma diabetik.

Individu yang menghidap gastrik pula perlulah mengelak dari mengambil makanan yang biasanya boleh menjadi pencetus kepada keadaan itu seperti makanan tinggi lemak, pedas, berlada, jus sitrus, minuman bergas dan kafein.

Namun begitu, setiap individu mempunyai reaksi berbeza terhadap makanan berbeza. Jadi, sebaiknya rujuklah doktor anda sebelum mengambil sesetengah makanan. Doktor boleh menasihati anda berdasarkan tahap keterukan keadaan dan kawalan anda. 

Cara Mendidik Anak Yang Baru Mula Berpuasa

Bagi membantu memudahkan anak-anak menikmati pengalaman berpuasa, Nur Adila menyarankan ibu bapa memperkenalkan puasa secara beransur-ansur sebelum mereka mencapai usia dewasa.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh mulakan dengan menggalakkan anak-anak berpuasa setengah hari, atau berpuasa makan tetapi membenarkan minum.

Akhir sekali, pastikan ibu bapa meraikan pencapaian anak-anak supaya mereka terus bermotivasi.

Bagi golongan mualaf, penting untuk diingatkan bahawa berpuasa pada bulan Ramadan melibatkan lebih daripada menahan diri dari lapar dan dahaga. Seseorang perlu berdisiplin menahan diri dari mengikut kemahuan diri juga.

Usaha ini secara kolektifnya bertujuan untuk mengukuhkan hubungan rohani dengan Tuhan. Anda juga boleh cuba berlatih berpuasa sebelum Ramadan, iaitu pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai salah satu cara untuk mengamalkan disiplin diri.

Komen