Secara umumnya, blueberry atau beri biru adalah salah satu makanan super (superfood) yang kaya dengan antioksidan dan fito flavonoids. Ia juga hadir dengan sumber kalium dan vitamin C yang tinggi.
Oleh yang demikian, beri biru ini sering dijadikan sebagai pilihan utama para doktor dan pakar pemakanan kerana khasiatnya yang banyak dan juga kehebatannya dalam mengurangkan risiko penyakit jantung, barah selain bersifat anti-radang.

Untuk pengetahuan anda, beri biru tergolong dalam spesies buah yang bersaiz kecil dikenali sebagai lowbush blueberry – tetapi ada juga beri biru bersaiz lebih besar dikenali sebagai highbush blueberry.
Rata-rata pokok beri biru tumbuh renek yang mana purata saiz daun adalah sebesar 60 cm (24 inci), dengan tinggi mencapai 4 meter (13 kaki). Tumbuhan ini juga menghasilkan gugusan bunga kecil berbentuk tempayan yang mempunyai warna dari putih hingga merah jambu pucat.

Tahukah anda, disebabkan saiznya yang kecil, berat normal beri biru adalah sekitar 0.3 g. Dan baru-baru ini di Australia, beri biru paling berat pernah direkodkan telah ditanam dengan berat mencecah 20.4g – hampir 70 kali ganda lebih daripada purata blueberry liar.
Beri Biru Paling Berat Di Dunia Ditemui Di Australia
Menurut Guinness World Records, beri biru ini ditanam oleh pakar hortikultur Kumpulan Costa Brad Hocking, Jessica Scalzo dan Marie-France Courtois di ladang beri Costa di Corindi, New South Wales.

Beri biru ini memecahkan rekod mengambil masa 12 bulan untuk membesar. Ia adalah daripada varieti “Eterna”, yang merupakan salah satu keluaran terbaru daripada Program Peningkatan Varieti Costa.
Untuk pengetahuan anda, Eterna tergolong dalam varieti beri yang mempunyai rasa yang sangat hebat dan menghasilkan buah yang besar secara konsisten. Dan di pokok yang sama, terdapat juga buah beri biru ini dengan saiz besar yang hampir sama.